Fenomena pengemis kaya sudah menjadi kebiasaan di negara ini. Profesion itu sudah menjadi antara pekerjaan yang popular seperti juga penjaja pasar malam.
Setiap minggu pengemis yang sama akan mengambil tempat di 'lot' nya di pasar malam, begitu juga di pintu-pintu pagar masjid pada setiap hari Jumaat. Saya tiada bukti sama ada mereka benar-benar susah atau menjadi antara alat sindiket.
Yang pastinya sedekah yang diberi kerana Allah SWT. Ke mana hala duit yang kita hulurkan masing-masing daripada kita tidak pernah mempersoalkannya.
Tetapi kisah yang diceritakan oleh seorang rakan penjaja pasar malam ini perlu diambilkira. Seorang lelaki cacat dan buta pernah mengambil tempat di hadapan lot penjaja berkenaan. Kakinya yang 'cacat' sebenarnya dilepatkan ke belakang, manakala matanya yang 'buta' sebenarnya dipejamkan.
Sesekali apabila tiada orang yang melintas, mata yang 'buta' dibukanya. Dan apabila pasar malam selesai, pergilah kawan kita penjaja ini minum ke kedai makan berhampiran.
Terperanjat beruk dia. "Pengemis" yang mencari duit di depan lotnya rupa-rupanya sihat dan tidak buta. Air yang diminumnya daripada jenama yang mahal-mahal, dan habis satu gelas ke satu gelas dipesannya. Makan malamnya di atas meja pula setanding dengan orang yang makan gaji.
No comments:
Post a Comment