Reunion Regular 21 yang pada mulanya ingin ditangguhkan kerana kesibukan skot-skot dengan tugas masing-masing diteruskan juga semalam. Pertemuan di Wisma Perwira (Mes Pegawai) Jurutera Pakar itu, sekadar sembang-sembang. Kalau dulu sembang-sembang skot banyak mengenai kerjaya, kini ia lebih tertumpu kepada cerita anak-anak.
Mereka yang hadir Kol Masrani, Kol Redzuan, Lt Kol Azmi, Lt Kol Aziz, Lt Kol Tayazi, Mej Hanafiah, Mej (B) Omda dan saya sendiri.
Kol Masrani yang kini tinggal di kem Sungai Besi singgah menyertai kami sebelum menghantar anaknya ke UIAM. Masrani seorang pegawai kanan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) adalah antara skot yang terawal memakai pangkat Kolonel.
Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Mindef termasuk 'Kolonel Alat' (purchaser) dan Komandan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor. Pada pertemuan semalam Masrani bercerita mengenai peristiwa tersalah rumah ketika menghadiri perkahwinan saya dahulu. Iaitu antara Lokman si penganti dengan Lokman abang si pengantin.
Begitu juga Kol Redzuan yang kini mengambilalih tempat Masrani sebagai Komandan PULADA. Beliau yang datang bersama-sama keluarga turut menghantar anak ke Pusat Pengajian Tinggi. Kami berkongsi pengalamannya mengenai peristiwa letupan bom yang mengorbankan seorang kakitangan syarikat kontraktor di PULADA.
Lt Kol Azmi yang tiba agak lewat selepas Kol Ridzuan pulang juga disertai keluarga. Beliau adalah Timbalan kepada Ridzuan di pusat latihan itu. Lt Kol Azmi datang memandu sendiri “staff car”nya yang berdaftar ZA. Azmi adalah adik kepada Puan Sri Habibah Yusof bekas personaliti TV3 yang berkahwin dengan kerabat diraja Pahang. Beliau antara dua anggota skot kami yang dihantar menjalani latihan ketenteraan di United Kingdom.
Lt Kol Tayazi yang biliknya berjiran dengan bilik saya ketika di RMC antara yang datang awal. Beliau kini menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia, UUM di Sintok. Selain Tayazi, dua anak-anaknya turut menuntut di universiti yang sama. Tayazi terpaksa membawa semua anggota keluarganya ke Perlis dan meninggalkan rumahnya di Klang kosong, diancam anai-anai.
Seorang lagi wakil Kor Perkhidmatan selain Tayazi yang hadir ialah Lt Kol Aziz. Beliau banyak bercerita tentang golf dan peluang bisnes yang berkaitan dengan ATM.
Menurutnya, skot yang sudah berhenti perlu memanfaatkan jawatan skot yang di atas itu untuk mencari peluang bisnes. Sekurang-kurangnya nasib skot-skot yang lain dapat dibela. Skot yang hendak bersara pula sudah mempunyai tapak untuk memulakan kerjaya baru. Beliau berkata Brig Jen Dato Ackbal Samad (pangkat terkanan di kalangan skot) yang kini memegang jawatan Pangliman Logistik TUDM perlu didekati.
Orang yang tidak disangka-sangka akan hadir, tiba-tiba muncul dipintu mes ialah Mej Hanafiah. Beliau dijangka bersara tahun depan. Pegawai Kor Polis Tentera ini sudah lebih tujuh tahun ditempatkan di Penjara Pusat ATM dan sudah mahir dengan seluk beluk pengendalian pesalah ATM. Seperti dahulu jika bersembang dengan Hanafiah, beliau pasti akan merujuk petikan atau personaliti daripada buku-buku yang dibacanya.
Mej (B) Omda adalah orang yang penting di sebalik pertemuan semalam. Beliau mengambil alih tugas sukarela daripada Mej (B) Fauzi yang tidak dapat hadir dari Perlis. Fauzi baru kematian mertuanya dan baru pulih daripada demam.
Omba paling awal datang sebelum saya sampai. Beliau terpaksa mengatur persiapan seorang diri di mes itu bagi memastikan skot-skot yang datang tidak kecewa dengan makanan dan minuman yang disediakan. Manakala tempat pertemuan telah ditempah sebelum ini oleh Fauzi.
Omda kini lebih menumpukan tugasnya dalam bidang hartanah. Mana-mana skot yang ingin membeli atau menjual tanah dan rumah boleh berhubung terus dengan beliau.
Selain itu, antara skot yang berjanji akan hadir tetapi terpaksa membatalkan hasrat pada saat akhir kerana tugas dan perkara penting ialah Kol Jalal dan isterinya Mej (B) Norkiah serta Lt Kol Fadzelette.
Jalal dan Norkiah terpaksa menziarahi saudara yang sakit di Pahang manakala Lette terpaksa menghadiri raptai Tatu Antarabangsa di Stadium Negara.
Bagaimanapun skot yang hadir telah merumuskan bahawa satu laman web atau blog perlu diwujudkan khusus, sebagai saluran komunikasi yang mudah. Skot-skot diminta menghantar nombor telefon dan alamat kepada Fauzi, Omda, Masrani, Fadzelette dan Lokman untuk dikemaskinikan.
Untuk pertemuan selepas ini (kemungkinan selepas raya atau hujung tahun), surat-surat jemputan akan dihantar dan jawapan pengesahan kehadiran diminta. Reunion dicadangkan tidak akan dibuat pada cuti-cuti umum bagi mengelak pertembungan tarikh dengan aktiviti keluarga. Ia juga dicadangkan diadakan secara bergilir-gilir di mana-mana lokasi skot berada dan tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur. Setuju ke?
No comments:
Post a Comment