Beteng Beras Basah di muara Sungai Perak di Bagan Datoh. Tempat ini adalah destinasi terakhir proses pertabalan Sultan Perak. Sultan yang akan ditabalkan biasanya akan mudik ke hilir sungai dan perlu menjejakkan kaki di benteng berkenaan.
Walaupun menjadi anak Bagan Datoh dan hanya beberapa minit perjalanan berkereta dari rumah, kunjungan ini adalah yang pertama buat saya ke kawasan berkenaan.
Namun ketika kecil dulu pernah mengikuti rombongan Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat yang diketuai bapak sebagai mudirnya. Bot nelayan yang disewa tersangkut di beteng berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari pantai Teluk Batik.
Kunjungan Jumaat lalu disertai beberapa orang adik-beradik rupanya sudah diduga oleh penjaga kawasan ini, walaupun kami tidak memberitahunya hasrat itu. Penjaga berkenaan yang bukan sentiasa berada di kawasan ini, sampai beberapa minit sebelum ketibaan kami.
Kami diberitahu oleh seorang daripada adik-beradik supaya memberi salam dan bersedekah Fatihah sebelum melangkah ke jambatan ini. Tiada pantang larang. Cuma pengunjung diminta tidak mengotorkan kawasan dan menjaga percakapan.
Mengikut sejarah kawasan ini adalah pendaratan pertama Sultan Perak ketika membuka negeri. Dan pondok 'istana' itu adalah tempat baginda mula ditabalkan. Menurut penjaga kawasan, lambang di dinding 'singgahsana' itu adalah bendera asal negeri Perak.
Manakala bendera Perak, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor yang terpacak di tengah beteng yang ditengelami air laut itu melambangkan asal-usul sultan yang ada kaitan dengan negeri-negeri berkenaan.
Ketika kami pulang menyusuli jambatan ini, sekumpulan burung-burung tiba-tiba muncul di atas kepala mengiringi kami sehingga ke penghujung jambatan.
1 comment:
Bile uncle g?
Post a Comment