Tuesday, September 27, 2011

AKU BANGGA DENGAN TITAH INI

Islam diperalat untuk dapatkan kuasa - Raja Nazrin Nazrin

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah.

Pada masa sama baginda dalam titah ucapannya turut mengingatkan bahawa kemusnahan ummah bukan lagi menghadapi pencerobohan daripada Alfonso de Alburque atau Stamford Raffles atau Francis Light mahu pun Yamashita tetapi ia datang daripada pencerobohan baru melalui manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.

Baginda bertitah pencerobohan baru itu turut berlaku melalui perlanggaran penggunaan kalimah suci Allah yang telah sekalian lama menjadi hak eksklusif umat Islam tanpa menghiraukan sensiviti serta terhirisnya perasaan mereka. ''Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God.

Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. ''Kalimah suci Allah bukan sekadar nama am yang bermaksud Tuhan walau apa bentuknya.

Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas-Tuhan Maha Suci-Tuhan Maha Agong.

Allah adalah satu-satunya," titah baginda. Baginda bertitah ketika menyampaikan titah ucapan diraja yang bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu Raja Nazrin berkata, adalah amat merbahaya sekiranya prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. ''Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku itu merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini.

Ujian Allah terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya sama ada di kalangan ulama, barisan kepimpinan, organisasi politik hatta raja-raja. ''Ini juga merupakan ujian terhadap ketegasan umat Islam dalam mempertahankan kalimah tauhid, keesaan ilahi, Allah yang satu lagi berkuasa atas segala-galanya dan Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan," titah baginda.

Dalam menghadapi cabaran besar ini baginda menyeru semua umat Islam berpegang dan yakin kepada kalam Allah yang terkandung dalam petikan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud 'Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan.

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Raja Nazrin bertitah, yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah kerana ia datang daripada Allah dan Allah sahaja yang boleh memberi berkat, memberi kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.

''Hanya disebabkan politik, umat Islam janganlah sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang kepada sesiapa sahaja 'mengAllahkan' apa sahaja yang mereka anggap tuhan. (Ia merupakan) satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah," titah baginda.

Monday, September 26, 2011

GHAIRAH DAPAT GELARAN (DATO')



Foto : ABD. RAZAK (kanan) memeriksa kereta Rolls Rocye yang disewa khas sebuah syarikat hartanah dipercayai untuk menipu pelabur-pelabur asing di Bandar Puteri, Puchong.



Ini bukan kisah orang gila tetapi kisah orang yang gila mendapat gelaran ‘Dato’.

Lelaki berkenaan diberitahu pernah menjadi pemandu atau pengawal peribadi dan pembantu kepada seorang Ketua Korporat syarikat pembangunan hartanah berbangsa Cina.

Isterinya pula sering membawa van untuk menghantar dan mengambil pelajar sekolah atau senang cerita bas sekolah tanpa permit. Mereka yang sebelum ini duduk di sebuah flat dua bilik di sebuah taman perumahan di pinggir kota, baru sahaja berpindah dan tinggal di rumah teres dua tingkat.

Apa yang hendak diceritakan ini kisah mereka yang terlalu ghairah mewarwarkan gelaran Dato dan Datin yang didakwa baru mereka perolehi.

Saya mula mendapat cerita itu selepas menghadiri majlis rumah terbuka sebuah sekolah menengah di kawasan perumahan itu dua minggu lalu. Pengetua membisikkan kepada saya, “lelaki Y itu betul ke dah dapat gelaran Dato?’.

Saya sekadar menjawap tidak tahu dan tak pernah dengar. Lalu pengetua berkenaan mengeluarkan dari beg tangannya kad nama lelaki berkenaan.

Jelas ada nama Dato’ di awal namanya di atas kad itu. Di atas barisan namanya ada lambang bendera kuning berjalur warna lain.

Di bawah namanya pula tertulis beberapa huruf menunjukkan singkatan ‘gelaran’ diikuti perkataan Melaka dengan tanda kurungan. Yang menghairankan saya tiada lambang atau bendera negeri Melaka di atas kad itu.

Daripada pengetahuan saya yang sebelum ini pernah mendapat anugerah bintang (BCM) dari Melaka, tidak pernah terlihat huruf yang tertera di kad lelaki berkenaan dalam senarai pingat, bintang dan darjah dari Melaka.

Lantas terbayang di fikiran saya mengenai liputan berita yang pernah saya luluskan mengenai tangkapan polis di Serdang, Selangor. Laporan mengenai berita itu juga pernah disiarkan di sebuah akhbar tempatan seperti di bawah ini.


--------------------------------------------------------------------------------

SERDANG - Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce bernilai RM2.85 juta yang tertera nama 'D.Y.M.M Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Y.A.M Raja Tuah Shah' yang dipercayai digunakan untuk menarik rakyat asing melabur dalam satu perniagaan hartanah global yang dilancarkan di Bandar Puteri, Puchong dekat sini semalam.


Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kereta itu dirampas pukul 1.30 petang ketika ia diletakkan di tempat letak kereta di sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat tempat berlangsungnya majlis perasmian bangunan syarikat tersebut.


"Semasa diperiksa kereta itu tiada cukai jalan, menggunakan nombor pendaftaran palsu. Siasatan mendapati kenderaan itu disewa dari sebuah kedai kereta terpakai," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.


Difahamkan, kereta itu disewa dengan harga lebih RM600 sehari termasuk bayaran perkhidmatan seorang pemandu.


Menurut beliau, kereta itu dipercayai digunakan oleh syarikat tersebut sebagai gimik bahawa syarikat itu benar-benar berjaya dalam bisnes dan disokong oleh kerabat diraja Kesultanan Melaka.


Nama Raja Noor Jan mula menjadi sebutan pada tahun 2006 apabila dia muncul menuntut takhta Kesultanan Melaka.


Raja Noor Jan mendakwa dia adalah pewaris sah Raja Alang Abdul Rahman yang merupakan anakanda Sultan Abdullah Mohammad 1, Sultan Perak ke-22.


Mengulas lanjut, Abd. Razak berkata, selain kereta itu polis turut menahan tiga lelaki termasuk pemandu kereta itu.


"Pemandu kereta itu merupakan pekerja kedai kereta terpakai tempat kereta itu disewa dan dia yang berusia 35 tahun didapati positif mengambil dadah syabu," kata beliau.


Dua lagi lelaki yang ditahan dipercayai menjadi penganjur majlis perasmian bangunan itu.

----------------------------------------------------------------------------
Yang menjadi perbualan di kalangan masyarakat setempat di perumahan itu bukan sahaja gelaran itu tetapi cara lelaki dan isterinya mempromosikan gelaran ‘Dato’ itu.

Seorang AJK PIBG sebuah sekolah kebangsaan menceritakan bagaimana lelaki itu meminta seorang guru membacakan surat ‘watikah’ gelaran yang diperolehinya di depan murid-murid.

Lelaki itu juga dikatakan memegang jawatan Naib YDP PIBG di sekolah berkenaan.
Manakala isterinya dikatakan mengedarkan kad nama kepada perwakilan wanita sebuah parti politik.

Kad itu dilaporkan bertulis ayat yang menyatakan beliau dianugerahkan gelaran ‘Datin’ (yang sepatutnya gelaran itu secara automatic terpakai tanpa dianugerahkan jika suami bergelar Dato’).

Tulisan ini tidak bermaksud memperkecilkan ‘anugerah’ kepada mereka berdua sekiranya anugerah yang diterima benar-benar dari negeri Melaka dan disampaikan oleh TYT Yang DiPertua Negeri, Tun Khalid Yaakob dalam istiadat rasmi.

Namun jika ia diterima daripada individu lain dan di tempat selain balai istiadat, lelaki itu dan isterinya perlu diberi nasihat mengenai pentingnya gelaran seumpama itu dijaga dan tidak disalahgunakan serta dijaja di tepi jalan.

Friday, September 23, 2011

PANDANGAN PEMBACA THE STAR TERHADAP TINDAKAN 'DURJANA' ADUN KOTA ALAM SHAH.

Leave the national flag alone

HOW unbecoming and immature of the state assemblyman from Kota Alam Shah to ridicule our national flag.

The behaviour of such a representative is disgusting to the core to be accepted by any right thinking Malaysian.

Even more irksome is that he had the gall to speculate that if the Opposition assumed governance, he will suggest to change the flag.

His actions and thoughts have breached all ethics in championing the common voice.

Some politicians will go to great lengths to get the limelight and political mileage. How low can they go?

Being a publicly voted representative, he is obliged and duty-bound to further the betterment of the country and society by formulating constructive and critical ideas via valid and founded arguments and not dwell on issues like questioning our national flag, which is the pride of our nation.

Has he forgotten that the recognition and honour a national flag carries is unquestionable and “walks tall” at any official function or meeting.

It is the binding magnetism a national flag carries, no matter what the political inclination of an individual.

Never in history has any political party questioned their national flag, be it in Malaysia or any other country. Looks like the opposition front must send some of their elected representatives for lessons on history and patriotism.

I am sure this assemblyman has in his lifetime saluted the flag during his school days and what a shame that today he is shy of it?

It is time that politicians realise that they too are citizens of this country and owe an obligation to keep certain issues out of political smear.

Let’s not belittle our Malaysian pride, like the national flag, to the amusement of foreigners and in the international media.

NARINDER PAL SINGH,
Shah Alam.

Thursday, September 22, 2011

KENYATAAN MANOHARAN SEBAGAI BAHAN SEJARAH

Segaja saya perturunkan rencana oleh Datuk Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia. Sejak terbaca laporan mengenai tindakan Manoharan itu, saya sangat sakit hati dan jiwa jadi lebih memberontak terhadap pemimpin DAP dan Pakatan Pembangkang yang cauvinis. Rencana di bawah sebagai catatan sejarah bagi diri saya dan negara terhadap kedurjanaan golongan kaum seperti Manoharan.

Walaupun DAP menyetakan isu itu sudah selesai setelah Manoharan memohon maaf, tapi ia tidak semudah itu untuk dilupakan.


Jalur Gemilang: Hasutan Manoharan cukup bahaya

Oleh Zaini Hassan

SEORANG rakan buku muka saya, Zarn Reyes menulis: “Salam semua ... Jom letak gambar profil Jalur Gemilang bagi nyatakan sokongan pada team Olimpik negara yang akan berdepan Jepun... Tanah Tumpah Darahku.” Malaysia akan menentang Jepun pukul 7 malam ini.

Mesej itu sungguh jelas. Rakyat negara ini sanggup menumpahkan darahnya pada tanah air ini, untuk bola sepak. Jalur Gemilang adalah maruah bagi keutuhan negara ini. Itulah semangat yang ada pada kita semua rakyat Malaysia yang tulen dan sejati.

Rakyat yang sayangkan tanah air tercinta – tanah tumpah darahku ini – tidak akan bersifat keterlaluan, ekstrem dan cauvinis seperti yang ditunjukkan oleh segelintir manusia, seperti M. Manoharan yang tidak mengenang budi kepada negara tercinta ini.

Apa yang ada dalam fikirannya ialah menumbangkan kerajaan yang ada dan mahu membentuk negara yang akan dicorakkan semula mengikut kesukaan mereka. Malah warisan turun-temurun negara ini juga mahu dimusnahkan dan ditukar, sebagai mana segelintir negara lain yang sanggup menukar sejarah – bagi melupakan warisan silam asal usul negara itu.

Itulah yang mahu dilakukan oleh DAP. Itulah yang mahu dilakukan oleh ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan yang cukup-cukup-cukup cauvinis itu!

Ternyata beliau telah membuat hasutan yang amat serius apabila secara terbuka berkata mahu menukar Jalur Gemilang – simbol tanah tumpah darahku itu – kepada satu simbol lain jika DAP memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum kelak.

Cis! Tidak terlintas di akal rakyat di mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang sanggup membuat kenyataan sebegitu. Saya yakin tiada mana-mana daripada lebih 1 bilion rakyat India atau hampir 2 bilion rakyat negara China yang tergamak sanggup berkata begitu.

Hatta, tiada mana-mana rakyat di kepulauan terkecil di Pasifik dan Caribbean sekali pun yang sanggup berkata demikian. Malah tiada mana-mana rakyat Amerika yang cukup terbuka itu pun akan sanggup berkata demikian.

Tapi sungguh sedih sekali seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat, seorang Yang Berhormat di tanah tumpah darahku ini, Malaysia, sanggup berkata demikian!

Dalam masa peperangan, bendera seperti Jalur Gemilang itulah yang akan menjadi panji-panji yang akan dipikul dari satu tangan ke satu tangan lain sehinggalah ke titisan darah terakhir.

Tapi bagi Manorahan yang mewakili parti DAP ini, saya tidak boleh gambarkan apakah jenis manusia dia ini.

Saya berani kata, jika dia berkata demikian di India, dia akan dipijak hidup-hidup. Jika dia berkata demikian pada bendera merah menyala di Republik Rakyat China, kemungkinan dia akan dihadapkan di hadapan firing squad kerana menderhaka!

Tapi ini Malaysia. Rakyatnya lemah lembut. Sopan santun. Tak apalah. Kesesakan maha teruk di Kuala Lumpur pun tiada siapa pun yang akan tekan hon. Tidak macam di India yang mana jalan rayanya hingar-bingar dengan bunyi hon.

Itulah bezanya kita dengan rakyat negara lain. Tapi pelik juga, setelah beribu-ribu repot polis memprotes perhimpunan Bersih 2.0, isu murtad, isu Mat Sabu - tiada kedengaran mana-mana pihak yang mahu membuat repot polis terhadap hasutan Manorahan itu?

Perbuatan Manoharan itu cukup berbahaya. Mungkin kita semua sudah fed-up untuk membuat repot polis lagi, agaknya. Kerana khabarnya tiada satu pun repot-repot polis yang bertimbun sebelum ini diambil tindakan?

DAP dan pakatan pembangkang pula cuba menjauhkan diri dan menafikan terbabit dalam kenyataan Manoharan itu. Mereka berkata ia hanyalah kenyataan peribadi Manoharan.

Namun, kita cukup bimbang kerana orang seperti Manoharan ini begitu ramai sekali dalam pakatan pembangkang dan DAP sekarang.

Mereka bukan sahaja mahu menukar Jalur Gemilang saja, tapi kepada satu pemikiran untuk menukar keseluruhan sejarah kita. Malah, menurut Ahli MT UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika mengulas mengenai isu itu: “Maka tidak hairan selepas dibenarkan memerintah, mereka akan bertindak menukar lagu Negaraku, termasuk merobohkan Parlimen kerana dikatakan mirip BN.”

Memang sebelum ini saya telah mendengar khabar-khabar yang bertiup mengatakan jangan kibarkan bendera Malaysia di Hari Merdeka kerana jika berbuat demikian, itu tandanya kita menyokong BN.

Ternyata, khabar-khabar angin itu benar. Ia tersembur keluar secara tidak sengaja daripada Facebook Manoharan yang berbunyi: I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flags because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan pilihan raya saya. Saya enggan untuk mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia).

Bertambah biadab, Manoharan mengeluarkan pula komentar di bawahnya seperti berikut: “Copycat...AMERICA. America Syarikat atau Syarikat America. Inipun Bahasa Malaysia tak betul. LOL. Bendera Amerika Syarikat ditiru!" Terima kasih portal berita www.mole.com yang mula-mula sekali mendedahkan kenyataan kurang ajar Manoharan itu.

Manoharan wajib meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tidak akan memaafkan beliau.

Jika beliau tidak meminta maaf, kerajaan harus membuat laporan polis terhadap Manoharan atas dakwaan menghasut. Jika ISA sudah tidak boleh digunakan lagi, dakwalah beliau di mahkamah terbuka secepat mungkin.

Saya bimbang jika tindakan tidak diambil, selepas ini sesiapa pun akan bebas melakukan apa yang mereka suka.

Tindakan Manoharan cukup mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia - negara tercinta tumpah darahku ini. Selagi hayat dikandung badan, selagi Manoharan tidak memohon maaf, kita tidak akan memaafkan manusia seperti itu!

Friday, September 2, 2011

TERCARI-CARI PISAU POTONG DAGING






Macam biasa hari raya kebanyakan wargakota balik kampung. 
Pekan kecil yang selama ini ditinggalkan sepi, mula sesak apabila anak rantau membawa emak bapa dan adik-beradik berbelanja barang dapur yang tak cukup-cukup.

Begitulah pekan Bagan Datoh, jumlah kereta yang selama ini boleh dikira lalu di jalan utama, tak semena-mena menjadi sesak. Tiada ruang untuk meletak kereta di depan kedai.

Penjual ayam, daging dan sayur di Pasar basah yang selama ini termenung menunggu pelanggan, kini menambah pembantu untuk melicinkan urusan jualan.

Gerai ayam di satu sudut pasar membabitkan tidak kurang 10 orang untuk melayan pelanggan. Itupun semuanya tak menang tangan. Pelanggan terpaksa berbaris untuk membuat pesanan. 

Bapak yang sudah bebarapa hari lalu memesan 15 ekor ayam, terpaksa juga menunggu beberapa lama untuk mendapatkan daging ayam yang sudah dipotong dan disiapkan.

Beberapa kedai runcit di deretan rumah kedai turut menjadi tumpuan. Masing-masing memesan keperluan tambahan yang masih tidak cukup di dapur. Penyembur nyamuk turut mendapat perhatian. 

Ini kerana inilah masanya nyamuk yang menyorok di belakang almari dan di bawah meja mendapat habuan darah-darah anak rantau yang akan tidur di sudut-sudut itu bersama keluarga mereka.

Masa inilah rumah besar yang mempunyai lebih sepuluh bilik masih tidak cukup untuk menampung anak cucu yang mula 'check-in' di rumah yang sudah lama ditinggalkan.

Ruang rumah yang selama ini menjadi laluan semut dan tebaran habuk-habuk sudah dipenuhi oleh tilam-tilam. Paku di dinding bekas bingkai gambar sudah tidak cukup untuk dijadikan penyangkut baju dan seluar.

Oleh kerana keperluan mendesak itu, ada keluarga yang membawa tali nylon dan almari plastik untuk menyangkut tuala mandi dan baju raya. 

Bagi yang berduit pula mungkin mereka dapat membina bilik dan membesarkan bilik ekslusif berhawa dingin dan bilik mandi untuk keluarganya. 

Dan bagi anak-anak mereka yang sekadar mampu hidup sederhana di kota, selepas raya mereka terpaksa pergi ke klinik untuk mendapat rawatan sakit gatal dan bengkak kulit kerana mandi air kolah yang kotor, kerana lama tidak dicuci.

Itulah sedikit asam garam hari raya di kampung. Itu belum lagi anak-anak  yang tercari-cari pisau di rumah untuk memotong daging dan mencari gula dan beras untuk dimasak. Ini kerana rumah di kampung sudah lama ditinggalkan dan tidak dikunjungi.