Friday, September 2, 2011

TERCARI-CARI PISAU POTONG DAGING






Macam biasa hari raya kebanyakan wargakota balik kampung. 
Pekan kecil yang selama ini ditinggalkan sepi, mula sesak apabila anak rantau membawa emak bapa dan adik-beradik berbelanja barang dapur yang tak cukup-cukup.

Begitulah pekan Bagan Datoh, jumlah kereta yang selama ini boleh dikira lalu di jalan utama, tak semena-mena menjadi sesak. Tiada ruang untuk meletak kereta di depan kedai.

Penjual ayam, daging dan sayur di Pasar basah yang selama ini termenung menunggu pelanggan, kini menambah pembantu untuk melicinkan urusan jualan.

Gerai ayam di satu sudut pasar membabitkan tidak kurang 10 orang untuk melayan pelanggan. Itupun semuanya tak menang tangan. Pelanggan terpaksa berbaris untuk membuat pesanan. 

Bapak yang sudah bebarapa hari lalu memesan 15 ekor ayam, terpaksa juga menunggu beberapa lama untuk mendapatkan daging ayam yang sudah dipotong dan disiapkan.

Beberapa kedai runcit di deretan rumah kedai turut menjadi tumpuan. Masing-masing memesan keperluan tambahan yang masih tidak cukup di dapur. Penyembur nyamuk turut mendapat perhatian. 

Ini kerana inilah masanya nyamuk yang menyorok di belakang almari dan di bawah meja mendapat habuan darah-darah anak rantau yang akan tidur di sudut-sudut itu bersama keluarga mereka.

Masa inilah rumah besar yang mempunyai lebih sepuluh bilik masih tidak cukup untuk menampung anak cucu yang mula 'check-in' di rumah yang sudah lama ditinggalkan.

Ruang rumah yang selama ini menjadi laluan semut dan tebaran habuk-habuk sudah dipenuhi oleh tilam-tilam. Paku di dinding bekas bingkai gambar sudah tidak cukup untuk dijadikan penyangkut baju dan seluar.

Oleh kerana keperluan mendesak itu, ada keluarga yang membawa tali nylon dan almari plastik untuk menyangkut tuala mandi dan baju raya. 

Bagi yang berduit pula mungkin mereka dapat membina bilik dan membesarkan bilik ekslusif berhawa dingin dan bilik mandi untuk keluarganya. 

Dan bagi anak-anak mereka yang sekadar mampu hidup sederhana di kota, selepas raya mereka terpaksa pergi ke klinik untuk mendapat rawatan sakit gatal dan bengkak kulit kerana mandi air kolah yang kotor, kerana lama tidak dicuci.

Itulah sedikit asam garam hari raya di kampung. Itu belum lagi anak-anak  yang tercari-cari pisau di rumah untuk memotong daging dan mencari gula dan beras untuk dimasak. Ini kerana rumah di kampung sudah lama ditinggalkan dan tidak dikunjungi.

No comments: