Sunday, February 26, 2012

BARU DUA BULAN DILANCAR, KEDAI MY AGRO KINI SEPI


Kedai MyAgro Hypermarket yang terletak di Malaysia Agriculture Exposition Park Serdang (MAEPS) sudah dua bulan dibuka.

Ia dirasmikan pada 8 Januari 2012 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar setelah pelbagai acara meriah diadakan selama dua hari sebelum itu sempena perasmian berkenaan.

Namun hari ini, 26 Februari 2012, ketika saya berkunjung dengan isteri suasana lengang dan sepi, walaupun waktu itu masih belum tengah hari.

Saya mendapat maklumat kewujudan Hypermarket itu melalui media dan internet. 

Selepas beberapa kali tertangguh, hari ini saya mendapat kesempatan untuk berkunjung.

Jauh ke dalam di tapak MAHA di tepi lebuhraya ke Serdang. Tiada papan tanda arah khusus untuk ke sana, cuma yang ada 'bunting' mengenai Hypermarket itu yang kini sudah dibuka.


Bangunannya tersergam dan indah serta terpampang besar nama hypermarket berkenaan.

Namun kami agak tertanya-tanya apabila terlihat jumlah kereta di tempat parkir yang begitu sedikit.

Dan ternyata sangkaan kami, ruang pameran barangan yang luas dan selesa hanya dikunjungi pelanggan yang jumlahnya tidak sampai sepuluh orang ketika itu.

Di ruang depan berhampiran kaunter pembayaran, peniaga kain, tudung dan keluaran tempatan lain hanya berbual sesama mereka tanpa dikunjungi pelanggan. Malah ada yang menjamu selera di meja kaunter jualannya.


Keseluruhannya, jumlah dan jenis barangan yang dijual di dalam Hypermarket itu bolehlah tahan. Harganya agak murah dan terdiri daripada keluaran tempatan yang tidak terdapat di Hypermarket lain.

Namun mungkin kerana kurang promosi dan lokasi yang jauh dari kawasan perumahan menjadikannya lengang dan sepi.

Kami menjadi lebih kecewa lagi apabila singgah di Kedai Ikan Rakyat di lantai yang sama dengan Hypermarket berkenaan.

Ikan-ikan yang dijual tidak segar dan ada yang pecah perut. Manakala bakul-bakul sayur banyak yang kosong. Malah sayur yang adapun layu dan layak untuk dibuang. Sayur peria yang tinggal tiga batang di sebuah bakul, bukan sahaja layu tetapi sudah lembik.

Kedai Ikan Rakyat itu yang pada mulanya dibuka setiap hari, kini hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad pada waktu terhad kerana kurang sambutan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengurusan Syarikat Ikan Bakar Sekinchan yang mengendalikan perniagaan di kompleks Agro Hypermarket itu perlu segera mencari jalan supaya perniagaan di bangunan itu tidak terkubur.

Friday, February 24, 2012

KESAN PORNOGRAFI TERHADAP OTAK

Ahli bedah saraf dari Hospital San Antonio, Amerika Syarikat, Donald L. Hilton Jr MD mengatakan bahawa ketagihan mengakibatkan otak bahagian tengah depan yang disebut Ventral Tegmental Area (VTA) secara fiziknya mengecil.

    “Pornografi menimbulkan perubahan tetap pada neorotransmiter dan melemahkan fungsi kawalan. Ini yang membuat orang-orang yang sudah kecanduan tidak dapat lagi mengawal perilakunya,” kata Hilton serta menambah bahawa ketagihan pornografi juga menimbulkan gangguan memori. Keadaan itu, tidak terjadi secara cepat dalam waktu singkat namun melalui beberapa tahap yakni kecanduan yang ditandai dengan tindakan impulsif, ekskalasi kecanduan, desensitisasi dan akhirnya penurunan perilaku.

“Dan kerosakan otak akibat kecanduan pornografi adalah yang paling berat, lebih berat dari kecanduan kokain (dadah).”


12 fatamorgana tentang pornografi yang terlanjur tercipta secara tidak sengaja oleh otak kita:

1. Pornografi memberi makan pada 'keinginan mata' dan 'keinginan daging' yang tidak akan pernah dapat dipuaskan. Pornografi hanya akan membuat ‘penontonnya’ minta tambah, tambah, dan tambah lagi.

Dengan mudah, pornografi memperbodohkan orang dengan nafsunya dan membuka pintu terhadap segala jenis kejahatan seperti kemarahan, penyiksaaan, kekerasan, kepahitan, kebohongan, iri hati, pemaksaan, dan keegoan. Kekuatan tersembunyi disebalik pornografi akan menunjukkan dirinya pada ketika orang yang sudah terlibat berusaha menghentikan kebiasaannya. Tanpa bantuan, biasanya orang itu tidak berdaya untuk melepaskan diri.

2. Pornografi membuat cara berfikir seseorang menjadi penuh dengan seks semata. Fikiran seks akan menguasai alam bawah sedar mereka. Gambar berbau seks akan melekat pada otak mereka, sehingga pada ketika seseorang memutuskan untuk berhenti melihat pornografi pun, gambar-gambar yang pernah dia lihat dimasa lalu akan bertahan sampai beberapa tahun bahkan selama-lamanya.

3. Pornografi menjadi medan promosi terhadap praktik seksual yang menyimpang. Contohnya, laman porno internet biasanya terhubung dengan laman porno yang lebih progresif seperti homoseks, pornografi kanak-kanak, seks dengan haiwan (bestiality), perkosaan, seks dengan kekerasan dan lainnya.

Ini akan membuat orang-orang tertentu terganggu secara mental dan tercabar untuk mencubanya. Dengan demikian, makin banyaklah perilaku seks menyimpang dalam masyarakat.

4. Pornografi membuat seseorang terpicu untuk lebih suka melayani diri sendiri dibanding orang lain. Masturbasi / onani adalah contohnya. Ini adalah tindakan pemenuhan nafsu peribadi yang dapat membuat seseorang sulit menerima dan memberi cinta yang sebenarnya pada orang lain. Pornografi biasanya membuat orang kecanduan masturbasi / onani.

5. Pornografi akan membawa seseorang terhadap penggunaan waktu dan wang dengan sangat buruk. Sedikit ada waktu terluang atau wang lebih, akan dihabiskan untuk memuaskan hawa nafsunya.

6. Dengan sering melihat laman porno atau membeli filem / majalah porno, orang-orang tersebut mendukung perkembangan industri pornografi yang biasanya dikelola oleh 'kejahatan terorganisasi' yang mencari wang dengan cara haram.

7. Terbiasa melihat pornografi akan merosakkan hubungan orang tersebut dengan sekelilingnya, dalam hal ini keluarga atau orang-orang terdekatnya.

Pada hubungan kekasih, hubungan yang berkembang menjadi tidak sihat. Orang yang terlibat pornografi akan menyalahkan kekasihnya pada tindakan-tindakan seksual yang mereka lakukan. Padahal masalah itu terdapat pada peribadinya sendiri, dan pasangannya adalah si ‘mangsa’. Pada pasangan yang telah menikah, ini akan memicu ketidakpuasan seksual dan praktik seksual yang menyimpang sehingga mengarah ke arah ketidakharmonian keluarga, bahkan perceraian.

8. Dalam banyak kes, pornografi membuat seseorang kehilangan daya kerjanya. Yang sebelumnya aktif dan kreatif boleh menjadi tidak fokus dalam pekerjaan.

9. Pornografi dapat merosak hubungan seksual dengan pasangan kerana terbiasa membayangkan orang lain dalam hubungan seksual.

Imaginasi adalah salah satu kesan pornografi yang sangat kuat. Nilai dan kemurnian seksual sesungguhnya menjadi rosak.

10. Melihat pornografi akan membuat seseorang menjadi sering berbohong.

Orang yang terikat dengan pornografi akan menyimpan kebiasaannya ini sebagai rahsia, sehingga dengan berbohong dia dapat menyembunyikan rasa malunya dan menghindari kritik dari lingkungannya. Ke mana pun dia pergi, dia akan cenderung memakai ‘topeng’.

11. Pornografi akan membawa seseorang pada konsekuensi spiritual yang serius.

Tekanan dan kebingungan akan memenuhi hidupnya. Pornografi membawa kekuatan jahat yang akan mengawal dan mendominasi penontonnya. Sekali saja seseorang melihat pornografi, itu akan membawanya semakin dalam. Nilai moral yang benar makin lama makin pudar, sehingga timbul standard ganda yang membingungkan.

12. Pornografi akan membuat seseorang mempercayai semua kebohongan yang ditawarkan oleh pornografi sendiri.

Contoh kebohongan yang ditawarkan ialah :

a. Kebebasan seksual = kebahagiaan.
b. Penyimpangan seksual = normal.
c. Bila-bila saja melampiaskan keperluan seksual = hal yang benar dan wajar.
d. Setiap hari masturbasi = sihat.
e. Pornografi = tidak menyakiti siapa pun.
f. Bintang porno = orang paling bahagia di dunia.
g. dll.

Wednesday, February 22, 2012

APA ITU BAI'AH

Bai`ah bermaksud berjanji untuk taat. Bai`ah sememangnya wujud dalam amalan Islam. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:

“Bahawasanya mereka yang memberi bai`ah kepada kamu, sesungguhnya mereka memberi bai`ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggar (bai`ah), sesungguhnya (akibat) melanggar bai`ah akan menimpa dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang menunaikan apa yang dia janjikan kepada Allah, maka Dia akan memberinya ganjaran yang besar.” (Al-Fath : 10)

Dalam sebuah hadits Ibn Umar ada mengatakan yang bermaksud:

“Kami apabila membai`ah Rasulullah s.a.w adalah atas dengar dan taat dan dia berkata kepada kami ‘Pada apa yang kamu mampu’.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Bai`ah diamalkan dalam pelbagai bentuk kumpulan Islam. Ia bukan hanya diamalkan oleh oleh perkumpulan berorientasi politik tetapi juga amalan biasa dalam perkumpulan sufi.

Isu bai`ah ini amat relevan dalam usaha menangkis ideologi pelampauan kerana ia adalah satu amalan yang juga digunapakai oleh kumpulan-kumpulan pelampau.

Amalan bai’ah pada asalnya bukanlah suatu pelampauan, namun ia sering disalah gunakan oleh pimpinan yang mengaku atas nama Islam untuk melemahkan psikologi para pengikut dalam menjaga ketaatan mereka kepada organisasi.

Ketika inilah, kalangan anggota-anggota kumpulan pelampau merasakan terperangkap setelah memberi bai`ah kepada kumpulan berkenaan. Mereka merasa takut sekiranya meninggalkan kumpulan berkenaan atau tidak taat pada arahan ketua, mereka telah melakukan satu dosa besar dan laknat ALLAH SWT akan jatuh ke atas mereka kerana sumpah setia yang telah diberi atas nama ALLAH SWT itu. Mereka takut dilabel sebagai pengkhianat agama.

Begitu pula, sekiranya sebuah bai’ah itu diberi kepada sesuatu perkumpulan Islam asalnya,namun pengikut kumpulan tersebut merasakan tidak mampu kekal di dalam bai’ah berlaku ketidakselarian syara’. Contohnya, pimpinan mengisytiharkan akidah bagi perkumpulan mereka ialah wahabbi-mujassimmah atau syiah, liberal dan sebagainya.

Maka, jelas melanggar kesepakatan ulama, maka wajiblah ketika itu para pengikut melanggar bai’ah yang terbentuk.

Satu misalan lagi, sekiranya para pengikut merasakan ada gabungan jamaah Islam lain yang mampu memenuhi segala kehendak syara’ dan bergerak atas landasan Islam yang syumul. Maka bai’ah tersebut terus dilanjutkan kepada gabungan jamaah tersebut.

Namun tidak boleh sesiapa pun mewajibkan orang lain untuk mengikut jejaknya dalam memberi bai`ah dan menyalahkan orang lain yang tidak melakukannya dengan tuduhan bahawa matinya akan seperti mati jahiliyah.

Adapun orang yang telah memberi bai`ah kemudian melanggar bai`ahnya secara tidak syar`ii, walaupun dia berdosa kerana melanggar janji tetapi tidak dikatakan sebagai terkeluar dari agama dan masuk ke neraka. Dia tidak pula dituduh sebagai telah keluar dari jemaah kaum Muslimin.

Bai`ah yang diberi kepada kumpulan-kumpulan dakwah dan lain-lain pula tidak akan menjadi bermakna lagi jika kumpulan berkenaan telah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Bai`ah yang diberi kepada mana-mana individu pula tidak boleh membawa kepada ketaatan pada yang bukan makruf kerana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tiada ketaatan kepada sesiapa dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat hanya pada perkara yang makruf (baik).”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Pemimpin dalam kumpulan dakwah atau tarikah yang diberikan bai`ah kepadanya ditaati sejajar dengan konsep ketaatan kepada pemimpin yang lain iaitu pada perkara yang makruf dan tidak pada perkara yang maksiat.

Bai`ah sedemikian pula tidak menjadikan seorang pemimpin itu sebagai sumber kebenaran atau dilihat sebagai maksum. Kebenaran yang datang dari pemimpin seperti ini, diterima kerana sandarannya pada dalil Al-Quran, Sunnah. Qiyas, Ijma’ Ulama dan bukan kerana ia datang dari dirinya. Menganggap pemimpin yang dibai`ah sebagai sumber kebenaran dan maksum adalah taksub dan pelampauan yang tercela.

Apabila seseorang telah memberi bai`ah lalu dia dapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia janjikan dalam bai`ahnya, atau berjumpa dengan kumpulan yang lebih baik atau berjumpa dengan pemimpin yang lebih soleh dan baik, maka dia boleh dan dianjurkan dia untuk menerima apa yang lebih baik dan meninggalkan apa yang dia ada. Ini berdasarkan pada firman Allah taala yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu jadikan Allah sebagai sasaran bagi sumpah kamu untuk menghalang kamu dari melakukan kebaikan, bertakwa dan melakukan islah sesama manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah : 224)

Saturday, February 18, 2012

POLITIK ORANG BERNIAGA

Politik orang berniaga tidak kurang hebat berbanding dengan orang yang berpolitik. Lobi melobi untuk mendapatkan projek dengan pelbagai cara
sudah menjadi asam garam.
 
Pesaing lawan pesaing memang lumrah. Tapi kawan makan kawan juga semakin menjadi lumrah.

Pelbagai karaktor orang perlu ditemui dan sesetengahnya terpaksa dihulurkan duit kopi untuk memudahkan urusan walaupun  tidak semestinya projek dalam genggaman.

Kalau urusan dengan air liur, hasil yang dapat juga air liur. Oleh  itu orang berniaga perlu ada modal untuk itu semua. 

Cara kita bercakap, berurusan, layanan dan aksi kita juga memainkan peranan. Berbincang mengenai projek berjuta ringgit tetapi tempatnya di kedai mamak atau di bawah pokok dan minum air kosong, hasilnya juga tin kosong.

Sesetengahnya pula untuk memberi keyakinan orang, mereka sanggup meminjam atau menyewa kereta mewah siap dengan pemandu. Tetapi tindakan itu bagaimanapun akhirnya terbongkar. Oleh itu apa juga tindakan, perlu ada kejujuran  dan ikhlas.

Thursday, February 16, 2012

BILA KITA JADI BOS

(Sajak ini dipetik dari sebuah laman sesawang)
http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=37706

Bila kita jadi boss..
Nama baik mengidam di kepala
Kita nak tunaikan apa saja permintaan pekerja
Kita nak jaga kebajikan pekerja
Kita nak jadi boss favourite pekerja

Bila kita jadi boss..
Kita nak naikkan produktiviti syarikat
Biar orang lagi atas... terbeliak biji mata
Kita nak buat perubahan...
Agar orang nampak..kita dah jadi boss... .

Bila kita jadi boss
Mula lah kita lupa siapa kita
Dulu boleh pegang penyapu kini semua dah lupa
Orang disuruh buat itu dan ini...
Kalu boleh, makan pun nak disuapkan
Biar tangan tak bau kari..
Ops! Kari dah tukar kepada steak... .

Bila kita jadi boss
Mata mula meliar merata-merata pelusuk ceruk
Mula cari apa tak kena
Semua perkara salah belaka
Undang2 baru melata di notice board
Semuanya mahu segera A.S.A.P!!!!!
Tunggu masa je nak buang pekerja
Tangan gatal nak sign warning letter!

Bila kita jadi boss..
Kita nak shopping tempat hebat2
Takut terserempak dan diperlekehkan pekerja
Biarkan pun poket kita papa
Asal kita tampak kaya

Sebenarnya...
Bila kita jadi boss..
Undang2 baru kita tak semua leh pakai
Buat pekerja nyampah kita
Tambahkan lagi keja pekerja
Tambahkan lagi ot maka tambahkan aliran kuar syarikat

Dan..kita juga lupa
bila kita jadi boss..
Penambahan keja2 kononnya tingkatkan produktiviti
Kita tambahkan lagi hutang syarikat
Akibatnya... syarikat kerugian
Salah kita ker ??

Jarang-jarang kita ingat
Bila kita jadi boss..
Sepatutnya kita lebih berwaspada dan peka
Berwaspada pada segala tingkah laku kita
Sebab ia contoh para pekerja
Peka terhadap keperluan kerja
Bukan nak siap awal tapi biar berkualiti

Kadang-kadang kita lupa
Jangan eksyen sangat
Kebajikan pekerja diambil kira ikut kemampuan
Janji palsu/manis atau tawar cuba elakkan
Kaji kesalahan kita sebelum orang lain
Makanan kari tetap terliur dimulut kita
Petaling Street dilupa jangan
Zakat dah bayar ker??

Sebenarnya...
Walau apa pun kita
Jangan lupa asal usul kita... .
Kita adalah manusia ciptaan Allah Yang Maha Esa

Monday, February 6, 2012

BACAAN YASSIN UNTUK ARWAH EMAK DAN TAZKIRAH DARIPADA BAPAK


Sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu kami sekeluarga adik-beradik ipar duai, anak-cucu dan cicit berkesempatan pulang ke kampung berkumpul serta menziarahi bapak.

Sejak emak kembali ke Rahmatullah pada 1 Oktober 2011 yang lalu dan disusuli majlis tahlil dan kenduri arwah selama tiga dan tujuh hari, ini pertama kali kami berkumpul.

Semua adik-beradik dan ipar-duai berkumpul. Hanya beberapa cucu dan cicit tidak berkesempatan hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ada adik-beradik yang tiba dua hari lebih awal, dan ada juga yang tiba dan pulang pada hari majlis tahlil dan bacaan Yassin emak diadakan.


Pada perjumpaan keluarga itu, kami adik-beradik dan cucu-cucu yang ada mengambil kesempatan untuk bergotong-royong mengemas barangan lama di setor dan khemah sementara di belakang rumah.

Dua hari diperuntukan untuk memilih dan mengemas barangan lama itu.

Pada sebelah malam kami bersolat maghrib berjemaah dan disusuli majlis tazkirah. Bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah emak diadakan selepas solat Isya diikuti amanat dan ucapan.

Solat jemaah dan ucapan amanat diimamkan dan disampaikan oleh abang Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) manakala majlis bacaan Yassin dan tazkirah dipimpin dan disampaikan oleh bapak (Hamidi@Radin Hj Ahmad Tarmidzi Radin Hj Abdul Fattah).

Walaupun dengan nada suara yang tidak jelas dan tersekat-sekat, bapak yang sudah kurang pendengarannya berupaya menyuntik ilmu agama berkisar kisah Nabi Musa dan Firaun kepada anak-anak dan cucu-cucu yang hadir untuk bekalan hidup.

Inilah saat bapak dapat berkumpul bersama-sama anak-anak, menantu dan cucu-cucunya. 

Ketika ketiadaan kami, bapak lebih banyak menghabiskan masa membantu menguruskan Maahad Tahfizah yang diusahakan abang Zahid di belakang rumah, mengajar fardhu ain kepada pelajar maahad itu serta mengajar Al-Quran dan agama kepada dua orang jururawat dan seorang pembantu yang berada di rumah.

Pada mulanya kami merancang untuk mengadakan kenduri arwah dan tahlil dengan menjemput orang-orang kampung. Namun kerana bekalan bahan keperluan sukar diperolehi pada musim Tahun Baru Cina serta tidak mahu menjejaskan mereka yang merancang awal mengadakan kenduri kahwin dan majlis kenduri lain, maka kami hanya mengadakan majlis itu ala kadar yang dihadiri anak-beranak.

Bahagian atas rumah pusaka peninggalan arwah emak dan opah yang telah diubahsuai, hari itu kami jadikan musollah.

Seleps ini Perjumpaan keluarga seperti itu yang disertai majlis tahlil, bacaan Yassin dan tazkirah oleh bapak akan diadakan setiap tiga bulan.


Pembaca Berita TV3 (Jay Jamalina) Tersasul Sebut Anwar Ibrahim PM Malays...




SASUL SEBUT NAMA BUKAN JAWATAN PM

Amboi bukan main seronok juak-juak yang mendakwa tidak pernah membuat fitnah tapi hati busuk apabila pembaca Buletin Utama tersasul menyebut nama orang (bukan jawatanpun).

Siap tayang ibu jari tanda bagus. Tak sempat-sempat terus masuk Youtube menjadikan nama saya turut terkenal (tapi harakahdaily salah eja nama saya). Bersih betul hati mike ye. Tahniahlah kerana hati busuk dah rasa puas dan bangga. Hanya Allah tahu niat mike.

Sunday, February 5, 2012

CUBA PRODUK CAREGEM UNTUK RAWAT GOUT

Sudah bermacam-macam ubat dan rawatan dilakukan untuk menghentikan penyakit gout daripada terus bertapak di tubuh badan aku. Tapi rupanya ia masih menyerang. 

Kali terakhir saya mendapat gout pada bulan Mac tahun lalu (2011). Kalau menyerang, anggota badan yang terkena menjadi bisa.

Itu belum kesan ubat  Colchicine yang menjadikan perut terasa mual dan sentiasa cerit berit. Lemah seluruh anggota badan.

Sudahlah kaki tak boleh menapak dan berjalan mengesut-gesut, dan tidak dapat mengelak untuk sentiasa bergerak ke tandas.

Gout adalah sejenis penyakit akibat berlebihan asid urik di dalam badan.
• Asid urik adalah bahan kumuhan berasal dari sejenis protein yang dipanggil purin.
• Badan kita membuang bahan kumuhan ini melalui air kencing (urin).
• Bagi pengidap gout, asid urik yang berlebihan tidak dibuang dan berkumpul di dalam sendi.

Dan kali ini gout menyerang lagi sejak empat hari lalu. Cuti enam hari sambutan Maulidur Rasul dan Thaipusam serta tambahan dua hari cuti sakit dihabiskan hanya dengan berbaring di rumah.


Kali ini aku mencuba rawatan menggunakan 'warm pad' hasil produk Caregem dari Korea.

Kaki yang sakit terkena gout aku bungkus dengan 'warm pad' bagi memecahkan longgokkan urin asid di kawasan yang diserang.

Harap-harap rawatan kali ini dapat menamatkan sakit gout yang sering berulang di badan.

Dan saya percaya setiap penyakit ada ubatnya sebagai mana firman Allah dalam surah Ash-Shuara ayat 80;

"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku"

Friday, February 3, 2012

KEKANGAN DI AFRIKA SELATAN

Sudah lebih empat tahun tidak berpergian ke luar negara untuk liputan berita.

Sejak menyertai saluran bongsu dimiliki konglomerat media negara, diri terasa terpinggir pulak, walaupun realitinya berita kami sudah menjadi no.2.

Walaupun ada cadangan untuk membuka peluang liputan luar negara secara bergilir kepada yang lain di stesen-stesen di bawah naungannya, tapi bajet masih jadi kekangan utama, walaupun sebenarnya ia boleh diatasi jika pengurusan atasan mahu melaksanakannya.


Namun atas kesedari seorang individu, saya akhirnya diberi peluang juga mengikuti PM melakukan lawatan ke Johannesburg, Afrika Selatan - destinasi tugasan yang senonim dengan saya. Lebih 20 tahun di bidang kewartawanan tidak pernah ditugaskan ke Eropah atau Amerika Syarikat.

Saya terpaksa membawa dua 'station ID' untuk membuat standupper di sana. Namun segala perancangan tidak kesampaian. Standupper yang dikhaskan untuk stesen berita yang saya terajui 'tidak diterima' di Sri Pentas. Penerbit berita terpaksa menggunakan standupper saya memegang 'station ID' stesen lain bagi menggantikan 'standupper' yang hilang.


Sama ada ia berpunca daripada masalah teknikal atau jurukamera kurang mahir mengendali FTP, ia masih menjadi persoalan di minda saya.


Saya juga membuat satu lagi standupper untuk laporan lain di tengah-tengah penyokong Kongres kebangsaan Arfika (ANC) di tengah panas terik.

Namun, sekali lagi sia-sia kerana semua visual dan cutaways tidak menjadi. Visual tersekat-sekat. Kekangan dan halangan sudah menjadi lumrah ketika membuat liputan di luar negara. Karenah birokrasi yang tidak masuk akal sering menguji kesabaran.

Itu belum lagi berdepan dengan hasil kerja jurukamera yang'di luar jangkaan'. Ketika membuat standupper di dataran Nelson Mandela pada hari pertama di Afrika Selatan, saya mengambil masa kira-kira satu jam berurusan dengan pihak pengurusan kompleks perniagaan itu untuk mendapat kebenaran. 

Akhirnya saya tidak dapat juga membuat standupper di situ. Alasannya pihak pengurusan kompleks tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

Sebagai alternatif saya membuat standupper di luar kawasan dataran itu, di kawasan parkir hotel. Kekangan dihadapi bukan oleh media sahaja.

Malah Perdana Menteri dan lebih 40 pemimpin negara lain yang dijemput secara rasmi oleh Presiden Jacob Zuma untuk ke Afrika Selatan sempena sambutan 100 tahun ANC, juga tidak dapat layanan sebagaimana yang sepatutnya.