Wednesday, August 13, 2008

PDRM MAHU TAMBAH 21 BUAH HELIKOPTER


Oleh : Hassan Omar
TERUMBU LAYANG-LAYANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin memperoleh tambahan 21 helikopter termasuk dua yang mampu memuatkan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) bagi memperkukuh operasi membanteras jenayah dan penyeludupan, terutama di perairan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata setakat ini kerajaan memberi maklum balas positif terhadap permohonan PDRM mendapatkan helikopter berkenaan, selain 12 helikopter sedia ada. Beliau berkata, pengukuhan Unit Udara PDRM penting bagi membolehkan PDRM membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengawal perairan negara dan mencegah jenayah, terutama penyeludupan melalui jalan laut.

"Setakat ini, maklum balas daripada kerajaan baik. Insya-Allah, mungkin dalam bajet akan datang," katanya ketika ditemui selepas menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Stesen Lima TLDM di sini, semalam. Najib dalam rangka lawatan kerja dua hari di Sabah mulai kelmarin bagi meninjau Operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) di Pantai Timur Sabah dan barisan hadapan pertahanan negara di terumbu itu. Musa berkata, pengukuhan Unit Udara PDRM bukan bertujuan menyaingi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya memperkukuh kerjasama antara PDRM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, Polis Marin yang ditugaskan mengawal perairan negara di kawasan kurang 12 batu nautika turut membantu APMM dan TLDM mengurangkan jenayah dan penyeludupan, selain memastikan perairan negara tidak dicerobohi nelayan asing.
-Berita Harian

2 comments:

Anonymous said...

Baw ah, kasagad sa imo maghimo blog. Nalingaw gd ko basa.

Anonymous said...

Your blog is very creative, when people read this it widens our imaginations.