Saturday, June 6, 2009

LALUAN PANTAI DEDAH NOSTALGIA SILAM

Menyelusuri jalan lama dari Melaka ke Port Dickson banyak yang dapat didedahkan kepada anak-anak, selain mengimbau kawasan kampung di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.

Dari segi jarak batuan dan masa, tidak banyak bezanya berbanding melalui lebuhraya Port Dickson-Seremban dan Seremban-Air keroh.

Cuma bagi mereka yang ada urusan dan mahu keselesaan pastinya memilih untuk menggunakan laluan di Lebuhraya PLUS. Namun bagi yang mahu bersantai dan memerhati suasana kampung disyorkan menggunakan jalan pantai.

Laluan dari Melaka ke Masjid Tanah tidak seperti dulu lagi. Jalan sudah semakin besar. Sesekali akan melintasi kem askar dan terserempak dengan orang berpakaian celoreng menaiki motosikal 'kapcai' di persimpangan jalan ke Sungai Udang, selain kelibat beberapa kenderaan tentera di jalanraya.


Beberapa tanda di tepi jalan memperlihatkan banyak pusat latihan dan institut pengajian tinggi wujud di persekitaran daerah yang dilalui. Dan seperti biasa yang berlaku di seluruh negara, tanda arah dan lokasi masih mengelirukan, dengan tiba-tiba hilang di persimpangan jalan. Namun GPS daripada google Map yang diletakkan di dashborad, banyak membantu.

Di sempadan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok China kami sempat singgah membeli 'jajan' tradisonal di tepi jalan. Tudung saji rotan turut menarik minat kami untuk memilikinya.

Sebuah masjid di Lubok China nampak bertutup pintu pagarnya seolah-olah tidak mengalu-alukan pengunjung untuk singgah. Namun kami meyakinkan diri untuk membuka pintu pagar untuk menumpang solat di ruang dalamnya yang turut ditutup pintunya. Kami tetap bersangka baik dan menganggap ia sekadar untuk mengelak masjid disalahgunakan dan diceroboh.

Beduk di satu sudut di luar masjid turut menarik minat kami. Ia mengimbau kenangan saya di kampung ketika zaman kanak-kanak. Selain mengejutkan penduduk kampung untuk bangun dan menandakan masuk waktu solat, peranan beduk lebih daripada itu.

Selain memberitahu orang kampung mengenai kematian dengan bilangan pukulan tertentu, kanak-kanak sebaya saya dulu menantikan saat sejurus selepas tamat solat terawih bulan Ramadan untuk berebut-rebut memukul beduk dengan pelbagai alunan.

Kami meninggalkan perkarangan masjid setelah menutup semula pintu pagar yang bertulis 'tutup aku'.

Dari Lubok China ke Port Dickson pemandangan lebih kepada suasana ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan terkemuka negara.

Mula melintasi resort, hotel dan penginapan percutian menandakan destinasi yang dituju semakin hampir.

No comments: