Monday, February 6, 2012

BACAAN YASSIN UNTUK ARWAH EMAK DAN TAZKIRAH DARIPADA BAPAK


Sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu kami sekeluarga adik-beradik ipar duai, anak-cucu dan cicit berkesempatan pulang ke kampung berkumpul serta menziarahi bapak.

Sejak emak kembali ke Rahmatullah pada 1 Oktober 2011 yang lalu dan disusuli majlis tahlil dan kenduri arwah selama tiga dan tujuh hari, ini pertama kali kami berkumpul.

Semua adik-beradik dan ipar-duai berkumpul. Hanya beberapa cucu dan cicit tidak berkesempatan hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ada adik-beradik yang tiba dua hari lebih awal, dan ada juga yang tiba dan pulang pada hari majlis tahlil dan bacaan Yassin emak diadakan.


Pada perjumpaan keluarga itu, kami adik-beradik dan cucu-cucu yang ada mengambil kesempatan untuk bergotong-royong mengemas barangan lama di setor dan khemah sementara di belakang rumah.

Dua hari diperuntukan untuk memilih dan mengemas barangan lama itu.

Pada sebelah malam kami bersolat maghrib berjemaah dan disusuli majlis tazkirah. Bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah emak diadakan selepas solat Isya diikuti amanat dan ucapan.

Solat jemaah dan ucapan amanat diimamkan dan disampaikan oleh abang Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) manakala majlis bacaan Yassin dan tazkirah dipimpin dan disampaikan oleh bapak (Hamidi@Radin Hj Ahmad Tarmidzi Radin Hj Abdul Fattah).

Walaupun dengan nada suara yang tidak jelas dan tersekat-sekat, bapak yang sudah kurang pendengarannya berupaya menyuntik ilmu agama berkisar kisah Nabi Musa dan Firaun kepada anak-anak dan cucu-cucu yang hadir untuk bekalan hidup.

Inilah saat bapak dapat berkumpul bersama-sama anak-anak, menantu dan cucu-cucunya. 

Ketika ketiadaan kami, bapak lebih banyak menghabiskan masa membantu menguruskan Maahad Tahfizah yang diusahakan abang Zahid di belakang rumah, mengajar fardhu ain kepada pelajar maahad itu serta mengajar Al-Quran dan agama kepada dua orang jururawat dan seorang pembantu yang berada di rumah.

Pada mulanya kami merancang untuk mengadakan kenduri arwah dan tahlil dengan menjemput orang-orang kampung. Namun kerana bekalan bahan keperluan sukar diperolehi pada musim Tahun Baru Cina serta tidak mahu menjejaskan mereka yang merancang awal mengadakan kenduri kahwin dan majlis kenduri lain, maka kami hanya mengadakan majlis itu ala kadar yang dihadiri anak-beranak.

Bahagian atas rumah pusaka peninggalan arwah emak dan opah yang telah diubahsuai, hari itu kami jadikan musollah.

Seleps ini Perjumpaan keluarga seperti itu yang disertai majlis tahlil, bacaan Yassin dan tazkirah oleh bapak akan diadakan setiap tiga bulan.


No comments: