Friday, January 30, 2009

BALU ARWAH AZHAR OTHMAN KAHWIN EXCO

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis Abdul Jamil Saad, 47, yang menduda sejak hampir dua tahun lepas, melangsungkan perkahwinan dengan bekas Ketua Puteri Umno Negeri Perlis Marzita Mansor di sini malam semalam.

Majlis akad nikah yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Kampung Guru dekat sini.

Akad nikah dengan mas kahwin sebanyak RM5,500 dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Mansor Ibrahim dengan disaksikan imam Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, Kassim Abu.

Abdul Jamil yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sena berkata beliau mengenali isterinya telah lama tetapi bibit cinta bermula selepas Marzita kematian suaminya Azhar Othman, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Julai tahun lepas.

Abdul Jamil yang mempunyai tiga anak pula kematian isteri, Saliza Shaari pada 21 Mei 2007 akibat kanser manakala Marzita yang mempunyai lima anak turut memelihara dua lagi anak allahyarham Azhar bersama isterinya yang terdahulu.

"Kami kini mempunyai sepuluh anak dan kami tidak mahu komen sama ada jumlah itu perlu ditambah," kata Jamil kepada pemberita selepas majlis akad nikah.

Beliau bersyukur kerana telah bertemu jodoh dan menyifatkan Marzita sebagai isteri serta ibu yang begitu sesuai dengan anak-anaknya.

Ditanya sama ada mereka juga akan berbulan madu, Abdul Jamil berkata beliau dan isteri akan menunaikan Umarah selama 19 hari bermula 7 Feb ini dan ia merupakan "bulan madu" paling istimewa.

Sementara itu, Marzita yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika Mohd Radzi menjadi menterinya, berkata kehadiran Abd Jamil dalam hidupnya begitu bermakna kerana banyak persamaan antara mereka selain sama-sama bergiat dalam arena politik.

"Kesibukan dalam politik adalah sebahagian daripada kehidupan saya dan itu bukan penghalang bagi suami saya untuk teruskan kariernya dalam politik. Saya memahami kesibukan menjadi seorang yang berjawatan penting dalam kerajaan negeri dan saya akan teruskan karier saya, dan dia dengan karier dia," katanya.

Majlis pernikahan itu yang dihadiri 30 orang rombongan pengantin lelaki yang membawa lima dulang hantaran dan sebentuk cincin manakala pihak pengantin wanita pula membalas dengan tujuh dulang hantaran.
-- BERNAMA

No comments: