Tuesday, March 22, 2011

BLUE OCEAN STRATEGY - KERAJAAN DAPAT JIMAT RM281 JUTA

Blue Ocean Strategy – Program Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Kem Mahkota, Kluang Sabtu ini (26 Mac).

Antara lain program ini untuk memaksimumkan guna tenaga modal insan, ruang tanah dan aset tentera darat bagi menampung keperluan agensi keselamatan kerajaan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara .

Selain pihak tentera, beberapa kementerian dan jabatan kerajaan yang lain turut akan memberikan komitmen apabila pelaksanaan peringkat seterusnya membabitkan tanah dan kemudahan tentera direalisasikan. Antara agensi yang terlibat termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Beberapa program di bawah Blue Ocean Strategy kini diatur dan telah dilaksanakan dengan dibahagikan kepada beberapa peringkat.

Antara program kerjasama dengan PDRM termasuk menyediakan tempat latihan bagi bakal anggota-anggota polis di kem-kem tentera, mengambilalih sementara kawasan tanggungjawab Pasukan Gerak Am (PGA), rondaan bersama di kawasan panas serta memberi ruang kepada pesara tentera (LLP) yang telah berkhidmat selama 21 tahun, untuk menyertai perkhidmatan polis.

Manakala kerjasama membabitkan Jabatan Penjara pula, ialah dari segi penyediaan kemudahan penempatan (penjara) dalam kem. Program bagi memberikan bimbingan oleh Jabatan Penjara kepada banduan terpilih itu, turut membabitkan bantuan oleh tentera darat dari segi keselamatan banduan serta keperluan logistik lain.

Namun pembinaan bangunan ‘penjara’ dalam kem tentera dilakukan dengan mengambil kira jaminan keselamatan penghuni kem dan aset strategi tentera. Dalam erti kata lain, bangunan ‘penjara’ dibina di atas kawasan tanah yang terpinggir milik kem berkenaan.

Apabila program awal ini terlaksana sepenuhnya di semua lima kem tentera, kerajaan dijangka dapat menjimatkan kira-kira 281 juta ringgit.

3 comments:

LEKLOOK said...
This comment has been removed by the author.
LEKLOOK said...

Contoh faedah lain daripada BOS: Kalau dulu rumput di setiap kem tentera dipotong oleh kontrator, kini kerja memotong rumput dilakukan oleh banduan yang terpilih. Di sini kos membayar upah kepada kontraktor dapat dijimatkan. Setiap banduan hanya dibayar RM10sehari sebagai upah. Namun begitu banduan berkenaan masih mendapat faedah lebih baik kerana upah yang dibayar lebih tinggi daripada di penjara.Di penjara kadar upah yang sama dipotong sebanyak 50 peratus sebagai hasil

LEKLOOK said...

...sebagai hasil kerajaan.