Saturday, June 13, 2009

ADA YANG TAK KENA DI MUZIUM TENTERA DARAT




Gedung sejarah ketenteraan tanahair yang sarat dengan perjuangan, keringat, darah, nyawa dan air mata dapat diimbas di Muzium Tentera Darat Muzium Tentera Darat di Port Dickson.

Muzium berkenaan terletak di Kem Sirusa berkedudukan diantara Masjid Askar Melayu dan Galeri Kor Armor Diraja.

Sempena cuti persekolahan di Port Dickson kali ini, saya berkesempatan membawa isteri dan anak-anak ke muzium berkenaan yang telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-XII pada 28 Jun 2005.

Sebagai rakyat Malaysia saya amat bangga dan kagum dengan kewujudan muzium berkenaan. Saya kira perasaan ini juga ada dalam diri setiap anggota tentera khususnya tentera darat.

Komitmen kewujudannya tercetus sejak tahun 1999 setelah llham menubuhkannya mula lahir pada tahun 1989.

Sepasukan pegawai terpilih ditubuhkan bagi merealisasikan kewujudannya yang dinamakan Tim Projek Muzium Tentera Darat.

Setelah berhempas pulas sejak tahun 2001, lima pegawai dan lima anggota LLP dalam Nukleus Tim Projek Muzium TD berjaya merealisasikan ilham itu.

Tidak mudah. Bukan sahaja terpaksa menghadapi kekangan dalam urusan penyelidikan artifak, keperluan pentadbiran dan kewangan malah cabaran yang paling besar masalah birokrasi. Namun komitmen tinggi oleh Panglima tertinggi ketika itu masalah itu mudah diatasi secara 'jalan pintas'.

Paparan bahan sejarah di muzium berkenaan dipecahkan kepada beberapa segmen antaranya Era Kegemilangan Kesultanan Melayu, Era Portugis dan Belanda, Era British di Tanah Melayu sehinggalah kepada Era Tentera Darat hari ini.

Hari ini dengan pelbagai paparan termasuk persembahan audio visual 'Pepper Ghost' bersaiz sebenar, membuatkan pengunjung terpukau. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan bayang-bayang Hang Tuah dan Leftenan Adenan di celah-celah pepohon hutan di satu sudut dalam muzium itu.

Melihatkan artifak yang dipamerkan, saya amat kagum dengan komitmen pasukan perintis. Ada beberapa artifak seperti pedang Jepun yang dipamerkan adalah milik peribadi dua orang pegawai Tim Projek berkenaan.

Kerana komitmen mereka, pedang itu diserahkan kepada muzium berkenaan. Malah seorang lagi pegawai dikatakan melukis sendiri semua ukiran kayu pada dinding di luar muzium itu.

Selain itu Era Kemerdekaan membawa pengunjung untuk menjadi saksi kepada perjuangan dan pengorbanan anggota tentera melawan pengganas komunis. Koleksi-koleksi peralatan dan persenjataan pengganas komunis yang dirampas menerusi beberapa operasi kententeraan turut dipamerkan.

Terowong pengganas komunis yang dibina dalam muzium berkenaan memberi gambaran sebenar kepada pengunjung terhadap aktiviti Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng yang bertindak kejam terhadap penduduk Malaysia khususnya anggota pasukan keselamatan.

Kini Muzium Tentera Darat yang semakin dikunjungi ramai dikatakan mula dilupai oleh pihak atasan Angkatan Tentera. Walaupun telah mendapat Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik (Tarikan warisan) tahun 2005/2006, institusi itu solah-olah bukan tempat yang patut diberi perhatian oleh mereka.

Seorang pegawai berpangkat Leftenan Kolonel yang kini menerajui institusi itu dikatakan menjadikan muzium berkenaan tempat berbulan madu.

Pegawai berkenaan yang tinggal di Kuala Lumpur dikatakan hanya menampakan muka jam 11:00 pagi dan pulang jam 3:00 petang setiap hari.

Selain itu beberapa pegawai turut menggunakan peluang berkhidmat di muzium berkenaan untuk bersenang-senang kerana jauh daripada gangguan pegawai kanan, melakukan kerja peribadi.

Perlakuan-perlakuan tidak jujur yang diperlihtkan di depan mata beberapa pegawai perintis itulah yang mengganggu konsentrasi mereka. Menjatuhkan moral dan semangat bekerja.

Terputusnya komitmen untuk menjaga warisan ketenteraan daripada pihak atasan tentera darat, menyebabkan peruntukan muzium yang diluluskan tidak disalurkan kepada institusi itu.

Dan yang paling dilihat zalim apabila seorang daripada anggota Tim Projek dijadikan 'kambing hitam' kerana pelaksanaan peruntukan ketika muzium mula diwujudkan tidak mengikut saluran.

Akhirnya pegawai berkenaan dikenakan tindakan pentadbiran, manakala pegawai atasan yang lain yang menumpang nama atas kejayaan muzium itu mendapat habuan kenaikan pangkat seperti roket.

Beberapa pegawai perintis yang masih berkhidmat di muzium itu kini dikatakan kecewa dan meminta dipindahkan dengan alasan melanjutkan pelajaran.

Apapun alasannya jika senario itu tidak dikekang maka akan terkuburlah kegemilangan Muzium Tentera Darat seperti yang berlaku ke atas Muzium Angkatan Tentera berhampiran Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak.

Apa yang ditakuti nanti, hanya yang tinggal di situ kontena penyelidikan di satu ruang di pinggir Kampung Ikthiar Hidup di belakang bangunan muzium.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pejabat menteri termasuk melaksanakan cadangan asal struktur pendtabiran muzium dengan meletakkan seorang berpangkat Kolonel yang mempunyai komitmen dan pengetahuan tinggi terhadap bidang permuziuman sebagai Ketua Pengarahnya.

6 comments:

Rona Realiti said...

makes me realize about smthng...
good entry uncle..

Kepten Ramli Kardi said...

Lokman..aku tak nak komen banyak..cuma you fikirkan benda ini..we lost batu putih adalah disebabkan ketiadaan dokumen untuk to support us...

rommel said...

Bagus atas usaha anda melaporkan kejadian ini. Saya rasa perkara ini perlu dibawa ke pihak media untuk menyedarkan pihak atasan TD dan ATM agar jangan terlalu leka dengan kejayaan dan kesenangan yang mereka kecapi. Muzium TD perlu bergerak kehadapan dengan aktiviti-aktiviti dan bukan menjadi tempat pegawai dan anggota yang tidak minat sejarah..

Anonymous said...

seharusnya muzium tersebut berkembang dari pelbagai aspek seperti pengurusan dan pembangunan, entah mengapa kebelakangan ini seolah muzium ini sepi...ada benar kah dengan maklumat dinyatakan? ada tindakan dalaman dilakukan oleh pihak berkenaan atau sekadar polemik?

jimio said...

Institusi muzium adalah frontliner kepada masyarakat, terpulang pada organisasi untuk menyedia, menyaji yang terbaik kepada masyarakat kerana ia mencermin keperibadian organisasi. Saya berpandangan mereka yang bertugas di institusi seperti ini perlu dinamik dan berilmu, memang tentera dilatih utk melaksanakan apa jua arahan kerana kredibiliti anggota tentera jangan dipertikai, namun dalam soal memelihara warisan ketenteraan, mereka yang berilmu dalam selok belok kehendak permuziuman perlu diambil kira, bukan takat muat sahaja, atau main campak je kelak organisasi sendiri yang rugi. Telah banyak catatan sejarah yg kita boleh jadikan pedoman dan iktibar, pelajari dan contohi lah sebelum terlambat.

KikiLala said...

Dalam organisasi perlu peka. Bila duduk tempat yang penuh dgn warisan, mesti di jaga.Bukan leka dengan memenuhi kepentingan diri sendiri. Dalam perkhidmatan diberi gaji, kenapa dahulukan kerja luar...Kerja sendiri tidak lengkap.Apa yang dikatakan cerita di atas ada betulnya. Setiap kali pelawat datang dgn kumpulan, mesti anggota yang ambil. Pihak yg besar jarang ada. Kenapa? Pihak yang besar hanya melayan dan menyambut lawatan ternama sahaja ke?! Pentadbiran mcmana ni?!Selalu tanya yg berkenaan,slalu ja tak ada. Mesyuarat la slalu alasan diberi. Ada ke mesyuarat hari ahad?Pelik???