Monday, June 21, 2010

BAGAN DATOH JADI LIMBUNGAN KAPAL NGV

BAGAN DATOH 20 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara intipati Model Baru Ekonomi (MBE) ialah bukan sekadar mencungkil potensi syarikat bumiputera tetapi turut memastikan mereka berjaya dan berdaya saing di peringkat dunia.

Perdana Menteri berkata, perkara itu bukannya impian kosong tetapi telah dibuktikan oleh syarikat tempatan, NGV Tech. Sdn. Bhd. yang telah berjaya meraih kepercayaan negara-negara lain di dunia untuk membeli kapal-kapal keluaran mereka.

Menurut beliau, secara senyap-senyap syarikat milik penuh bumiputera ini tanpa bantuan dan tender kerajaan telah berjaya menjual 157 buah kapal kepada negara seperti di Timur Tengah, Afrika, India, Indonesia dan Iran.

“Ini menggambarkan bahawa kalau kita mempunyai keazaman dan bertekad untuk berjaya maka kejayaan pasti dapat dicapai.

“Dalam perkara ini kerajaan bukan sahaja mencungkil syarikat-syarikat seperti ini, tetapi kita akan terus membantu dan mendorong mereka untuk terus memacu kejayaan sehingga mampu muncul syarikat gergasi dalam pasaran terbuka dunia.

“Ia sekali gus menafikan bahawa kaum bumiputra hanya akan berjaya kalau bersandar kepada kuota atau pertimbangan khas daripada kerajaan. NGV telah membuktikan mengenai perkara ini yang tidak mendapat bantuan kerajaan tetapi gigih mencari tender di luar,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pemimpin bersama rakyat dan pelancaran projek pembinaan limbungan kapal NGV di sini hari ini.

Projek limbungan kapal di Bagan Datoh yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu nanti bakal menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan. Kosnya adalah sebanyak RM220 juta bagi fasa pertama dan RM400 juta bagi fasa kedua.

Pasaran utama kapal-kapal NGV yang diperbuat daripada keluli dan aluminium adalah untuk kapal pesisir pantai bagi kegunaan industri petroleum dengan 80 peratus pesanannya daripada luar negara.

Tambah Najib, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menempah kapal-kapal bagi kegunaan domestik daripada NGV atau syarikat tempatan lain yang berjaya membuktikan kemampuan mereka.

“Kita akan bantu mereka, selain menjimatkan perbelanjaan ia juga dapat menjana pembangunan ekonomi tempatan dan masyarakat setempat.

“Tetapi kerajaan tidak mahu pula apabila kita bagi kontrak, lepas tu sub pula kepada orang lain, orang yang dapat tu sub pula kepada pihak lain...lama-lama ia lesap. Kita tidak boleh buat dan iktiraf cara seperti ini,” katanya. - Utusan

No comments: