Seorang rakan wartawan (Aliza Aziz, bekas penerbit program 999 TV3) dalam keadaan tenat di SJMC sejak pagi tadi.
Berita mengenai keadaan kesihatannya itu diterima daripada rakan-rakan melalui SMS. Pantas dan berkesan kaedah komunikasi cara itu. Saya dan beberapa rakan di pejabat terus menziarahi beliau pada sebelah tengahari.
Beliau telah keluar masuk hospital sejak dua tahun lalu.
Keadaannya itu sebenarnya ditentukan oleh Allah s.w.t. Itu adalah ujian kepada beliau (semuga beliau dan keluarga tabah menghadapi dugaan itu). Dan bagi kita ujian seumpama itu akan sampai juga, sama ada ia cepat atau lambat, dan berlaku dalam pelbagai keadaan.
Sebenarnya menziarahi orang sakit adalah disunatkan dan digalakkan dalam Islam. Rasulullah s.a.w sangat menyukai sahabatnya menziarahi orang yang sakit.
Baginda pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagus engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah bersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!’ (Hadis diriwayatkan oleh at-Tarmizi)
Namun untuk menziarah orang sakit perlu juga mengikut adab-adabnya. Diperturunkan beberapa adab-adab sebagaimana dipetik daripada beberapa rujukan;
a) Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan itu mungkin mengganggu pesakit yang hendak rehat, disarankan dengan bersederhana. Kekerapan boleh dilakukan selang sehari jika keadaan pesakit itu baik. Sebagaimana puisi Ibn Duraid: "Ziarahi dari semasa ke semasa, kalau kerap dilakukan merimaskan, Hujan kalau selalu turun menjemukan, kalau terhenti tangan menadahkan harapan"
b) Hendaklah disentuh dan pegang tangannya serta letakkan tangan didahinya dan tanya tentang penyakit serta keadaannya sekarang.
c) Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan ....( sebut namanya).
d) Doakan dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul, Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.
e) Berikanlah nasihat-nasihat yang baik. Serta ucapkan perkataan 'sabarlah sakit ini adalah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak'.
f) Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadat ziarah itu.
g) Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:"Ya Allah hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dari Mu jua sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit" . (At-Tarmizi)
h) Disunatkan orang yang menziarahi pesakit berdiri di sebelah kepala pesakit.
i) Mengingatkan pesakit tentang syahadah jika ia sedang nazak.
No comments:
Post a Comment