Friday, January 9, 2009

SEBULAN SETENGAH TUNGGU AIR ZAM-ZAM DARI MAKKAH

Bagasi Haji - air zam-zam baru tiba, walaupun penerbangan pertama yang saya sertai sudah lebih tiga minggu berlalu. Nasib baiklah Tabung Haji membekalkannya sebanyak 5 liter setibanya di KLIA 15 Disember lalu, untuk diagihkan kepada mereka yang datang ke rumah.

Seminggu sebelum wukuf iaitu pada 30 November lalu, Pos Malaysia mengenakan caj kepada saya sebanyak SR120 (RM117) untuk penghantaran air zam-zam 10 liter ke Malaysia. Dijanjikan 14 hari akan tiba ke destinasi, namun apa yang berlaku ia memakan masa kira-kira sebulan setengah.

Rakan saya yang mengadakan usahasama pengendalian bagasi dengan Pos Malaysia di Madinah,Makkah serta Jeddah pada musim ini memberitahu ada sedikit 'yang tidak kena'.
Walaupun MOU ditandatangani antara Tabung Haji dan Pos Malaysia, tetapi ada pihak atasan Tabung Haji membenarkan Nationwide berurusan dengan jemaah.

Di Madinah, saya lihat Nationwide dibenarkan beroperasi di dalam bangunan hotel jemaah. Malah kakitangan Tabung Haji diberi caj istimewa. Mereka juga mengalakkan jemaah menghantar bagasi melalui Nationwide.

Di Makkah pula, Nationwide dilihat hanya beroperasi di tepi jalan di seberang bangunan hotel jemaah haji Malaysia menginap. Mereka tidak lagi dibenarkan beroperasi di dalam bangunan hotel setelah ada bantahan daripada Pos Malaysia.

Namun Pos Malaysia menghadapi satu lagi rintangan. Kebanyakan bagasinya tersangkut di Jeddah. Juga dikatakan ada 'yang tidak kena' dilakukan pihak atasan Tabung Haji dengan Nationwide.

Bagaimanapun atas bantuan seseorang di peringkat lebih atas, bagasi Pos Malaysia dapat dilepaskan ke Kuala Lumpur.

Kelewatan bagasi air zam-zam yang baru saya terima disyaki juga berpunca daripada 'ada yang tidak kena'.

Air zam-zam yang saya kirimkan dari Makkah, saya terima sendiri di Bahagian Serahan Pos Malaysia di Puchong, semalam. Nasib baik tak 'basi'.

------

Di pejabat serahan Pos Malaysia semalam, saya terpaksa berbaris lebih setengah jam untuk mendapatkan bagasi itu, sejurus selepas pejabat dibuka jam 8:30 pagi. Ketika penghantaran ke rumah Sabtu lalu, semua penghuni keluar.

Hanya seorang kerani bertugas untuk melayan serahan itu. Seorang pelanggan dianggarkan mengambil masa 5 hingga 10 minit untuk mendapatkan barangan mereka.

Alangkah moleknya jika kerani itu dapat dibantu seorang lagi rakannya untuk satu jam pertama selepas pejabat dibuka. Seorang mencari barangan dan seorang lagi membuat urusan penyerahan.

Tetapi saya lagi kecewa berbanding mereka yang berbaris. Selepas menyerahkan dokumen tuntutan, saya diminta turut ke gudang belakang untuk berurusan di bahagian berkenaan.
"Kalau tahu macam ni, tak payahlah saya berbaris setengah jam tadi........gerrrrrrrrr!".

Harap-harap bos Pos Malaysia dapatlah sesekali turun padang jenguk anak buah bekerja dan perbaiki sistem perkhidmatan. Di Pejabat Pos lagi teruk!

No comments: