Tuesday, January 27, 2009

GAMBAR LAMA MENGIMBAU KENANGAN

Balik kampung semalam untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu dan menziarahi bapak, mengimbau sedikit kenangan. Dua gambar yang disangkut di dinding luar rumah berdekatan pintu masuk mengingatkan dua peristiwa pada tahun 1997 dan 1998.

Kedua-dua peristiwa itu adalah perhimpunan keluarga besar Hajjah Majidah dan Haji Abd Jalil (1997) - keluarga sebelah emak dan keluarga besar Radin Haji Abdul Fattah dan Hajjah Aishah (1998) - keluarga di sebelah bapak.

Kedua-dua majlis perjumpaan keluarga itu dianjurkan oleh keluarga atas sokongan penuh abang Zahid dan kerjasama semua ahli keluarga yang lain.

Majlis tahun 1997 itu diadakan di rumah emak yang juga rumah pusaka arwah Opah (Hajjah Majidah). Baru tahun lalu ketika hari raya puasa dan selepas emak sakit lebih setahun, hanya bapak terbuka hati bercerita kepada anak-anak dan cucu-cucu mengenai asal-usul emak.

Menurut bapak, Opah adalah anak cucu Datuk Sagor, antara tiga orang Perak termasuk Datuk Maharajalela yang membunuh J.W.W Birch di Pasir Salak. Opah berkahwin dengan Haji Abdul Jalil seorang alim dari Jawa.

Manakala majlis pada tahun 1998 diadakan di perkarangan sekolah agama rakyat Manba'il Ulum, di sebelah rumah. Majlis perjumpaan keluarga di sebelah bapak lebih meriah dengan penganjuran sukan rakyat serta penubuhan koperasi keluarga.

Radin Haji Abdul Fatah adalah keturunan Kesultanan Mataram di Jawa, Indonesia yang keluar istana merantau ke Malaya untuk menjadi ulama. Mengikut susun-galur dari Karaton Sultan Hamangkubuwono di Jogkarta yang baru diperolehi, Radin Haji Abdul Fattah adalah keturunanan ke-6.

Dan yang menjadi kenangan manis kedua-dua bapa dan emak, abang Zahid serta keluarga yang mengikuti mereka ke Karaton beberapa tahun lalu, kedatangan mereka disambut seperti juga kedatangan kerabat Karaton yang lain dengan penuh istiadat istana.

Semalam ada diantara sepupu-sepupu yang hadir mencadangkan majlis perjumpaaan keluarga besar seperti itu diadakan lagi.

No comments: