Thursday, March 3, 2011

FENOMENA TUNGGU SAAT AKHIR

Sudah menjadi lumrah kebanyakan rakyat Malaysia membuat sesuatu pada saat akhir. Sejak di bangku sekolah lagi perangai itu sudah disemai. Belajar untuk menghadapi peperiksaan pun dilakukan pada saat akhir. Dakwa mereka cara itu lebih berkesan dan lekat di minda.

Tapi saya tidak boleh begitu. Persiapan saat akhir akan mengakibatkan perasaan gundah dan tidak tenteram.

Ketika kerajaan mengumumkan bayaran saman untuk memperoleh potongan 50% akan berakhir 28 Februari, saya sudah lama cuba memeriksa di internet. Malangnya mungkin disebabkan tidak berapa mahir , cubaan saya gagal walaupun pada tahun-tahun sebelum ini saya pernah mendapat ekses pada capaian itu.

Akhirnya saya meminta bantuan daripada kakitangan saya di pejabat. Seorang kakitangan memperkenalkan saya dengan laman dan perkhidmatan myeg (http://www.myeg.com.my/). Bagaimanapun saya perlu mendaftar sebelum dapat mengekses kemudahan perkhidmatan di situ.

Percubaan pertama gagal kerana nama pengguna (username) yang saya masukkan tidak sama dengan nama yang saya daftarkan kerana kesilapan menaip sewaktu mula mendaftar. Namun akhirnya saya berupaya mengekses perkhidmatan itu.

Dan saya dapati ada empat saman – tiga saman berdasarkan pendaftaran kereta atas nama isteri saya dan satu saman baru yang dilakukan minggu lalu menggunakan kereta yang didaftarkan atas nama saya. Kesemua kesalahan itu saya pasti, saya yang melakukannya.

Saya cuba membuat pembayaran di internet menggunakan kad kredit kerana malas untuk ke kaunter pembayaran di balai polis atau pejabat pos. Namun setelah beberapa kali mencuba ia masih gagal. Percubaan itu saya teruskan di rumah selepas pulang kerja jam 10 malam.

Di rumah percubaan untuk membayar melalui kad kredit di internet masih gagal dan berlarutan sehingga tempoh perkhidmatan internet tamat jam 11:00 malam. Saya menunggu sehingga perkhidmatan disambung semula jam satu pagi. Namun ia terus gagal sehingga jam 2:30 pagi. Lantas kerana kecewa dan keletihan saya terus tidur.

Hari Jumaat selepas mesyuarat pagi, saya lantas ke pejabat pos Taman Tun Dr Ismail untuk membayar saman. Alhamdullilah, orang belum ramai dan tidak lama menunggu. Bagaimanapun ketika saya menunggu giliran, orang ramai mula memenuhi ruang menunggu untuk membayar saman.

Kelmarin kerajaan memutuskan untuk melanjutkan lagi sehingga sepuluh hari untuk membayar saman itu. Hari ini tinjauan di beberapa kaunter pembayaran, suasana tidak sesibuk minggu lalu. Namun dikhuatiri keadaan yang sama akan berlaku pada hari terakhir pada 10 Mac ini.

Ingatan saya jangan menunggu sehingga saat akhir untuk membuat sesuatu. Sebolehnya beri sedikit ruang bagi pelan kontinjensi supaya pelan lain dapat dilaksanakan jika pelan yang awal gagal.

1 comment:

Anonymous said...

Sudah dijangkakan. Pesalah trafik masih bersesak pada hari terakhir setelah tempoh lanjutan tamat semalam.