Tuesday, November 10, 2009

Monday, November 9, 2009

BUDAYA PONTENG SEKOLAH SEMAKIN PARAH

Cuti penggal persekolahan hampir tiba. Peperiksaan akhir tahun dan PMR sudah selesai. Hanya pelajar tingkatan 5 dan 6 masih berhempas pulas untuk menghadapi peperiksaan SPM dan STPM minggu depan.

Tapi yang memedihkan mata saya pagi tadi ramai pelajar beruniform melepak di Restoran Nainas di Bandar Puchong Jaya, ketika ramai rakan-rakan mereka berada di dalam kelas. Keadaan itu jika tidak dibendung akan memberi kesan negatif terhadap masa depan masyarakat.

Suasana itu bukan baru berlaku sekarang. Ia sudah berlarutan lama dulu tetapi jumlah pelajarnya tidak ramai. Bagaimanapun dengan tamatnya musim peperiksaan, suasana restoran itu bagaikan kantin sekolah.

Saya bersama seorang bapa yang kebetulan minum di restoran itu pernah mendekati dan memberi nasihat kepada sekumpulan pelajar yang melepak, tetapi tiada kesan.

Pemilik restoran itu juga telah dinasihati mengenai gejala ponteng sekolah tapi ia diterima bagaikan acuh tak acuh.

Masalah di Puchong itu sering juga berlaku di tempat-tempat lain. Malah pihak media juga sering mempaparkannya. Namun kerana tiada sokongan daripada ibubapa dan pihak sekolah, budaya ponteng sekolah akan terus berlaku dan akan semakin parah – dilakukan tanpa segan silu secara terbuka.

Sunday, November 8, 2009

ZAHID JUNIOR MAHU PASARKAN BUKU PM KE BRUNEI


Buku ‘coffee table’ NAJIB – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan wajar dimiliki oleh organisasi kerajaan dan badan korporat serta individu.

Buku 295 halaman ini sarat dengan pelbagai foto bersejarah hasil usaha Mohd Zahid Arip atau Zahid Junior (Jr.) dengan menggunakan nama pena mengabungkan nama ketiga-tiga anaknya, Aizuddin Muhammad Muaz.

Buku ini sebagai kompilasi foto kehidupan Perdana Menteri Malaysia ke-6. Ia termuat foto Datuk Seri Mohd Najib dari seawal usia setahun sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri ke-6. Antara segmen yang menarik adalah pada Bab Ke-15 – Antara Kenangan & Persamaan. Ia memaparkan foto persamaan yang dilakukan oleh ayahanda beliau Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib.

Zahid berkata foto Perdana Menteri berusia setahun diperolehinya daripada Tun Hajjah Rahah dengan bantuan Datuk Seri Najib. Namun bonda Datuk Seri Najib itu tidak membenarkan foto itu dibawa keluar dari kediamannya. Zahid terpaksa berpatah balik untuk mencari mesin pengimbas dan melakukan kerja penyalinan foto berkenaan di rumah Tun Rahah.

Kini Zahid berkerja lebih agresif dan mengajak saya membantu untuk memasarkan buku ini di luar lingkungan Malaysia. Sekurang-kurangnya sebagai bahan sejarah jalinan hubungan akrab antara dua negara yang berjiran.

Friday, November 6, 2009

KAPAL SELAM KEDUA NEGARA DITAULIAH




KAPAL DIRAJA (KD) TUN RAZAK, kapal selam kedua negara telah ditauliahkan dengan penuh istiadat tentera laut semalam. Upacara pentauliahan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz bin Haji Jaafar di Pangkalan Tentera Laut Sepanyol, Cartagena.

Pentauliahan KD TUN RAZAK merupakan peristiwa yang amat penting dan bersejarah kepada Malaysia kerana ia merupakan kapal selam kedua selepas KD TUNKU ABDUL RAHMAN ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM.

Sebagai sebuah aset strategik, pentauliahan ini akan memacu TLDM ke era teknologi tinggi serta menjadi pemangkin kepada hasrat TLDM untuk menjadi angkatan laut yang seimbang, kredibel dan berwibawa. Pentauliahan kapal selam kedua negara tersebut akan menyemarakkan lagi semangat juang TLDM dalam mengharungi 75 tahun penubuhannya.

KD TUN RAZAK akan berlayar pulang ke tanah air dan bakal tiba pada bulan April tahun hadapan. Pelayaran pulang KD TUN RAZAK akan dikendalikan sepenuhnya oleh krew kapal selam yang terdiri dari pegawai dan anggota dari Angkatan Kapal Selam TLDM yang mahir dan terlatih.

Sekembalinya di Malaysia, KD TUN RAZAK yang berpangkalan di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepangar Sabah, akan menjalani ujian ketahanan dan keupayaan di perairan tropika.

KD TUN RAZAK merupakan kapal selam diesel-elektrik yang berfungsi dan berperanan untuk melaksanakan pelbagai tugas dan misi seperti pengawasan perairan, pengumpulan data perisikan, menyekat jalur perhubungan laut, melancar serangan torpedo dan misil serta memasang dan mengaktifkan periuk api.

Selain itu kapal selam ini juga akan digunakan untuk latihan dalaman dan latihan bersama tentera laut asing bertujuan mempertingkatkan lagi keupayaan bawah air dan keupayaan permukaan TLDM.

Pegawai Perhubungan Awam Markas TLDM Lt Komander Masliza Maaris mengirimkan foto itu dari Cartagena di samping beberapa visual melalui Savefile.

Tuesday, November 3, 2009

BUKH HIJRAH KE 'TV al-HIJRAH'

Rintitan daripada perpindahannya dari TV9 ke Primeworks Studios Sdn Bhd (PWS), Bukhari Che Muda kini melangkah lagi ke destinasi yang lebih diminatinya dalam bidang penyiaran.

Selepas melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di TV9 yang ditatihnya sejak lebih tiga tahun lalu, Bukhari dipindahkan ke PWS.

Beliau diberi tanggungjawab untuk meneraju unit yang mengendalikan kandungan program Islam dan Melayu. Namun itu bukan sesuatu yang mengembirakannya.

Bertitik tolak daripada penjenamaan yang tersasar di TV9, kekecewaannya mula berputik. Dan dengan tawaran yang sememangnya dicari-cari sejak detik itu, ia bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Segalanya adalah ketentuan daripada Allah s.w.t.


Sebahagian kakitangan TV9 bersama Bukhari sejurus selepas majlis perpisahan (Foto sumbangan Rini Yulianti Sediono)

Hari ini majlis perpisahan diadakan oleh kakitangan TV9 kepada bekas COOnya. Ramai yang hadir tidak mengetahui arah tuju bekas bos mereka selepas ini. Namun itulah habuan yang dicarinya selama ini. Saluran TV baru yang berpusat di Pusat Islam berhampiran Masjid Negara.

Dengan kata kunci “Hijrah”, Bukhari akan lebih selesa di situ bermula serta merta.

Saya juga bersyukur kerana sedikit usaha untuk membuka ruang kepada beliau sebelum ini terhasil, sekurang-kurangnya untuk sebuah kerusi tertinggi yang akan diisi oleh beliau di TV Jakim.

MUS TERAJUI 100 SYARIKAT MILIK KERAJAAN TERENGGANU


Laporan di bawah ini membuatkan seseorang dari Terengganu marah sangat. Individu itu orang kuat media arus perdana yang amat kenal sangat dengan Datuk Mustapha. Individu itu kenal keupayaan, sikap dan sifat beliau.

Bekas Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Sulit Kanan, Tan Sri Syed Hamid Albar ini memulakan kerjayanya sebagai anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Laut Diraja Malaysia, sebelum melanjutkan pelajaran di USM dan ditauliahkan sebagai pegawai TLDM.
Beliau kemudian bertugas di bahagian Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan sebelum berkhidmat dengan Tan Sri Syed Hamid di beberapa kementerian. Mustapha yang dipinjamkan daripada TLDM untuk berkhidmat dengan bekas menteri itu menyandang pangkat Komander sebelum memilih untuk bersara.

Apapun rezeki ayam nampak di kaki, rezeki orang siapa yang tahu.

Tahniah kepada sahabat saya ini yang sama-sama pergi ke Batambang, Kemboja lama dulu dengan Datuk Seri Najib. Dan sama-sama menerima anugerah di Melaka sempena Hari Jadi TYT.


