Monday, September 26, 2011

GHAIRAH DAPAT GELARAN (DATO')



Foto : ABD. RAZAK (kanan) memeriksa kereta Rolls Rocye yang disewa khas sebuah syarikat hartanah dipercayai untuk menipu pelabur-pelabur asing di Bandar Puteri, Puchong.



Ini bukan kisah orang gila tetapi kisah orang yang gila mendapat gelaran ‘Dato’.

Lelaki berkenaan diberitahu pernah menjadi pemandu atau pengawal peribadi dan pembantu kepada seorang Ketua Korporat syarikat pembangunan hartanah berbangsa Cina.

Isterinya pula sering membawa van untuk menghantar dan mengambil pelajar sekolah atau senang cerita bas sekolah tanpa permit. Mereka yang sebelum ini duduk di sebuah flat dua bilik di sebuah taman perumahan di pinggir kota, baru sahaja berpindah dan tinggal di rumah teres dua tingkat.

Apa yang hendak diceritakan ini kisah mereka yang terlalu ghairah mewarwarkan gelaran Dato dan Datin yang didakwa baru mereka perolehi.

Saya mula mendapat cerita itu selepas menghadiri majlis rumah terbuka sebuah sekolah menengah di kawasan perumahan itu dua minggu lalu. Pengetua membisikkan kepada saya, “lelaki Y itu betul ke dah dapat gelaran Dato?’.

Saya sekadar menjawap tidak tahu dan tak pernah dengar. Lalu pengetua berkenaan mengeluarkan dari beg tangannya kad nama lelaki berkenaan.

Jelas ada nama Dato’ di awal namanya di atas kad itu. Di atas barisan namanya ada lambang bendera kuning berjalur warna lain.

Di bawah namanya pula tertulis beberapa huruf menunjukkan singkatan ‘gelaran’ diikuti perkataan Melaka dengan tanda kurungan. Yang menghairankan saya tiada lambang atau bendera negeri Melaka di atas kad itu.

Daripada pengetahuan saya yang sebelum ini pernah mendapat anugerah bintang (BCM) dari Melaka, tidak pernah terlihat huruf yang tertera di kad lelaki berkenaan dalam senarai pingat, bintang dan darjah dari Melaka.

Lantas terbayang di fikiran saya mengenai liputan berita yang pernah saya luluskan mengenai tangkapan polis di Serdang, Selangor. Laporan mengenai berita itu juga pernah disiarkan di sebuah akhbar tempatan seperti di bawah ini.


--------------------------------------------------------------------------------

SERDANG - Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce bernilai RM2.85 juta yang tertera nama 'D.Y.M.M Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Y.A.M Raja Tuah Shah' yang dipercayai digunakan untuk menarik rakyat asing melabur dalam satu perniagaan hartanah global yang dilancarkan di Bandar Puteri, Puchong dekat sini semalam.


Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kereta itu dirampas pukul 1.30 petang ketika ia diletakkan di tempat letak kereta di sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat tempat berlangsungnya majlis perasmian bangunan syarikat tersebut.


"Semasa diperiksa kereta itu tiada cukai jalan, menggunakan nombor pendaftaran palsu. Siasatan mendapati kenderaan itu disewa dari sebuah kedai kereta terpakai," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.


Difahamkan, kereta itu disewa dengan harga lebih RM600 sehari termasuk bayaran perkhidmatan seorang pemandu.


Menurut beliau, kereta itu dipercayai digunakan oleh syarikat tersebut sebagai gimik bahawa syarikat itu benar-benar berjaya dalam bisnes dan disokong oleh kerabat diraja Kesultanan Melaka.


Nama Raja Noor Jan mula menjadi sebutan pada tahun 2006 apabila dia muncul menuntut takhta Kesultanan Melaka.


Raja Noor Jan mendakwa dia adalah pewaris sah Raja Alang Abdul Rahman yang merupakan anakanda Sultan Abdullah Mohammad 1, Sultan Perak ke-22.


Mengulas lanjut, Abd. Razak berkata, selain kereta itu polis turut menahan tiga lelaki termasuk pemandu kereta itu.


"Pemandu kereta itu merupakan pekerja kedai kereta terpakai tempat kereta itu disewa dan dia yang berusia 35 tahun didapati positif mengambil dadah syabu," kata beliau.


Dua lagi lelaki yang ditahan dipercayai menjadi penganjur majlis perasmian bangunan itu.

----------------------------------------------------------------------------
Yang menjadi perbualan di kalangan masyarakat setempat di perumahan itu bukan sahaja gelaran itu tetapi cara lelaki dan isterinya mempromosikan gelaran ‘Dato’ itu.

Seorang AJK PIBG sebuah sekolah kebangsaan menceritakan bagaimana lelaki itu meminta seorang guru membacakan surat ‘watikah’ gelaran yang diperolehinya di depan murid-murid.

Lelaki itu juga dikatakan memegang jawatan Naib YDP PIBG di sekolah berkenaan.
Manakala isterinya dikatakan mengedarkan kad nama kepada perwakilan wanita sebuah parti politik.

Kad itu dilaporkan bertulis ayat yang menyatakan beliau dianugerahkan gelaran ‘Datin’ (yang sepatutnya gelaran itu secara automatic terpakai tanpa dianugerahkan jika suami bergelar Dato’).

Tulisan ini tidak bermaksud memperkecilkan ‘anugerah’ kepada mereka berdua sekiranya anugerah yang diterima benar-benar dari negeri Melaka dan disampaikan oleh TYT Yang DiPertua Negeri, Tun Khalid Yaakob dalam istiadat rasmi.

Namun jika ia diterima daripada individu lain dan di tempat selain balai istiadat, lelaki itu dan isterinya perlu diberi nasihat mengenai pentingnya gelaran seumpama itu dijaga dan tidak disalahgunakan serta dijaja di tepi jalan.

No comments: