Saturday, September 22, 2007

EMAK KESEORANGAN DI WAD

Sejak bapak keluar dari hospital minggu lalu emak tiada siapa menemaninya selama 24 jam selain kakitangan hospital.

Selang beberapa hari selepas bapak keluar hospital, emak turut dipindahkan dari ICU ke wad biasa. Namun rawatan rapi masih diberikan oleh kakitangan hospital.

Bapak kini semakin sihat dan dijaga oleh kakak di Tanjung Malim, selepas tiga hari bercuti di kampung sempena Ramadan.

Pada mulanya bapak berhasrat untuk menemani emak di hospital, tetapi menukar pendirian. Selama hampir dua bulan duduk di dalam bilik wad, orang yang sihatpun boleh jadi sakit - itu antara alasan yang semua anak-anak setuju.

Kini emak sendirian di bilik 207. Emak tidak menggunakan mesin sokongan lagi untuk bernafas. Hanya alat bantuan oksigen seperti pesakit biasa gunakan. Tetapi tangan dan kakinya masih diikat untuk mengurangkan pergerakan.

Dulu ketika bapak di wad (bilik 206) ada dua pembantu Indonesia menemani emak dan bapak bersama seorang adik yang istimewa. Kini seorang daripada pembantu sudah dihantar pulang ke Indonesia kerana tidak sihat. Seorang lagi pembantu yang bersama bapak di Tanjung Malim akan menyusul pulang ke negaranya.

Anak-anak hanya menemani emak pada sebelah malam secara bergilir-gilir, kerana masing-masing ada tanggungjawab. “Kami hanya mampu datang dan tidur waktu malam di sini”, kata saya kepada seorang jururawat. “Tak apalah kami ada”, jawab jururawat yang bertugas seolah-olah memahami masalah kami.

Namun saya masih rasa kesian dan simpati pada emak. Sepanjang siang, tiada anak-anak di sisi. Walaupun tidak boleh bercakap untuk menyatakan sesuatu tetapi emak perlukan interaksi dan belaian, supaya lebih kuat dan semangat untuk sembuh.

“Makcik dah banyak berubah dan sudah beri respond. Saya tanya dia kalau gatal kerdip mata, kalau gatal sangat kerdip dua kali. Dia buat apa yang saya cakap”, jelas jururawat yang bertugas.

2 comments:

Anne said...

Rindunye kat emabh.nanti raye kite ramai2 raye di wad bersame embah ye lek,,

LEKLOOK said...

OK NGAH, SAMA-SAMA KITA RAYA KAT WAD, SOLAT RAYA DI MASJID KAMPUNG BARU