TELUK GUANTANAMO Cuba 21 Jan. - Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam, Barack Obama mengarahkan pendakwa raya tentera dalam tribunal jenayah perang Guantanamo memohon supaya semua kes ditangguhkan selama 120 hari.
Hakim mahkamah tentera dijangka membuat keputusan berhubung permohonan itu di kem tahanan tentera laut AS di sini hari ini, kata seorang pegawai yang terlibat dengan perbicaraan itu.
“Demi keadilan, dan atas arahan Presiden Amerika Syarikat serta Setiausaha Pertahanan, kerajaan dengan segala hormatnya meminta suruhanjaya tentera membenarkan penangguhan prosiding dalam kes-kes berkenaan sehingga 20 Mei 2009,” menurut dokumen yang dijadual dikemukakan oleh pendakwa raya hari ini.
Jika permintaan tersebut diluluskan, prosiding akan dihentikan dalam 21 kes yang belum selesai, termasuk kes hukuman mati ke atas lima tahanan Guantanamo yang dituduh mendalangi serangan 11 September, 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang.
No comments:
Post a Comment