Wednesday, September 19, 2007

SUDAH TEMPAH KAD RAYA?

Semalam seorang teman membawa katalog kad raya kepada saya dengan harapan saya dapat membuat tempahan tahun ini. Contoh rekabentuknya cantik-cantik dan terkini.

Tetapi sebenarnya sudah lama saya tidak menghantar kad raya kepada semua orang. Bukan sombong, tetapi sudah malas untuk mempraktikannya, lebih-lebih lagi kini sudah ada sms, e-kad dan sebagainya..

Saban tahun banyak juga saya terima kad raya daripada kenalan, sahabat handai, menteri-menteri, jabatan kerajaan dan pelbagai individu yang ada kaitan dengan media. Satupun tak berbalas, maaf!

Dulu pernah juga saya mengantar dan membalas kad raya kepada semua mereka. Tetapi sejak kad raya hanya siap dan diedarkan beberapa hari menjelang hari raya, saya terus berhenti menghantarnya. Lagipun tiada kepentingan bagi saya, selain untuk mengeratkan hubungan silatul-rahim.

Dulu semasa kanak-kanak saya sering menghantarnya kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri, walaupun mereka tidak mengenali saya. Rasa bangga betul apabila menerima balasan daripada mereka.

Mereka yang berkepentingan terutama pemimpin politik perlu menempah dan menghantar kad raya kepada ‘pengundi-pengundi’, terutama apabila ada pemilihan parti.

Untuk itu saya tabik kepada Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansur. Setiap tahun tanpa gagal beliau akan menghantar kepada semua AJK Bahagian UMNO seluruh negara.

Kiralah berapa kos yang perlu ditanggung, jika satu bahagian ada 30 orang AJK! Itu belum peringkat Pemuda, Wanita dan Puteri. Sebagai orang media dan AJK Bahagian, saya sering mendapat dua kad raya daripada orang yang sama.

Di peringkat bahagian, ramai juga rakan-rakan sama ada AJK Bahagian atau Ketua Cawangan menghantarkan kad raya. Maka akan terteralah cetakan nama pengirim, isteri dan anak-anak.

Malah ada juga yang menyenaraikan semua jawatan yang disandang, daripada sebesar-besar jawatan sehinggalah ke sekecil-kecil jawatan termasuk jawatan sebagai ketua lorong kediaman. Harap-harap orang tahulah semua jawatan yang dia ada!

Kepada anda semua ucapan ini mengantikan Kad Raya saya tahun ini. Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN !

No comments: