Saturday, January 31, 2009

DUNIA ISLAM PATUT BANGGA DENGAN RECEP TAYYIP

Dunia Islam patut berbangga dengan sikap dan tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mempertikaikan tindakan rejim Zionis di Gaza.

Malam tadi Berita TV9 menyiarkan aksi beliau bertikam lidah dengan Presiden wilayah diduduki Yahudi, Shimon Peres dalam bahan berita pertamanya, selepas laporan dari Gaza oleh wartawan TV9 Norazura Abu Samah.

TV9 menyiarkannya dengan panjang lebar segala aksi dan tindakan 'jaguh' Recep Tayyip.

Kemana pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain? Mereka masih ditutup mulut dan diikat tangan oleh Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya.

Selepas ini masih sanggupkah mereka hanya melihat Presiden Venezuela memperjuangkan nasib orang Islam dan membiarkan pemimpin Islam seperti Recep Tayyip keseorangan?

DAVOS 30 Jan. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak meninggalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini semalam selepas terlibat dengan pertikaman lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik di Genting Gaza.

Erdogan berikrar tidak akan kembali semula menyertai forum itu, yang dihadiri oleh elit politik dan perniagaan dunia.

Dalam detik-detik paling dramatik yang jarang dilihat berlaku pada forum Davos, Erdogan berjalan keluar meninggalkan dewan di hadapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan anggota panel lain dengan mendakwa, beliau telah dipaksa memendekkan kenyataannya mengenai perang itu.

"Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Perdana Menteri itu sebelum beredar, meskipun beliau malam tadi menyatakan kesediaan untuk menimbangkan semula keputusannya itu.

Erdogan mengkritik hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan politik antarabangsa kerana memberi tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban.

Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan "tidak bertamadun."

"Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh," katanya kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius.

"Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa," kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu.

Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel.

Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Erdogan, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul.

Ki-moon, Erdogan, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa dan Peres duduk dalam satu barisan untuk menyertai perbahasan itu dan kesemua mereka membuat kenyataan panjang lebar mengulas mengenai konflik tersebut. - AFP

Friday, January 30, 2009

BALU ARWAH AZHAR OTHMAN KAHWIN EXCO

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis Abdul Jamil Saad, 47, yang menduda sejak hampir dua tahun lepas, melangsungkan perkahwinan dengan bekas Ketua Puteri Umno Negeri Perlis Marzita Mansor di sini malam semalam.

Majlis akad nikah yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Kampung Guru dekat sini.

Akad nikah dengan mas kahwin sebanyak RM5,500 dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Mansor Ibrahim dengan disaksikan imam Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, Kassim Abu.

Abdul Jamil yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sena berkata beliau mengenali isterinya telah lama tetapi bibit cinta bermula selepas Marzita kematian suaminya Azhar Othman, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Julai tahun lepas.

Abdul Jamil yang mempunyai tiga anak pula kematian isteri, Saliza Shaari pada 21 Mei 2007 akibat kanser manakala Marzita yang mempunyai lima anak turut memelihara dua lagi anak allahyarham Azhar bersama isterinya yang terdahulu.

"Kami kini mempunyai sepuluh anak dan kami tidak mahu komen sama ada jumlah itu perlu ditambah," kata Jamil kepada pemberita selepas majlis akad nikah.

Beliau bersyukur kerana telah bertemu jodoh dan menyifatkan Marzita sebagai isteri serta ibu yang begitu sesuai dengan anak-anaknya.

Ditanya sama ada mereka juga akan berbulan madu, Abdul Jamil berkata beliau dan isteri akan menunaikan Umarah selama 19 hari bermula 7 Feb ini dan ia merupakan "bulan madu" paling istimewa.

Sementara itu, Marzita yang pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika Mohd Radzi menjadi menterinya, berkata kehadiran Abd Jamil dalam hidupnya begitu bermakna kerana banyak persamaan antara mereka selain sama-sama bergiat dalam arena politik.

"Kesibukan dalam politik adalah sebahagian daripada kehidupan saya dan itu bukan penghalang bagi suami saya untuk teruskan kariernya dalam politik. Saya memahami kesibukan menjadi seorang yang berjawatan penting dalam kerajaan negeri dan saya akan teruskan karier saya, dan dia dengan karier dia," katanya.

Majlis pernikahan itu yang dihadiri 30 orang rombongan pengantin lelaki yang membawa lima dulang hantaran dan sebentuk cincin manakala pihak pengantin wanita pula membalas dengan tujuh dulang hantaran.
-- BERNAMA

NAJIB DAN ZAHID KETUAI SEMENTARA UMNO PERAK

Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi memutuskan Datuk Seri Najib Razak menggantikan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika mengumumkan perkara itu, berkata MT Umno juga bersetuju memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan jawatan itu.

"Kedua-dua jawatan berkenaan akan disandang sehingga selesai pemilihan Umno Mac ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno selama hampir empat jam di sini malam tadi.

Tuesday, January 27, 2009

GAMBAR LAMA MENGIMBAU KENANGAN

Balik kampung semalam untuk menghadiri kenduri kahwin sepupu dan menziarahi bapak, mengimbau sedikit kenangan. Dua gambar yang disangkut di dinding luar rumah berdekatan pintu masuk mengingatkan dua peristiwa pada tahun 1997 dan 1998.

Kedua-dua peristiwa itu adalah perhimpunan keluarga besar Hajjah Majidah dan Haji Abd Jalil (1997) - keluarga sebelah emak dan keluarga besar Radin Haji Abdul Fattah dan Hajjah Aishah (1998) - keluarga di sebelah bapak.

Kedua-dua majlis perjumpaan keluarga itu dianjurkan oleh keluarga atas sokongan penuh abang Zahid dan kerjasama semua ahli keluarga yang lain.

Majlis tahun 1997 itu diadakan di rumah emak yang juga rumah pusaka arwah Opah (Hajjah Majidah). Baru tahun lalu ketika hari raya puasa dan selepas emak sakit lebih setahun, hanya bapak terbuka hati bercerita kepada anak-anak dan cucu-cucu mengenai asal-usul emak.

Menurut bapak, Opah adalah anak cucu Datuk Sagor, antara tiga orang Perak termasuk Datuk Maharajalela yang membunuh J.W.W Birch di Pasir Salak. Opah berkahwin dengan Haji Abdul Jalil seorang alim dari Jawa.

Manakala majlis pada tahun 1998 diadakan di perkarangan sekolah agama rakyat Manba'il Ulum, di sebelah rumah. Majlis perjumpaan keluarga di sebelah bapak lebih meriah dengan penganjuran sukan rakyat serta penubuhan koperasi keluarga.

Radin Haji Abdul Fatah adalah keturunan Kesultanan Mataram di Jawa, Indonesia yang keluar istana merantau ke Malaya untuk menjadi ulama. Mengikut susun-galur dari Karaton Sultan Hamangkubuwono di Jogkarta yang baru diperolehi, Radin Haji Abdul Fattah adalah keturunanan ke-6.

Dan yang menjadi kenangan manis kedua-dua bapa dan emak, abang Zahid serta keluarga yang mengikuti mereka ke Karaton beberapa tahun lalu, kedatangan mereka disambut seperti juga kedatangan kerabat Karaton yang lain dengan penuh istiadat istana.

Semalam ada diantara sepupu-sepupu yang hadir mencadangkan majlis perjumpaaan keluarga besar seperti itu diadakan lagi.

JENAMA "SI-KITOL"

Foto : StarOnline
Tahniah diucapkan kepada ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim kerana berjaya menipu pengundinya dengan melompat parti. Inilah manusia yang dicari-cari oleh Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tahniah juga kepada beliau kerana pandai mencari ruang dan peluang di celah-celah masalah yang melanda peribadinya kerana kemerosotan sokongan dan kepercayaan anggota UMNO terhadap beliau.

Apapun inilah masanya bagi beliau untuk meneruskan perjuangan hidup politik peribadinya. Bagi beliau apa hendak ditunggu lagi jika jawatan Ketua Bahagian UMNO yang ditandinginya pun kalah. Apa yang hendak ditunggu lagi jika jawatan Pengerusi Felcra juga tidak disambung.

Sekurang-kurangnya apabila menyertai PKR beliau dapat dilihat sebagai hero walaupun dari pandangan UMNO dan masyarat sebagai tindakan bacul. Baginya memanglah politik itu penuh dengan ketidak tentuan. Jadi apa salahnya beliau melaksanakan tindakan itu.

Biarlah orang lain hendak kata apa. Yang pening bagi beliau sekurang-kurangnya dapat melepaskan dendam kepada orang UMNO yang tidak menyokong beliau.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak selepas ini sekurang-kurangnya akan dapat menyalurkan habuan kepada beliau dan penduduk di kawasannya. Dan jika rezeki sabut, dapatlah jawatan exco Perak apabila rombakan berlaku nanti.

Kejayaan Datuk Nasaruddin membalas dendam dan menipu pengundi BN di Bota nampaknya turut diintai dan menarik minat ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam. Bagaimanapun beliau masih mencari-cari lorong keluar yang ditebas oleh Datuk Nasaruddin itu.

Beliau yang turut tewas dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput turut mengesahkan menerima tawaran melompat dan ditarik tangannya untuk berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rata-rata wakil rakyat yang kecewa dan tewas dalam pemilihan peringkat bahagian UMNO akan memberi alasan "dah orang anggap Ketua UMNO Bahagian lebih penting daripada wakil rakyat, habeh macam maner.....yeop?

Sekali lagi tahniah kepada Datuk Nasaruddin kerana berjaya 'merompak' kepercayaan orang UMNO dan seramai 6,556 pengundinya. Namun Datuk Nasaruddin dan mereka yang hendak mengikut jejak keparat itu perlu tunjuk kejantanannya jika betul-betul mahu berjuang di luar tembok. Letak jawatan ADUN, buka gelanggang dan teruskan perjuangan. Kalau tidak nanti akan dilabelkan sebagai jenama Panglima 'Si-Kitol'.

Thursday, January 22, 2009

AKU MASIH SAYANG UMNO!

Orang UMNO belum insaf. Walaupun banyak petanda termasuk kekalahan terbaru di Kuala Terengganu, mereka masih bersikap seperti dulu. Perubahan yang dilaungkan hanya slogan.
Pemimpin yang berani bercakappun, mereka yang telah pencen politik. Setelah pencen baru bersuara - UMNO kena buat itu, kena buat ini. Pemimpin yang adapun macam tak ada kewibawaan untuk bercakap. UMNO perlu menerima hukuman, UMNO hilang daya tarikan. Tapi apakah usaha yang boleh dilakukan mereka?

Walaupun UMNO dikatakan berperang dengan rasuah tetapi masih ada juga cerita mengenai orang UMNO buat kerja itu. Semalam 12 ahli UMNO ditahan oleh Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung kegiatan politik wang.

Perwakilan bahagian boleh dibeli dengan hanya RM300 hingga RM500 seorang. G-7 yang beriya-iya melobi ketika bertanding dulupun bukan tahu sangat isu yang hendak diperjuangkan. Apa yang mereka tahu, habuah yang bakal diterima kerana menjadi antara tujuh perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.

Bagi mereka lebih ramai calon yang akan bertanding, akan lebih 'lebat' lah habuannya. Siapa yang nak cegah hasrat mereka, jika pemimpin yang hendak bertanding juga boleh beri habuan. Allah tahu nawaitu kita!

Saya juga pernah dihubungi oleh mereka yang dipilih dalam G-7. Mereka mahu berjumpa seseorang untuk menawarkan bantuan kemenangannya. Saya tidak melaksanakan permintaannya, kerana saya tahu sifat pemimpin yang hendak bertanding itu. Bagi saya dan pemimpin berkenaan, jika mahu membantu undi sajelah namanya dan tidak perlu hendak berjumpa.

Laporan hari ini:
MELAKA 22 Jan. — Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.

Johari Irabhim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai Ketua Bahagian berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar.

Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. - Bernama

Wednesday, January 21, 2009

LANGKAH PERTAMA OBAMA

TELUK GUANTANAMO Cuba 21 Jan. - Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam, Barack Obama mengarahkan pendakwa raya tentera dalam tribunal jenayah perang Guantanamo memohon supaya semua kes ditangguhkan selama 120 hari.

Hakim mahkamah tentera dijangka membuat keputusan berhubung permohonan itu di kem tahanan tentera laut AS di sini hari ini, kata seorang pegawai yang terlibat dengan perbicaraan itu.

“Demi keadilan, dan atas arahan Presiden Amerika Syarikat serta Setiausaha Pertahanan, kerajaan dengan segala hormatnya meminta suruhanjaya tentera membenarkan penangguhan prosiding dalam kes-kes berkenaan sehingga 20 Mei 2009,” menurut dokumen yang dijadual dikemukakan oleh pendakwa raya hari ini.

Jika permintaan tersebut diluluskan, prosiding akan dihentikan dalam 21 kes yang belum selesai, termasuk kes hukuman mati ke atas lima tahanan Guantanamo yang dituduh mendalangi serangan 11 September, 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang.

Tuesday, January 20, 2009

BARACK OBAMA BUKAN BERMAKNA 'BERKAT'

Hari ini Barack Hussein Obama 48 tahun akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44, mengantikan George W. Bush. Kini dua bukunya 'The Audicity of Hope' dan 'Dreams from My Father' semakin laris di pasaran yang sebelum ini pun telah menjadi bestseller.

Selain itu halatuju dasar luar Amerika Syarikat turut menjadi tumpuan apabila beliau memasuki Rumah Putih. Umat Islam seluruh dunia pula kini turut berminat ingin mengetahui latar belakang Obama. Terutama pegangan agamanya dan pendiriannya terhadap Islam.

Obama lahir pada 4 Ogos 1961 di Queen's Medical Centre, Honolulu, Hawaii. Bapanya yang mempunyai nama yang sama kecuali ada 'Sr.' adalah berasal dari Nyangoma-Kogela, daerah Siaya, Kenya.

Ibunya pula, Shirley Ann Dunham adalah wanita kulit putih keturunan suku Cherokee berasal dari wichita, Kansas Amerika Syarikat.

Ketika Obama berumur dua tahun ibubapanya bercerai. Bapanya kemudian meninggal dunia pada usia 46 tahun dalam satu kemalangan jalan raya. Manakala ibunya meninggal dunia pada tahun 1995, ketika berusia 53 tahun.

Bapanya dikatakan berasal dari keluarga Islam Kenya tetapi kurang mempraktikan Islam. Ibunya pula dikatakan seorang yang tidak mempunyai agama.

Ketika Obama berusia enam tahun (1967), ibunya berkahwin dengan Lolo Soetoro, pelajar Indonesia yang menuntut di Hawaii. Pada tahun itu juga keluarga ini berpindah ke Jakarta dengan membawa Obama.

Di Indonesia Obama bersekolah di Sekolah Rendah Franciscus Asisi, di kawasan Menteng Dalam, Tebet, Jakarta Selatan. Ketika memasuki sekolah pada 1 januari 1968, Obama menggunakan nama Barry Soetoro. Dan di dalam dokumen sekolah beliau ditulis sebagai rakyat Indonesia lahir di Honolulu, Hawaii.

Di Indonesia Obama dikatakan sering dibawa oleh bapa tirinya bersolat Jumaat di masjid, walaupun Lolo bukanlah orang yang terlalu alim. Harus difahami juga sesetangah masyarakat Indonesia tidak mementingkan kekangan agama bila berkahwin. Oleh itu ada suaminya Muslim, isterinya Kristian. Apa hukumnya?....entah!

Walaupun Obama didedahkan dengan Islam semasa kecil, namun beliau sama sekali menafikan bahawa beliau seorang Muslim.

Obama mengatakan beliau memang memiliki nama yang biasa digunakan oleh masyarakat Islam Kenya, negara asal bapanya. Beliau juga mengakui nama tengahnya adalah 'Hussein'.
Manakala perkataan 'Barack' bererti berkat atau barokah. Namun beliau bukan muslim.
Dalam beberapa kenyataannya Obama menegaskan dirinya sentiasa adalah orang Kristian dan tidak pernah mempraktikkan ajaran Islam serta tidak tertarik hendak menjadi Islam.

Saturday, January 10, 2009

ENTRI YANG TERTINGGAL

Lebih tiga bulan berlalu, tapi hanya minggu lalu baru seorang sahabat menyerahkan laporan akhbar ini kepada saya. Dapatlah menatap dan membacannya sendiri setelah mendengar daripada kawan-kawan yang mendapat naskah ini di Seremban dan Melaka.

Apapun ia hanya koleksi peribadi di sini dan tidak lebih daripada itu.

Friday, January 9, 2009

SEBULAN SETENGAH TUNGGU AIR ZAM-ZAM DARI MAKKAH

Bagasi Haji - air zam-zam baru tiba, walaupun penerbangan pertama yang saya sertai sudah lebih tiga minggu berlalu. Nasib baiklah Tabung Haji membekalkannya sebanyak 5 liter setibanya di KLIA 15 Disember lalu, untuk diagihkan kepada mereka yang datang ke rumah.

Seminggu sebelum wukuf iaitu pada 30 November lalu, Pos Malaysia mengenakan caj kepada saya sebanyak SR120 (RM117) untuk penghantaran air zam-zam 10 liter ke Malaysia. Dijanjikan 14 hari akan tiba ke destinasi, namun apa yang berlaku ia memakan masa kira-kira sebulan setengah.

Rakan saya yang mengadakan usahasama pengendalian bagasi dengan Pos Malaysia di Madinah,Makkah serta Jeddah pada musim ini memberitahu ada sedikit 'yang tidak kena'.
Walaupun MOU ditandatangani antara Tabung Haji dan Pos Malaysia, tetapi ada pihak atasan Tabung Haji membenarkan Nationwide berurusan dengan jemaah.

Di Madinah, saya lihat Nationwide dibenarkan beroperasi di dalam bangunan hotel jemaah. Malah kakitangan Tabung Haji diberi caj istimewa. Mereka juga mengalakkan jemaah menghantar bagasi melalui Nationwide.

Di Makkah pula, Nationwide dilihat hanya beroperasi di tepi jalan di seberang bangunan hotel jemaah haji Malaysia menginap. Mereka tidak lagi dibenarkan beroperasi di dalam bangunan hotel setelah ada bantahan daripada Pos Malaysia.

Namun Pos Malaysia menghadapi satu lagi rintangan. Kebanyakan bagasinya tersangkut di Jeddah. Juga dikatakan ada 'yang tidak kena' dilakukan pihak atasan Tabung Haji dengan Nationwide.

Bagaimanapun atas bantuan seseorang di peringkat lebih atas, bagasi Pos Malaysia dapat dilepaskan ke Kuala Lumpur.

Kelewatan bagasi air zam-zam yang baru saya terima disyaki juga berpunca daripada 'ada yang tidak kena'.

Air zam-zam yang saya kirimkan dari Makkah, saya terima sendiri di Bahagian Serahan Pos Malaysia di Puchong, semalam. Nasib baik tak 'basi'.

------

Di pejabat serahan Pos Malaysia semalam, saya terpaksa berbaris lebih setengah jam untuk mendapatkan bagasi itu, sejurus selepas pejabat dibuka jam 8:30 pagi. Ketika penghantaran ke rumah Sabtu lalu, semua penghuni keluar.

Hanya seorang kerani bertugas untuk melayan serahan itu. Seorang pelanggan dianggarkan mengambil masa 5 hingga 10 minit untuk mendapatkan barangan mereka.

Alangkah moleknya jika kerani itu dapat dibantu seorang lagi rakannya untuk satu jam pertama selepas pejabat dibuka. Seorang mencari barangan dan seorang lagi membuat urusan penyerahan.

Tetapi saya lagi kecewa berbanding mereka yang berbaris. Selepas menyerahkan dokumen tuntutan, saya diminta turut ke gudang belakang untuk berurusan di bahagian berkenaan.
"Kalau tahu macam ni, tak payahlah saya berbaris setengah jam tadi........gerrrrrrrrr!".

Harap-harap bos Pos Malaysia dapatlah sesekali turun padang jenguk anak buah bekerja dan perbaiki sistem perkhidmatan. Di Pejabat Pos lagi teruk!

Monday, January 5, 2009

NUR DIYANA MASUK TAHUN SATU

Kini giliran Nur Diyana yang terakhir memasuki tahun satu selepas dua kakak-kakak kembarnya lapan tahun lalu. Tapi kali ini Diyana tidak bersekolah di sekolah yang sama. Mama dan abah mahu Diyana mengharungi pengalaman dan suasana pembelajaran yang lain.

Tapi sekolah Diyana tidak berada di atas bukit sebagaimana kakak-kakak dan abangnya dulu. Senanglah sikit abah dan mama menghantar dan mengambil Diyana. Tidak lagi menempuh kesesakan kereta di atas bukit itu.

Pentadbiran dan prestasi sekolah Diyana yang ini dikatakan lebih baik daripada sekolah di atas bukit itu, walaupun jaraknya hanya beberapa meter sahaja.

Apapun Diyana perlu tunjukan prestasi yang cemerlang menyaingi rakan-rakan bangsa lain sebagaimana ketika di Tadika Elite dulu.


Dalam masa sama, saya juga terpaksa hadir pada sesi taklimat hari orientasi pelajar-pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah kebangsaan berhampiran. Komposisi kaum di sekolah ini ialah 60 peratus Cina dan masing-masing 20 peratus Melayu dan India. Tahun ini keputusan PMRnya, 64 orang mendapat keputusan semua A.


Saya menjadi orang terakhir berucap mewakili PIBG. Harap-harap selepas ini saya tidak dipilih lagi sebagai YDP setelah lima tahun menerajuinya. Tahun lalu harapan untuk bersara ditolak sebulat suara oleh perwakilan.


Ramai lagi mereka yang berkebolehan untuk mengganti saya, termasuk Naib YDP, Dr Prem yang telah dua tahun membantu saya.