Rupanya cerita bankrap tak berkesudahan. Itu yang terjadi ke atas Mamat (bukan nama sebenar). Dia pernah menanggung azab sebagai orang bankrap selama hampir 10 tahun. Itu semua gara-gara abangnya yang menggunakan namanya sebagai penjamin pinjaman korporat, tanpa izinnya.
Habis semua akaun bank dan saham di institusi kewangan dibekukan. Saham ESOS daripada majikan turut lesap kerana hilang kelayakan menerimanya. Rumah dan harta benda dijadikan cagaran. Namanya disenarai hitamkan oleh imigresen untuk ke luar negara. Tiada kemudahan pinjaman untuk membeli kereta dan apa juga bentuk pinjaman lain. Ibarat digantung tidak bertali.
Mamat mula mendapat tahu akaunnya dibekukan hanya beberapa hari sebelum menjelang 1 syawal. Gajinya yang dikreditkan ke dalam akuan bank tidak dapat dikeluarkan. Dia terduduk apabila persiapan hari raya untuk membeli baju anak-anak dan keperluan lain tidak dapat dilakukan.
Dalam tempoh kesengsaraan itu abangnya yang menyebabkan dia jatuh bankrap tidak melakukan apa-apa untuk membantu. Nasib baik majikannya tutup sebelah mata dan membenarkan dia terus bekerja, walaupun mengikut undang-undang dia hilang kelayakan untuk menjadi pekerja.
Dia tidak lagi layak untuk membuka akuan di bank-bank komersil untuk memudahkannya menerima gaji. Nasib baik Bank Rakyat sebagai bank koperasi membenarkannya membuka akauan. Sejak bankrap, dia menerima gaji menggunakan cek yang kemudian didepositkan ke dalam akaun Bank Rakyat. Namun, wang hanya dapat ditunaikan kira-kira seminggu selepas cek didepositkan iaitu seminggu selepas rakan-rakan lain menerima gaji bulanan mereka.
Nasibnya hanya dibela selepas adik dan abangnya yang lain membantu melunaskan pinjaman yang dijaminnya iaitu kira-kira RM190 ribu. Itupun baru selesai selepas beberapa tahun turun-naik bank dan Pejabat Insolvensi di Ipoh.
Dan hari ini selepas dua tahun bebas daripada bankrap rupanya tangannya masih diikat. Ketika pulang dari Singapura dulu dia ditahan kerana namanya masih disenarai-hitamkan. Hari ini ketika mahu membuka akaun semasa di sebuah bank namanya juga masih tidak dipadamkan, walaupun ketika Mamat membuka semula akaun simpanan dua tahu lalu, segala proses dokumentasi bagi membersihkan namanya telah dilakukan.
Begitulah nasib Mamat yang menjadi penjamin tanpa kerelaan dan jatuh bankrap sebelum pernah membuka perniagaan.
Hukuman kepada si bankrap :
Seseorang individu boleh dihukum bankrap apabila gagal menyelesaikan hutangnya RM30,000.00 dan ke atas.
Si bankrap pula tidak boleh dilantik sebagai Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen atau dinamakan atau dilantik sebagai Ahli Bandaran atau Badan Berkuasa Tempatan – Seksyen 36 & 37.
Dia juga tidak boleh meneruskan sebarang tindakan Mahkamah kecuali untuk kecederaan peribadi.
Walau bagaimanapun, sebarang tindakan Mahkamah selain kecederaan peribadi boleh diteruskan dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi – Seksyen 38(1)(a);
Si bankrap juga dilarang keluar negara tanpa mendapat kelulusan Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah – Seksyen 38(1)(c).
Dia juga dilarang menjadi Pengarah Syarikat atau terlibat dalam pengurusan syarikat tanpa mendapat kelulusan Ketua Pengarah Insolvensi atau Mahkamah – Seksyen 38(1)(d).
Seseorang yang bankrap juga dilarang terlibat dalam syarikat atau menjadi pekerja syarikat yang dimiliki oleh pasangannya atau saudara-maranya tanpa mendapat kelulusan Ketua Pengarah Insolvensi atau Mahkamah – Seksyen 38(1)(e).
Bagaimanpun si bankrap dibolehkan membuka Akaun Simpanan bagi tujuan kemasukan dan pengeluaran gaji sahaja. Permohonan untuk membuka akaun simpanan boleh dibuat di cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia di mana kes kebankrapan tersebut ditadbirkan.
Namun bagi Akaun Semasa, si bankrap tidak dibenarkan untuk membuka akaun bagi apa-apa jua tujuan.
Untuk tujuan ke luar Negara, si bankrap hendaklah mengemukakan permohonan kepada cawangan di mana kes kebankrapan tersebut ditadbirkan. Borang permohonan ke luar negara boleh dimuat turun dari laman portal Jabatan Insolvensi Malaysia.
Namun Si bankrap dibenarkan mengerjakan haji dan umrah dengan mengemukakan sebagaimana permohonan untuk ke luar negara. Bagaimanapun, kebenaran hanyalah diberikan sekali sahaja sepanjang tempoh kebankrapannya.
Bagi memudahkan urusan, si bankrap boleh membuat permohonan pemindahan fail ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia lain.
Dia boleh mengemukakan permohonan ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia di mana fail ditadbirkan sekiranya dibuktikan alamat terkini si bankrap berada di dalam bidang kuasa mahkamah yang berhampiran dengan cawangan yang dipohon untuk dipindahkan.
Mengenai pemindahan hak milik hartanya, si bankrap tidak dibenarkan melakukannya dalam tempoh kebankrapannya. Segala pindah milik yang dibuat oleh sibankrap dalam tempoh dua tahun hingga lima tahun sebelum Perintah Kebankrapannya boleh dibatalkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi.
Walau bagaimanapun, jika si bankrap ingin menjual atau memindahmilik harta miliknya, si bankrap boleh membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Insolvensi.
Untuk membuat pembayaran, si bankrap tidak dibenarkan melakukannya terus kepada pemiutang. Segala pembayaran hendaklah dibuat melalui Ketua Pengarah Insolvensi.
3 comments:
muhun link ngan blog tuan
http://dan-teslamarin.blogspot.com
ok Teslamarin, terima kasih.
Mengikut rekod, 1,086 penjawat awam diisytiharkan mufli pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.
Manakala pada tahun itu juga sebanyak 225,055 kes muflis terkumpul.
Ura-ura kerajaan yang akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 perlu direalisasikan segera.
Post a Comment