40 syarikat bakal dipulihkan
Oleh AZMAN IBRAHIMbisnes@utusan.com.my

Mustapha Ahmad Marican menjelaskan prestasi Terengganu Inc. di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Syarikat pelaburan induk negeri, Terengganu Inc. Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) akan memastikan kira-kira 40 buah anak syarikatnya yang ‘bermasalah’ dapat dipulihkan mulai tahun depan supaya mampu menyumbang keuntungan yang berlipat ganda.

Langkah ini diambil berikutan terdapat beberapa anak syarikat Terengganu Inc. mengalami kerugian berterusan kira-kira RM15 juta hingga RM35 juta setahun.

Malah, kata beliau, terdapat beberapa anak syarikat yang sudah 20 tahun beroperasi tetapi masih belum mencatat keuntungan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mustapha Ahmad Marican menyifatkan keadaan yang berlaku sebagai sesuatu yang perlu dipulihkan.

Beliau merancang untuk memulihkan kemelut pengurusan yang kurang cekap di dalam anak-anak syarikat berkenaan.

“Saya bukan mahu mengkritik barisan pengurusan lalu sebaliknya ingin menambahbaik sistem pengurusan sedia ada dan menyediakan dasar-dasar baru yang lebih cekap dan sistematik.

“Selain masalah dalam pengurusan, banyak anak syarikat mempunyai fungsi yang bertindih antara satu sama lain sehingga ia mengganggu aktiviti perniagaan dan prestasi kewangan masing-masing,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mustapha juga merupakan penasihat ekonomi kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Terengganu Inc. yang mempunyai 100 buah anak syarikat diperbadankan pada 1 Mac 2006 yang lalu.

Syarikat-syarikat di bawah Terengganu Inc, menjalankan aktiviti perniagaan dalam pelbagai bidang iaitu khidmat sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah dan pembinaan, pertanian dan perladangan, pelancongan dan pelaburan.

Mustapha memberitahu, pihaknya akan memperkenalkan dasar menstrukturkan semula fungsi setiap anak syarikat supaya aktiviti perniagaan tidak bertindih antara satu sama lain.

Selain itu, katanya, pihaknya akan mewujudkan kerjasama erat antara setiap syarikat.

Menurutnya, jika terdapat anak syarikat yang lemah prestasi, pihaknya berkemungkinan akan melakukan kerjasama dengan syarikat-syarikat lain bagi mewujudkan sinergi dalam kerjasama yang terbentuk.

“Saya turut mewujudkan dasar indeks prestasi petunjuk (KPI) bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti di kalangan syarikat-syarikat yang tidak berdaya saing,’’ ujarnya.

Ketika ditanya mengenai strategi untuk memantau prestasi syarikat-syarikat bermasalah berkenaan, Mustapha berkata, beliau akan meminta penyata kewangan setiap anak syarikat pada setiap akhir tahun dan mengkaji kelemahan yang wujud supaya ia dapat diperbaiki.

Jelasnya, fokus Terengganu Inc. adalah kepada pengurusan yang sistematik dan cekap.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga realistik dalam menjadikan negeri Terengganu setaraf dengan pembangunan ekonomi di negeri-negeri maju yang lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami mahu negeri Terengganu menjadi negeri yang maju setaraf dengan negeri-negeri maju lain.

“Setakat ini, kami mengambil contoh pengurusan Johor Corporation (Jcorp) di Johor yang begitu aktif dan progresif dalam membangunkan perniagaan,’’ ujarnya.

Monday, November 2, 2009

KENYATAAN MUFTI PERLIS TERHADAP PENAHANAN DR ASRI

KENYATAAN DR JUANDA JAYA, 02 NOVEMBER 2009

Saudara Pemberita/Pengarang
A. KECEWA
1. Saya pasti seluruh Negara gempar dengan peristiwa tengah malam 01/11/09 yang menyaksikan seorang bekas Mufti - suatu jawatan tertinggi agama di Malaysia -Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin, telah ditangkap oleh pihak berkuasa agama atas alasan tiada tauliah untuk mengajar agama Islam.
2. Seluruh Negara gempar sekali lagi apabila pihak berkuasa agama ini gagal menjalankan tugas pendakwaan yang dijanjikan pada 02 November 2009.
3. Saya amat kecewa kerana insiden seperti ini yang pernah beberapa kali berlaku kepada pihak lain pasti mengaibkan agama Islam dan pihak berkuasa agama, terlebih lagi ia berlaku terhadap seseorang yang sepatutnya dihormati kedudukan keagamaannya, tetapi dinafikan haknya untuk mengajar agama yang mana dia sendiri menjadi rujukan dalam urusan agama.

B. DAKWAH DAN DIALOG
4. Melihat kepada cara penahanan ini dilakukan saya percaya ada perkara yang tidak kena pada pengurusan perkara ini yang nampak lebih bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak yang lain melalui permainan salah guna kuasa.
5. Usaha menyebarkan Islam dan memberikan KEFAHAMAN ISLAM YANG SAHIH menurut sumber yang asal daripada al-Quran dan al-Sunnah hendaklah disokong agar umat Islam terus maju ke hadapan dan keluar daripada kepompong taqlid yang memundurkan umat Islam.
6. Pihak berkuasa agama sewajarnya mengambil pendekatan NASIHAT DAN DIALOG secara bersemuka dengan pihak yang tidak disenangi, bukannya menjadikan penggunaan kuasa sebagai cara yang pertama dan utama.

7. Saya mencadangkan agar isu khilaf dibincang secara DIALOG TERBUKA di hadapan pihak berkuasa agama dan KETUA AGAMA NEGERI agar wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain, agar dapat dicari mana satu pandangan yang sahih dan sebaliknya.
8. SEJARAH Malaysia sudah mencatitkan perkara khilaf adalah suatu yang lumrah, bahkan pihak Raja-Raja Melayu pernah menuntaskan perkara ini secara yang amat professional iaitu melalui dialog secara terbuka seperti yang pernah berlaku di Istana Kelantan pada zaman TOK KENALI. Ia juga pernah berlaku di Istana Selangor dan Istana Kedah.
9. Agama Islam meletakkan nasihat dan dialog ilmiah (hiwar ‘ilmiy) sebagai cara menyelesaikan masalah. Penggunaan kuasa ada adab dan caranya, apatah lagi terhadap para ulama yang tidak wajar dilayan dan diherdik umpama penjenayah. Apakah wajar wang rakyat dihabiskan sehingga perlu seramai lebih 50 anggota Jabatan Agama dan Polis dibelanjakan untuk operasi menghalang ceramah agama ini?
10. Sewajarnya pemantauan ceramah dilakukan terhadap penceramah yang mencalarkan imej Islam dengan cerita dusta dan dalil daripada hadis palsu serta mengajak umat Islam beramal dengan amalan yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Hadis, bukannya menghalang ceramah yang bersifat akademik dan berhujah dengan dalil.

C. TAULIAH
11. Isu TAULIAH MENGAJAR AGAMA adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Ia adalah suatu peraturan yang BERSIFAT DUA MATA yang boleh membunuh tuannya jika disalahgunakan. Ia akan lebih parah jika ia digunakan oleh pihak tertentu yang berselindung di sebalik kedudukan sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan mereka yang hendak diberi tauliah.
12. Suatu yang pasti, mereka yang menapis pemberian tauliah perlu ada ketelusan dari sudut prosedurnya kerana mereka bertindak bagi pihak berkuasa agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan. Apakah benar wujud suatu STANDARD DALAM PROSES PEMBERIAAN TAULIAH ini sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi Tinggi Islam yang diiktiraf pun perlu ditapis dan diselidik? Adalah tidak logik mereka yang lebih rendah kemahirannya untuk menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahiran daripadanya?
13. Generasi muda Islam semakin berminat dengan penyampaian dakwah oleh generasi muda yang progresif dan berfikiran terbuka. Apakah kerana ceramah seseorang itu menarik demikian ramai orang muda dan memberi kesedaran kepada banyak pihak menjadi punca persoalan tauliah dipertanyakan? Apakah tidak memadai dengan pengiktirafan istitusi pengajian tinggi dan pengiktirafan pihak berkuasa sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia untuk melayakkan seseorang itu mengajar agama?

D. MKI
14. Sudah sampai masanya pihak berkuasa tertinggi Negara iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bersidang untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi yang melaksanakan urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu agar pengamalan Islam di Negara ini menepati kehendak al-Quran dan al-Hadis.

DR JUAND A JAYA,
MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS
Kuching, 02/11/2009