Monday, September 29, 2008

DAH MULA SIBUK RAYA

Suasana raya sudah tiba. Bapak yang demam sejak tiga hari lalu sudah segar. Dan kerja yang mula dilakukannya, menganyam ketupat. Sejak pagi lagi bapak asyik bertanyakan abang Wahab sama ada daun ketupat sudah dibeli.



Bapak menganyam dari jam 8 pagi hingga hampir jam satu petang. Kami yang lain sekadar datang dan pergi membantu bapak. Tapi jenerasi muda ramai yang tak dapat belajar menganyam, walaupun berkali-kali mencuba. Rugi sangat!

Kami dapat menganyam lebih 100 biji dengan pelbagai saiz dan bentuk.


Dalam pada itu Kak Mahah terpaksa mencuri masa menyiapkan baju raya emak. Sebelum balik ke KL, saya juga belajar-belajar menjahit tepi kain membantu Kak Mahah. Seronok jugak! Fayyadh yang teringin mencuba, joint jugak.



Yang memeningkan kepala Kak Mahah banyak tempahan tudung yang belum disiapkan. Design tudung Kak Mahah istimewa. Design idea Kak Midah (Datin Seri Hamidah) itu bagaimanapun telah di 'celuk' oleh Jekel dan sering dipakai dutanya iaitu Ikin (kawan Mawi).

Selasa ini semua adik-beradik dan anak buah serta cucu-cucu berkumpul di sisi emak dan bapak di Tanjung Malim. Kepada Angah dan suami di Kuching, Sarawak jangan sedih! Tahun depan kita dapat berkumpul lagi!

GILIRAN JAGA EMAK

(Setelah seminggu di Tg Malim emak sudah mampu dibawa keluar di sekitar rumah)


Sabtu dan semalam tiba giliran saya menjaga emak di Tanjung Malim. Kami sekeluarga diajar oleh dua orang jururawat Indonesia, Ratu dan Sastri bagaimana cara merawat emak.

Mereka berdua perlu bercuti hujung mingggu, dan sebagai penganti kami adik-beradik bergilir untuk merawat emak.

Banyak perkara yang perlu diketahui dari segi rawatan dan perubatan.





Kedua-dua jururawat dari Bandung ini amat tekun menjalankan tanggungjawab mereka. Berusia sekitar 22 tahun dan pertama kali merantau ke Malaysia. Ratu sangat meminati kembar saya, Aliyah dan Amirah.


Secara berjenaka ada yang bersuara, mungkin mereka yang 'liat' nak menjaga emak akan kerap datang ke Tanjung Malim selepas ini. Tapi kena jaga hati isteri!




Foto : Di luar tugas - Ratu (kiri sekali), Aliyah & Amirah dan Sastri.



Jadual rawatan : (6 pagi - 12 t/mlm)
6 pagi - feeding (bubur), peptamin, air, buah-buahan.
- medication
- checking vital sign
- nebulizing (ventolin)
- dx stick
7 pagi - sponging & change pampers & cahnge cloth
- exercise & massage
9 pagi - nebilizing (normal saline)
9:30 pagi - flushing
12 t/hari - nebulizing (ventolne)
- feeding
- check vital sign
1 ptg - change pampers
3 ptg - nebulizing (normal saline)
4 ptg - flushing
6 ptg - flushing (ventoline)
- check vital sign
- feeding
- medication
8 mlm - change pampers
9 mlm - nebulizing (normal saline)
10 mlm - medication
- flushing
12 t/mlm - nebulizing (ventoline)
- feeding

Saturday, September 27, 2008

SEMBILAN PAHLAWAN

Dalam satu bab dalam buku "Kifarat Mahathir Menuju Diktator", Kamarazaman Yacob memilih sembilan tokoh UMNO yang beliau rasa antara mereka yang berjuang mempertahankan Pak Lah.

Antara tokoh yang dipilih dalam bab "Sembilan Pahlawan " itu ialah Adnan Yaakob, Muhammad Muhd Taib, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Chik, Shahrir Samad, Ali Rustam, Noh Omar, Ismail Sabri Yaakob dan Shaziman Abu Mansor.


Dalam bukunya beliau menulis, "Ahmad Zahid Hamidi (Datuk Seri Dr.) merupakan seorang tokoh UMNO yang telah mewarnai wajah pemuda UMNO semasa beliau menjadi Ketua Pemuda. Biarpun dia berkesempatan memimpin pemuda hanya dua tahun namun Zahid diingati oleh pemuda sebagai seorang pemimpin yang berprinsip. Dia tersungkur kerana cuba membawa revolusi di dalam sebuah parti yang konservatif. Ucapannya "Memperkasa Daya Tahan Menjana Reformasi" pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Jun 1998 akhirnya menjadi rantai mengikat dirinya.

"Nasibnya perisis Hang Nadim yang cuba menyelamatkan Singapura dari langgaran ikan todak. Hang Nadim diikat dan dicampak ke laut kerana kejujurannya ingin menyelamatkan Singapura. Zahid dirantai dengan ISA dan menyaksikan pembelotan rakan pemuda di sebalik dinding penjara. Jeritan REFORMASI di luar penjara yang tiada kaitan dengan Zahid akhirnya menjadi lesen untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

"Zahid bercakap atas kebenaran yang sukar diterima oleh kepimpinan yang sedang menuju ke arah kediktatoran. Dia telah menatang suara hati rakyat dan ahli-ahli UMNO kepada seorang pemimpin yang sukar menerima sesuatu di luar seleranya. Dia mahu memacu kembali seorang Presiden ke rah slogan awalnya,"Bersih. Cekap. Amanah". Slogan keramat yang tersangat mujarab dan menjerat hati rakyat. Zahid menjadi seribu resah bila slogan keramat itu menjadi hodoh malah bertukar, "Korupsi, Kroni. Nepotisme".
-bersambung

Friday, September 26, 2008

ABANG ZAMAN KIRIMKAN BUKU "KIFARAT MAHATHIR MENUJU DIKTATOR"

Kelmarin saya menerima kiriman senaskah buku bertajuk "Kifarat Mahathir Menuju Diktator" yang dihantar oleh penulisnya Kamarazaman Yacob.

Saya mengenali beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Zaman sejak saya dibangku sekolah.

Pertama kali saya bersua beliau ketika menziarahi bilik kediaman abang Zahid di kolej kediamannya Kolej Kelima Univeristi Malaya tahun 70an.

Ketika itu abang Zaman berambut panjang dan berjambang.

Abang Zaman adalah pemimpin pelajar pada zamannya yang terkenal dengan slogan 'Mahasiswa Mengugat', selain Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali serta Ahmad Zahid Hamidi.

Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu adalah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1975-1976.

Abang Zaman pernah bertanding dalam pilihanraya umum di Temerloh atas tiket Semangat 46 menentang Datuk Sabaruddin Chik.

Kali terakhir saya bersua abang Zaman ketika Debat Anwar-Sabery Chik di Dewan Bahasa dan Pustaka, itupun tidak sempat berbual.

Sebelum itu kami pernah berbual dan berbincang di bilik wad emak di KBMC bersama rakannya setelah beliau sering menelefon saya untuk bertemu. Itupun bukan perbincangan politik tetapi perkara lain.

Melalui buku ini abang Zaman membicarakan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai ke arah diktator.

Dalam bukunya beliau menulis, "bertolak dari tindakan Pak Lah menghentikan sungai emas yang mengalir ke kantong penjilat dan pengampunya maka Mahathir pun mulalah menambak dengan mulut celuparnya.

Untuk memenuhi nafsu serakahnya Mahathir sanggup turun dan hadir dalam apapun majlis, sama ada diatur oleh UMNO, parti pembangkang atau NGO. Dia tanpa aib dan malu berterusan menfitnah, memperlekeh, menghina dan mencaci Pak Lah. Seolah-olah dia lupa sepanjang pemerintahannya terlalu banyak dosa dan noda yang telah dilakukannya.

Pak Lah yang bertunjangkan ulamak tidak menjawab dan memalukan Mahatihr. Kalau selain daripada Paka Lah tentulah Mahathir telah mendapat malu. Pak Lah boleh mendedahkan seribu tempayan pekasam busuk Mahathir.

Pak Lah boleh menelanjangi seribu pekung bernanah Mahathir. Kalau Pak Lah berbuat demikian tentulah busuknya terhidu dari kota hingga ke desa. Seluruh ahli-ahli UMNO mengetahuinya. Seluruh rakyat melihatnya."

RAMAI HADIR MAJLIS DATUK SERI SHAFIE APDAL

Ramainya wartawan dan jemputan pada majlis berbuka puasa yang dianjurkan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan malam tadi yang diadakan di perkarangan Muzium Negara.

Saya yang pertama kali berkesempatan hadir, bagaimanapun tidak rasa terkejut. Sebelum ini ramai rakan-rakan dan 'anak buah' bercerita mengenai keistimewaan majlis Datuk Seri Shafie Apdal.

Tahun-tahun sebelum ini jemputan dikehendaki membawa 'kad jemputan' untuk hadir. Saya juga pernah memberikan kad jemputan itu (ketika berada di organisasi besar) kepada seorang kakitangan bilik berita yang memerlukannya, kerana saya sendiri tidak dapat hadir. Kad jemputan itu rupanya amat berharga kepada sesetengah 'mereka'.

Tahun ini Setiausaha Akhbarnya beria-ria menelefon untuk menjemput, walaupun saya tidak mendapat sebarang kad atau surat jemputan rasmi. Kerana kesungguhannya, saya terpaksa mengorbankan masa setengah jam sebelum berita ke udara untuk 'terkejar-kejar' ke majlis itu.

"Ramainya orang, mana tempat?" hati berbisik ketika mula tiba.

Selepas berbuka saya nampak semua Ketua Pengarang (termasuk Karam Singh Walia yang duduk semeja dengan saya) menerima hamper, dan ada sampul istimewa di dalamnya. Begitu juga wartawan yang berbaris panjang menerima 'paper beg' berisi Ang Pau istimewa.

Saya sekadar menjadi pemerhati majlis pemberian hamper itu kerana asyik berbual dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Haji Johari Shaari ( kawan lama semasa bersekolah di Horley Methodist, Teluk Intan).

Hati berbisik lagi, "mungkin organisasi kecil yang saya wakili belum tersenarai lagi kot di pejabat Datuk Seri Shafie Apdal!" Apapun bersyukur kerana dapat menunaikan jemputan itu.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TANGGUH HINGGA MAC 2009

Seperti dijangka mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO jam 10 pagi tadi membuat keputusan mengenai penangguhan Perhimpunan Agung UMNO.

Pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dijangka pada Disember ini, ditangguhkan sehingga Mac tahun depan.

MT bagaimanapun menetapkan mesyuarat dan pemilihan bahagian-bahagian UMNO yang bermula pada 9 Oktober ini akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu sidang akhbar selepas mesyuarat itu bahawa pertandingan jawatan peringkat tertinggi UMNO pada Mac depan bergantung kepada keputusan mesyuarat bahagian-bahagian yang diadakan bulan depan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan Mac depan. Perdana Menteri sekadar berkata: “Terpulang kepada saya.”

Keputusan itu dibuat untuk melancarkan peralihan kuasa antara Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Friday, September 19, 2008

NAJIB SEBAK TINGGALKAN 'MINDEF' SELEPAS 14 TAHUN BERSAMA


KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Setelah 14 tahun berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini dengan sebak mengucapkan salam perpisahan kepada warga KementerLian Pertahanan dalam satu upacara di Wisma Pertahanan di sini. Malah, ramai antara 2,000 orang kakitangan kementerian yang hadir khususnya penjawat awam, kelihatan menangis semasa Najib bersalaman dengan mereka.

Beliau bertukar portfolio dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua hari lepas dengan mengambil alih Kementerian Kewangan manakala Abdullah kini menjadi Menteri Pertahanan.

Upacara perpisahan didahului dengan Najib menerima tabik hormat sebelum memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada pegawai dan anggota daripada Batalion 1, Rejimen Askar Melayu Diraja.


Najib kemudian menaiki kenderaan istiadat dengan ditarik oleh 20 pegawai berpangkat Leftenan Kolonel dan setaraf daripada ketiga-tiga cabang angkatan tentera Malaysia iaitu darat, laut dan udara.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Abu Seman Yusop, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar.Jen Abdul Aziz berkata Najib telah membawa banyak perubahan dan kemajuan bukan sahaja dalam ATM tetapi juga dalam kualiti hidup termasuk peluang pegawai dan anggota melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

"Sudah pasti kami merasa sedih, sayu dan pilu kerana terpaksa berpisah dengan Datuk Seri Najib kerana dalam tempoh beliau menjadi Menteri Pertahanan banyak pembaharuan yang dilakukan," katanya selepas majlis tersebut.

Katanya beliau yakin Perdana Menteri yang akan memegang portfolio itu mampu terus membawa ATM ke tahap lebih tinggi.

"PM pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, pastinya dia mampu melakukannya," katanya.

Laksamana Abdul Aziz pula berkata ATM kehilangan pemimpin yang bijak, cergas dan mempunyai visi yang jitu.

Katanya sepanjang menjadi Menteri Pertahanan, Najib sanggup berkorban masa dan tenaga untuk bersama anggota tentera serta mengambil berat soal kebajikan.

"Sedih kerana sukar mencari pemimpin sepertinya. Beliau menjadi tempat berteduh kerana beliau amat mementingkan soal kebajikan dan kesejahteraan anggota serta kementerian," katanya.-- BERNAMA