Sunday, June 28, 2009

BAPAK ANJUR MAJLIS DOA SELAMAT

Bapak menunggu tetamu sejak pagi.







Antara tetamu yang hadir.




Majlis kesyukuran, doa selamat dan bacaan Yassin. Itu hajat bapak bila keluar dari hospital. Bapak mahu mengumpulkan semua anak-anak dan cucu-cicitnya.

Tarikh ditetapkan semalam, 27 Jun. Bapak juga mahu orang kampung dijemput disamping saudara mara terdekat di sekitar kampung.

Majlis diadakan sebelum waktu zuhur kerana mahu menghormati majlis kenduri kahwin seorang lagi warga kampung.

Tradisi bersila terus diamalkan. Bagi mereka yang tidak biasa bersila atau perut tidak dapat disorok, nampak kecanggungannya. Tapi rata-rata yang hadir tidak kekok.

Sekumpulan askar wataniah yang secara kebetulan baru habis menghadiri satu masjlis pelancaran kompeni Askar Wataniah turut dijemput menjamu selera.









Friday, June 26, 2009

EMAK MASUK WAD DI BILIK SENDIRI






Foto : Kang Imam antara tetamu yang awal menziarahi emak dan bapak.
Akhirnya emak balik dan dapat tidur semula di biliknya sendiri di kampung. Bilik emak telah diubahsuai menjadi Wad Hospital.
Perjalanan mengiringi ambulans yang membawa emak dari Tanjung Malim memakan masa kira-kira satu jam setengah. Selain anggota paramedik, Kak Mahah dan jururawat Cici turut bersama-sama emak di dalam ambulans. Seorang doktor dari Batam kebetulan turut bersama-sama kami dalam konvoi enam kereta.
Sejurus ketika katil yang membawa emak memasuki biliknya saya menjadi hiba. Mungkin kerana saya turut sama membawa emak keluar dari biliknya pada 28 Julai 2007 lalu.
Selepas semuanya selesai saya menghantar SMS kepada adik-beradik yang tidak berkesempatan untuk bersama-sam emak dan bapak semalam.
"Berkat doa anak-anak, Alhamdulilah emak dan bapak selamat pulang ke rumah."

Thursday, June 25, 2009

EMAK BALIK SELEPAS HAMPIR 700 HARI

Walaupun masih terbaring di katil, hari ini emak dijangka dibawa pulang ke kampung selepas 698 hari meninggalkan rumah.

Pada 28 Julai 2007, emak mula meninggalkan rumah apabila saya membawanya ke Pusat Perubatan Kampung Baru (sekarang Hospital Pakar Al-Islam) Kuala Lumpur kerana serangan angin ahmar.

Emak kemudian dipindahkan ke rumah kakak di Tanjung Malim pada 15 September 2008 untuk meneruskan rawatan yang dibantu oleh dua jururawat 'homecare' dari Bandung.

Kami akan membawa emak balik bersama-sama dengan bapak yang keluar dari hospital semalam. Emak akan dibawa menggunakan ambulans yang disewa bersama-sama dengan anggota paramedik. Sebuah lori satu tan turut digunakan untuk membawa katil khas emak.

Semuga selepas ini anak-anak dan cucu cicit akan terus meluangkan masa bergilir-gilir menjaga dan berbakti kepada emak dan bapak.

Kami semua sayang kepada mu, emak dan bapak!

Wednesday, June 24, 2009

SAJAK DARIPADA SEORANG TEMAN

Semalam baru terlepas dari sangkar
Yang dibina oleh insan berhati batu

Yang bersifat Kiasu dengan darah beku
Hampir sedekad merana tanpa ehsan

Dimamah saudara kandung yang berjiwa kotor
Yang bergaya hebat di dalam tong kosong

Sunday, June 21, 2009

BERSAMA BAPAK MERAIKAN 'HARI BAPA' DI HOSPITAL


Hari bapa walaupun perlu diraikan setiap hari, kini lazim diraikan pada 21 Jun iaitu hari ini.
Kebetulan sempena Hari Bapa giliran saya pula untuk menunggu bapa di hospital, bermula sejak semalam sehingga hari ini.

Saya dan isteri serta dua anak yang tidak bersekolah asrama tiba di Hospital Al-Islam Kampung Baru selepas waktu asar.

Saya sengaja membawa sekeluarga tidur di bilik wad bapak. Pertama kerana semalam bukan hari persekolahan. Kedua kerana mahu mereka sama-sama bertanggungjawab menjaga bapa sebagai anak dan cucu. Dan ketiga kebetulan ia sempena hari bapa.

Saturday, June 20, 2009

PINTU SAMURAI DI RUMAH PUSAKA

Membelik dokumen lama semalam terjumpa sekeping foto yang penuh kenangan.

Foto ini adalah bahagian dapur rumah pusaka emak di kampung yang diambil lebih 30 tahun lalu.

Rumah di kampung adalah peninggalan Allahyarham Datuk (Haji Abdul Jalil) dan Opah (Hajjah Mazidah) kepada emak sebagai anak bongsu.

Rumah itu dikatakan yang terbesar dan bertiang paling tinggi di kampung ketika itu. Rumah pusaka dengan berpuluh tiang di bawahnya sering menjadi tempat berkumpul anak-cucu opah setiap kali hari raya.

Ia juga sering dikunjungi penduduk sekitar dan pelajar sekolah agama untuk bertemu dengan bapak bagi merujuk mengenai persoalan agama.

Pintu depan rumah stail 'samurai' atau 'door at the floor' berbeza dengan rumah-rumah lain di kampung. Yang di maksudkan 'samurai' kerana pintunya serata dengan lantai rumah. Mereka yang memasuki rumah perlu mendonggak untuk membuka pintu.

Stail pintu itu dikatakan lebih selamat kerana tuan rumah akan sentiasa bersedia ketika tetamu menaiki tangga untuk masuk rumah.

Namun di sebelah belakang di bahagian dapur, pintu serta tangga yang tinggi itu jarang digunakan. Tangga itu sering dihuni ayam peliharaan yang meninggalkan tahi di setiap anak tangga.

Bahagian dapur ini pernah mengalami kebakaran setelah adik bongsu bermain mancis.
Saya juga sering menemani opah sebelum subuh ke titi di belakang dapur ini yang dijadikan 'tandas'. Namun kini rumah pusaka itu sudah bertukar wajah sejak lebih 20 tahun lalu. Tiada lagi dapur tinggi dan pintu 'samurai'.

Hakikatnya kos membaik pulih rumah lebih mahal daripada membina sebuah rumah baru. Namun kerana mahu mengekalkan beberapa ciri asal rumah pusaka itu serta memenuhi tuntutan generasi terdahulu, kerja baikpulih tetap diteruskan.

Kini rumah pusaka yang mempunyai kira-kira 13 bilik tidur itu sunyi kerana emak dan bapa serta adik-beradik masing-masing tinggal di luar kampung. Emak yang sakit kini tinggal di rumah kakak di Tanjung Malim, manakala bapak pula menjadikan hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai rumah keduanya.

Bagaimanapun seorang sepupu dan isterinya bermurah hati mengantikan kami untuk menjaga rumah pusaka itu.

Dan apabila abang Zahid pulang untuk tugasan politik atau kami sekeluarga balik kampung, rumah itu akan menjadi tempat masyarakat berkumpul untuk menyambung tradisi yang ditinggalkan oleh arwah Opah dan embah Haji Jalil dulu.

Tuesday, June 16, 2009

APABILA BUDAK NAKAL MULA MASUK TADIKA


Barah dan nanah yang tersimbah di Dewan Undangan Negeri Perak kini menular ke Dewan Rakyat. Pembawa virus itu adalah Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang baru mengangkat sumpah semalam.

Budaya budak Tadika yang kencing berlari dan berdiri di atas kerusi sudah tidak berlaku lagi masa ini kerana budak-budak sekarang sudah cerdik pandai. Tapi budaya seperti itu kini masih berlaku di DUN Perak. Dan mula dibawa ke Dewan Rakyat.

Selain Nizar, beberapa orang lagi yang mencetuskan budaya ala-budak Tadika turut berada di dalam Dewan Rakyat semalam. Antaranya YB dari Beruas dan Taiping.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang sudah empat penggal berada di dalam Dewan Rakyat terperanjat beruk dengan aksi Nizar yang baru pertama kali masuk belajar di Parlimen. Aksi itu macam yang pernah dilihat di sebuah taman di Ulu Klang.

Kalau tak merengek dan buat hal dalam kelas, tak adalah cikgu mahu memberi perhatian!

Saturday, June 13, 2009

ADA YANG TAK KENA DI MUZIUM TENTERA DARAT




Gedung sejarah ketenteraan tanahair yang sarat dengan perjuangan, keringat, darah, nyawa dan air mata dapat diimbas di Muzium Tentera Darat Muzium Tentera Darat di Port Dickson.

Muzium berkenaan terletak di Kem Sirusa berkedudukan diantara Masjid Askar Melayu dan Galeri Kor Armor Diraja.

Sempena cuti persekolahan di Port Dickson kali ini, saya berkesempatan membawa isteri dan anak-anak ke muzium berkenaan yang telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-XII pada 28 Jun 2005.

Sebagai rakyat Malaysia saya amat bangga dan kagum dengan kewujudan muzium berkenaan. Saya kira perasaan ini juga ada dalam diri setiap anggota tentera khususnya tentera darat.

Komitmen kewujudannya tercetus sejak tahun 1999 setelah llham menubuhkannya mula lahir pada tahun 1989.

Sepasukan pegawai terpilih ditubuhkan bagi merealisasikan kewujudannya yang dinamakan Tim Projek Muzium Tentera Darat.

Setelah berhempas pulas sejak tahun 2001, lima pegawai dan lima anggota LLP dalam Nukleus Tim Projek Muzium TD berjaya merealisasikan ilham itu.

Tidak mudah. Bukan sahaja terpaksa menghadapi kekangan dalam urusan penyelidikan artifak, keperluan pentadbiran dan kewangan malah cabaran yang paling besar masalah birokrasi. Namun komitmen tinggi oleh Panglima tertinggi ketika itu masalah itu mudah diatasi secara 'jalan pintas'.

Paparan bahan sejarah di muzium berkenaan dipecahkan kepada beberapa segmen antaranya Era Kegemilangan Kesultanan Melayu, Era Portugis dan Belanda, Era British di Tanah Melayu sehinggalah kepada Era Tentera Darat hari ini.

Hari ini dengan pelbagai paparan termasuk persembahan audio visual 'Pepper Ghost' bersaiz sebenar, membuatkan pengunjung terpukau. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan bayang-bayang Hang Tuah dan Leftenan Adenan di celah-celah pepohon hutan di satu sudut dalam muzium itu.

Melihatkan artifak yang dipamerkan, saya amat kagum dengan komitmen pasukan perintis. Ada beberapa artifak seperti pedang Jepun yang dipamerkan adalah milik peribadi dua orang pegawai Tim Projek berkenaan.

Kerana komitmen mereka, pedang itu diserahkan kepada muzium berkenaan. Malah seorang lagi pegawai dikatakan melukis sendiri semua ukiran kayu pada dinding di luar muzium itu.

Selain itu Era Kemerdekaan membawa pengunjung untuk menjadi saksi kepada perjuangan dan pengorbanan anggota tentera melawan pengganas komunis. Koleksi-koleksi peralatan dan persenjataan pengganas komunis yang dirampas menerusi beberapa operasi kententeraan turut dipamerkan.

Terowong pengganas komunis yang dibina dalam muzium berkenaan memberi gambaran sebenar kepada pengunjung terhadap aktiviti Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng yang bertindak kejam terhadap penduduk Malaysia khususnya anggota pasukan keselamatan.

Kini Muzium Tentera Darat yang semakin dikunjungi ramai dikatakan mula dilupai oleh pihak atasan Angkatan Tentera. Walaupun telah mendapat Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik (Tarikan warisan) tahun 2005/2006, institusi itu solah-olah bukan tempat yang patut diberi perhatian oleh mereka.

Seorang pegawai berpangkat Leftenan Kolonel yang kini menerajui institusi itu dikatakan menjadikan muzium berkenaan tempat berbulan madu.

Pegawai berkenaan yang tinggal di Kuala Lumpur dikatakan hanya menampakan muka jam 11:00 pagi dan pulang jam 3:00 petang setiap hari.

Selain itu beberapa pegawai turut menggunakan peluang berkhidmat di muzium berkenaan untuk bersenang-senang kerana jauh daripada gangguan pegawai kanan, melakukan kerja peribadi.

Perlakuan-perlakuan tidak jujur yang diperlihtkan di depan mata beberapa pegawai perintis itulah yang mengganggu konsentrasi mereka. Menjatuhkan moral dan semangat bekerja.

Terputusnya komitmen untuk menjaga warisan ketenteraan daripada pihak atasan tentera darat, menyebabkan peruntukan muzium yang diluluskan tidak disalurkan kepada institusi itu.

Dan yang paling dilihat zalim apabila seorang daripada anggota Tim Projek dijadikan 'kambing hitam' kerana pelaksanaan peruntukan ketika muzium mula diwujudkan tidak mengikut saluran.

Akhirnya pegawai berkenaan dikenakan tindakan pentadbiran, manakala pegawai atasan yang lain yang menumpang nama atas kejayaan muzium itu mendapat habuan kenaikan pangkat seperti roket.

Beberapa pegawai perintis yang masih berkhidmat di muzium itu kini dikatakan kecewa dan meminta dipindahkan dengan alasan melanjutkan pelajaran.

Apapun alasannya jika senario itu tidak dikekang maka akan terkuburlah kegemilangan Muzium Tentera Darat seperti yang berlaku ke atas Muzium Angkatan Tentera berhampiran Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak.

Apa yang ditakuti nanti, hanya yang tinggal di situ kontena penyelidikan di satu ruang di pinggir Kampung Ikthiar Hidup di belakang bangunan muzium.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pejabat menteri termasuk melaksanakan cadangan asal struktur pendtabiran muzium dengan meletakkan seorang berpangkat Kolonel yang mempunyai komitmen dan pengetahuan tinggi terhadap bidang permuziuman sebagai Ketua Pengarahnya.

Saturday, June 6, 2009

LALUAN PANTAI DEDAH NOSTALGIA SILAM

Menyelusuri jalan lama dari Melaka ke Port Dickson banyak yang dapat didedahkan kepada anak-anak, selain mengimbau kawasan kampung di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.

Dari segi jarak batuan dan masa, tidak banyak bezanya berbanding melalui lebuhraya Port Dickson-Seremban dan Seremban-Air keroh.

Cuma bagi mereka yang ada urusan dan mahu keselesaan pastinya memilih untuk menggunakan laluan di Lebuhraya PLUS. Namun bagi yang mahu bersantai dan memerhati suasana kampung disyorkan menggunakan jalan pantai.

Laluan dari Melaka ke Masjid Tanah tidak seperti dulu lagi. Jalan sudah semakin besar. Sesekali akan melintasi kem askar dan terserempak dengan orang berpakaian celoreng menaiki motosikal 'kapcai' di persimpangan jalan ke Sungai Udang, selain kelibat beberapa kenderaan tentera di jalanraya.


Beberapa tanda di tepi jalan memperlihatkan banyak pusat latihan dan institut pengajian tinggi wujud di persekitaran daerah yang dilalui. Dan seperti biasa yang berlaku di seluruh negara, tanda arah dan lokasi masih mengelirukan, dengan tiba-tiba hilang di persimpangan jalan. Namun GPS daripada google Map yang diletakkan di dashborad, banyak membantu.

Di sempadan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok China kami sempat singgah membeli 'jajan' tradisonal di tepi jalan. Tudung saji rotan turut menarik minat kami untuk memilikinya.

Sebuah masjid di Lubok China nampak bertutup pintu pagarnya seolah-olah tidak mengalu-alukan pengunjung untuk singgah. Namun kami meyakinkan diri untuk membuka pintu pagar untuk menumpang solat di ruang dalamnya yang turut ditutup pintunya. Kami tetap bersangka baik dan menganggap ia sekadar untuk mengelak masjid disalahgunakan dan diceroboh.

Beduk di satu sudut di luar masjid turut menarik minat kami. Ia mengimbau kenangan saya di kampung ketika zaman kanak-kanak. Selain mengejutkan penduduk kampung untuk bangun dan menandakan masuk waktu solat, peranan beduk lebih daripada itu.

Selain memberitahu orang kampung mengenai kematian dengan bilangan pukulan tertentu, kanak-kanak sebaya saya dulu menantikan saat sejurus selepas tamat solat terawih bulan Ramadan untuk berebut-rebut memukul beduk dengan pelbagai alunan.

Kami meninggalkan perkarangan masjid setelah menutup semula pintu pagar yang bertulis 'tutup aku'.

Dari Lubok China ke Port Dickson pemandangan lebih kepada suasana ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan terkemuka negara.

Mula melintasi resort, hotel dan penginapan percutian menandakan destinasi yang dituju semakin hampir.

Wednesday, June 3, 2009

PD GAMIT KENANGAN MENYELUSUPI KEM TENTERA



Walaupun tidak jauh dari Kuala Lumpur dan pernah menetap untuk menjalani latihan ketenteraan di sekitar awal tahun 80an, tetapi daerah Port Dickson (PD) tak sepenuhnya saya terokai.

Kesempatan cuti persekolahan kali ini, PD menjadi destinasi pilihan untuk melepaskan diri daripada tugasan harian yang sering tidak berkesempatan bersama keluarga.

Pemilihan PD kerana ia destinasi peranginan yang paling hampir dengan kedua-dua ibubapa yang sedang uzur di Tanjung Malim dan Kuala Lumpur.

Selain itu kebetulan ada seorang kenalan isteri menawarkan penginapan murah di apartmentnya di Batu 2 1/2 Jalan Pantai, dengan pemandangan yang tidak kurang indahnya. Yang belum pernah saya kunjungi.

Dan sebab yang jelas, masih belum ada peluang untuk membawa keluarga bercuti ke luar negara, walaupun sudah lama memasang cita-cita.

Namun, PD tidak kurang hebatnya. Lama tidak berkunjung, pekan kecil PD sudah banyak perubahannya.

Dulu ketika tinggal di sebuah Kem latihan tentera di persimpangan menuju pantai Blue Lagoon, pekan kecil PD menjadi penghubung untuk kami pergi ke Kuala Lumpur menaiki bas.

Foto : Kem latihan asas pegawai tentera kini dijadikan Pusat Latihan Artileri
Kalau tidak salah saya, bas yang sering saya naiki ialah express RESTU menuju ke ibukota sebelum ia meneruskan perjalanan ke Lumut.

Tidak banyak yang menarik di pekan PD ketika itu.

Kini bangunan baru banyak yang telah didirikan. Kawasan perniagaan baru di pekan PD diperluaskan. Stesen bas lama sudah tiada kesan lagi dan diganti dengan hentian bas yang tersergam indah. Pawagam lama di tepi jalan juga sudah diganti dengan deretan bangunan lain.

PD juga masih meninggalkan kenangan segar bagaimana saya dapat menerobos keluar dari kem tentera ketika itu untuk 'melarikan diri' ke Kuala Lumpur. Banyak lompang dan senang diceroboh!

Tuesday, June 2, 2009

TV SWASTAPUN TIDAK KURANG BAKTINYA

Sudah menjadi lumrah Menteri Penerangan (kini Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kubudayaan) untuk tidak gembira dengan tahap liputan media terhadapnya oleh stesen-stesen televisyen swasta.

Semestinya perasaan itu tersemat di hati semua mereka yang memegang jawatan itu. Ini kerana beliau bukan menteri RTM tetapi individu yang menjaga kesemua hal ehwal yang berkaitan bidang kementeriannya.

Dengan portfolio baru, tanggungjawab itu kini melangkaui stesen televisyen swasta yang sebelum ini dipegang oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK).

Sebagai stesen televisyen kerajaan, RTM sudah pasti tidak terlepas daripada membuat liputan terhadap aktiviti dan majlis menteri berkenaan.

Namun sebagai stesen televisyen swasta mereka tidaklah termampu untuk berbuat seperti RTM. Bagaimanapun mereka tidaklah juga lupa tentang tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat mengenai dasar kerajaan serta mendidik rakyat.

Cuma pendekatan stesen televisyen swasta itu mungkin berbeza sedikit dan tidaklah sampai sentiasa berada di belakang menteri, kecuali Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Jika ada kenyataan penting menteri berkenaan, stesen-stesen televisyen itu tidak pernah gagal untuk menyiarkannya walaupun tidak menghantar krew untuk membuat liputannya. Sekurang-kurangnya agensi berita BERNAMA masih ada untuk disandarkan, asalkan rakyat tidak terlepas mengikuti kenyataan penting menteri.