Saturday, June 12, 2010

TIDAK DISENTUH DALAM RMK-10 BUKAN ISU

Ketiadaan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan semalam tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia disediakan dalam bajet tahunan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, dalam setiap rancangan pembangunan lima tahun negara, tumpuan khusus diberi kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi menyebabkan peruntukan untuk sektor pertahanan dibuat secara berasingan.

"Tidak timbul sebarang isu dalam perkara ini kerana peruntukan untuk Kementerian Pertahanan memang disalurkan semasa pembentangan bajet tahunan. Ini bukan bererti peruntukan untuk Kementerian Pertahanan tiada.

"Rancangan pembangunan Malaysia bagi tempoh lima tahun memang fokusnya kepada perkembangan ekonomi, namun jumlah peruntukan yang bakal disediakan oleh kerajaan pada bajet tahunan nanti tidak diketahui," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai pembentangan RMK-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam tidak menyentuh mengenai Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, 10 peratus daripada jumlah RM230 bilion yang disediakan oleh kerajaan bagi perbelanjaan pembangunan untuk tempoh lima tahun mendatang akan disalurkan kepada sektor keselamatan.

Kepada soalan bagaimana pihaknya mahu memastikan pembangunan sistem pertahanan negara tidak terganggu dengan peruntukan yang semakin mengecil, Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan berusaha membawa seberapa banyak syarikat pertahanan asing melabur ke dalam negara.

"Langkah ke arah itu telah dilaksanakan dan kita mendapat maklum balas yang cukup positif daripada beberapa syarikat pertahanan antarabangsa. Mereka sedia untuk berkongsi teknologi pertahanan dengan negara," jelasnya.

Mengenai RMK-10, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia merupakan rancangan pembangunan teliti yang bukan sahaja merangkumi semua golongan tetapi turut memberi fokus kepada sektor swasta sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menyambut baik fasa baru perkongsian awam-swasta (PPP) yang akan menjadi penggerak kepada agenda transformasi ekonomi melalui pelaksanaan secara bersama membabitkan projek berimpak tinggi.

"Transformasi ini penting kerana ia bakal mewujudkan perkongsian bijak antara pihak awam dan swasta. Ia sekali gus mewujudkan situasi menang-menang yang sangat menguntungkan bagi perkembangan ekonomi negara," ujarnya.

Ahmad Zahid juga memuji komitmen Perdana Menteri untuk terus membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membolehkan sektor berkenaan melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa.
- Utusan Malaysia

No comments: