Tuesday, November 18, 2008

KONSUL JENERAL JAMU MAKAN DI JEDDAH



Setelah lebih seminggu di Makkah, semalam saya bersama rakan media lain dibawa ke Jeddah. Kami mengunjungi Konsul Jeneral Malaysia, Hidayat Abdul Hamid.

Beliau memberikan sidang media antara lain mengenai pembabitan syarikat Malaysia dalam projek pembangunan di Arab Saudi terutama di wilayah barat membabitkan beberapa kota termasuk Makkah, Madinah dan Jeddah.

Antara projek terbesar membabitkan kompleks Jamrat di Mina yang menempatkan tiga Jamrah, projek tenaga dan air di Suhaibah serta pembinaan Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah berhampiran Jeddah.

Sehingga kini kira-kira dua ribu rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan profesioanl bekerja di Arab Saudi.

Selepas bersolat berjemaah yang diimamkan oleh Konsul, Abdul Rahman Shariff di pejabat konsul, kami kemudian dijamu makan tengah hari di sebuah restoran.

Menurut Rahman, kanak-kanak penduduk tempatan di Makkah sering bermain-main di sekitar Kaabah di luar musim haji dan umrah. Mereka dikatakan sering berbasikal di sekeliling Kaabah.
Foto : Bersama Adnan Ghailan berkereta ke Jeddah

Friday, November 14, 2008

WAJAH-WAJAH DI MADINAH DAN MAKKAH

Foto : selepas tahlul Umrah

Foto : Kumpulan media Malaysia

Foto : Di hadapan Masjid Nabawi

Tuesday, November 11, 2008

TIBA DI MAKKAH AWAL PAGI

Foto : berihram sebelum bertolak ke Makkah.

Foto : bergambar di mikat, Bir Ali ketika membuat tinjauan tempat berniat Ihram.
Saya tiba di Makkah dari Madinah kira-kira jam 2 pagi tadi. Setengah jam selepas tiba, saya dan rakan-rakan mengerjakan tawaf dan sa’ie. Dan selepas bertahlul dan membotakkan kepala saya menyertai jemaah solat subuh.

Kami berehat sebelum menyertai solat Zuhur.

Saturday, November 8, 2008

KEMUDAHAN JEMAAH DI MADINAH DIPERTINGKATKAN

Foto : Bersama Azhari di samping kereta untuk bertugas di Madinah

Pembesaran Masjid Nabawi dilakukan pada masa ini. Ia termasuk membina lebih banyak tempat berbumbung di sekitar masjid. Setiap bumbung berpayung yang berkeluasan 26 meter boleh menempatkan 800 jemaah pada satu satu masa.

Di bawah pelan pembesaran itu ruang tambahan yang memuatkan kira-kira 270 ribu jemaah akan dilaksanakan termasuk meningkatkan kemudahan prasarana lain. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Projek itu dilancarkan tahun 2006 lalu ketika Raja Abdullah melakukan lawatan ke Masjid Nabawi. Menurut Gabernor Madinah, Putera Abdul Aziz Bin Majed, projek perluasan itu dianggarkan menelan belanja kira-kira 4.7 bilion Riyal.

Di bawah projek itu juga, kawasan kenderaan dan tempat meletak kereta turut dibina. Ketika ini tempat meletak kereta di bawah tanah telah disediakan di dua aras. Ia terletak di ruang terbuka kawasan masjid di bahagian utara, selatan dan barat. Sejumlah 4,444 kereta dapat ditempatkan di ruang seluas 290 ribu meter persegi itu.

Selain itu projek pengangkutan diantara Makkah dan Madinah juga akan turut dilaksanakan. Yang dikenali sebagai Makkah-Madinah Rail Link (MMRL). Ia dianggarkan bernilai kira-kira 20 bilion Riyal.

Projek itu akan membabitkan tren yang berkelajuan lebih 300 kilometer sejam. Dan akan mengurangkan tempoh perjalanan di antara Makkah dan Madinah selama 30 minit, manakala diantara Jeddah dan Madinah tidak kurang dari dua jam.

Foto : dari kiri - Rashid (Radio RTM Kedah) dan Haji Nurzilan (Tabung Haji)

Friday, November 7, 2008

JEMAAH MULA BERGERAK KE MAKKAH

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Makkah malam ini (Jumaat). Sebelum meninggalkan Madinah mereka perlu melakukan ziarah wida’ di makam Rasullullah.

Untuk memasuki masjid Nabawi juga perlu ada tertib. Seperti juga di masjid lain, jemaah disunatkan mendahulukan kaki kanan sebelum memasuki masjid. Dan mengucapkan ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahuma iftah li abwaba rahmatika”.

Ketika keluar dari masjid disunnahkan untuk mendahulukan kaki kiri dan mengucapkan, ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahumma Inni asalua min fadhlika”.

Walaupun tidak termasuk rukun haji, jemaah haji akan merebut peluang untuk melaksanakan solat Arba’in iaitu solat fardhu 40 waktu di Masjid Nabawi sebelum atau selepas menuniakan haji di Makkah.

Wednesday, November 5, 2008

SUASANA DI LUAR PERSEKITARAN MASJID NABAWI

Malam tadi kami berkesempatan meninjau Pusat Perkhidmatan Muasasah Haji yang mengendalikan pasport serta urusan jemaah.

National Adilla Establishment adalah agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan jemaah dari Asia Tenggara termasuk China. Kira-kira 80 ribu jemaah di bawah urusan mereka. Namun bagi jemaah Indonesia yang seramai kira-kira 280 ribu, ada agensi khusus mengendalikan mereka.

Pejabat agensi di bawah Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi ini tidaklah sehebat mana. Susun atur dan suasana tidak lebih kedai sekolah memandu di kebanyakan tempat di Malaysia. Mana tidaknya, untuk memproses urusan data pasport pun masih di lantai.

Malam tadi juga kami berkesempatan berjalan meninjau stesen Al-Hijrah iaitu pusat pemeriksaan pasport bagi jemaah dari Makkah ke Madinah atau sebaliknya.

Pelbagai suasana dirakamkan di sepanjang perjalanan. Rupanya di pinggir kota, deretan kedai tidak ubah seperti di Dubai. Banyak pakaian wanita yang seksi dipamerkan. Namun pakai itu hanya dipakai ketika bersama golongan sesama perempuan dan ahli keluarga dibenarkan sahaja. Di Madinah merakamkan gambar dilarang keras.

Monday, November 3, 2008

BERSYUKUR BERADA DI MADINAH


Sudah empat hari berada di kota Madinah Al-Munawarah. Alhamdullillah, di samping bekerja setakat ini masih diizinkan Allah untuk bersolat di masjid Nabawi.

Bilangan jemaah saban hari semakin bertambah. Ketika mula tiba malam hari Jumaat lalu hanya jemaah dari Malaysia, Turki dan India yang mendominasi ruang di masjid. Kini pelbagai identiti bangsa dengan pelbagai tanda warna pada pakaian mereka, mula mengisi ruang sehingga hampir ke pintu akhir di sebelah belakang masjid.

Bersolat di Raudah akan melihat jemaah yang amat khuzuk dan tinggi darjat keimanannya. Mereka membaca Al-Quran, bertasbih dan berdoa disamping menunaikan solat-solat sunat.

Di ruang tengah masjid pula, suasana begitu mula berkurangan walaupun masih ramai yang tekun menambahkan amalan-amalan sunat.

Manakala di bahagian belakang, jemaah berpusu-pusu dan berlari-lari apabila Iqamah tamat tetapi mereka belum tiba di ruang solat. Malah ada yang tertinggal satu dua rakaat.

Untuk bersolat di Raudah perlukan pengorbanan masa. Datang awal dan banyakkan bersolat sunat, bertasbih dan membaca Quran. Kerana bebanan kerja kadang-kadang peluang itu terlepas.

Malam ini malam kedua kami bermalam di Hotel Al-Haram. Dua hari lalu kami ditempatkan di Hotel Al-Andalus Dar Al-Khair berhadapan Hotel Movenpick yang menempatkan jemaah Malaysia. Jarak kedua-dua hotel itu hanya kira-kira 50 meter dari pintu pagar Masjid Nabawi.

Foto : Azhari dari TV3 menyediakan laporan berita.