Saturday, April 19, 2008

PENAFIAN KUMPULAN 11

KUMPULAN 11 TIDAK TUNTUT SUPAYA MAHKAMAH HARAMKAN UMNO PADA 1988

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kumpulan 11 yang didakwa sesetengah pihak menjadi punca Umno diisytihar pertubuhan tidak sah daripada segi undang-undang pada tahun 1988, hari ini menegaskan bahawa mereka tidak menuntut supaya Mahkamah mengharamkan parti itu.

Salah seorang anggota kumpulan itu, Abdul Rahim Abdul Rahman, yang mendakwa mewakili anggota yang lain, berkata mereka cuma meminta supaya mesyuarat dapat diadakan semula selepas pemilihan Umno 1987.

"Hari ini saya buat kenyataan berhubung pengharaman Umno dan kes pemecatan hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara (ketika itu) Tun Salleh Abas dan hakim-hakim kanan.

"Saya yang juga ahli Umno dan bertanggungjawab kepada parti, berasa perlu menerangkan beberapa isu atau tuduhan dan tohmahan lebih 20 tahun yang digambarkan bahawa orang yang membawa kes Umno ke mahkamah sebagai orang jahat atau pengkhianat. Ini semua pada fikiran saya perlu diperbetulkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar harian tempatan bahawa tuntutan kumpulan itu telah diluluskan Mahkamah Tinggi oleh Hakim Datuk Harun Hashim dan keputusan itu juga membawa kepada pengisytiharan Umno sebuah badan tidak sah daripada segi undang-undang kerana mendapati cawangannya tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan.

Beliau berkata tindakannya untuk memfailkan petisyen membatalkan keputusan pemilihan Umno 1987 dibuat berikutan banyak cawangan yang tidak didaftarkan selain mempunyai anggota yang tidak sah yang menjadi perwakilan, sekali gus menjadi wakil bahagian ke persidangan perwakilan peringkat kebangsaan.

"Ini adalah perkara yang dibentangkan dalam perbicaraan yang dipanggil 'agreed fact'. Semua pihak bersetuju ada perkara yang tidak perlu kita bincang. Maknanya kita terima bulat-bulat dan bermakna cawangan haram, ahli tidak sah, perwakilan yang tak sah, perwakilan yang menipu umur yang tak sah.

"Maknanya dalam perbicaraan di dalam mahkamah itu, perkara ini sebagai 'an agreed fact'. Yang dibincangkan di mahkamah itu, apakah masa itu, perkara ini boleh menyebabkan Umno itu haram atau tidak, itu pada pemikiran saya," katanya.

Abdul Rahim berkata berikutan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Umno sebuah pertubuhan tidak sah, kumpulan 11 juga telah bertindak merayu kepada Mahkamah Agung supaya keputusan itu dapat dibatalkan atau diubah kerana mereka hanya mahukan mesyuarat semula diadakan.

"Kita nak sepertimana yang kita dakwa untuk mengadakan semula mesyuarat, itu sahaja," katanya.
-- BERNAMA

No comments: