Tuesday, December 16, 2014

SAYONARA


Semalam 15 Disember 2014, hari terakhir aku dalam dunia media. 

Aku menyertai TV3 pada 1 Januari 1987 di Studio Bangsar. Bukan di bilik berita tetapi jabatan yang tidak pernah saya impikan.

Untuk menjadi warga berita saya tidak masuk 'ikut tingkap' walaupun kelayakan yang saya ada ketika itu memang boleh menjadi tiket untuk melepasi pintu depan.

Berbekal ijazah UiTM bidang kewartawanan saya kemudian memulakan kerjaya sebagai Wartawan Penyiaran di Jabatan Berita dan Ehwal Semasa. 

Bergaul dengan 'orang glamour' tidak menjanjikan bulan bintang. Tetapi kesabaran dan ikhlas sahaja menanti kejayaan di hujung perjalanan yang panjang.

Kerjaya orang media tidak ada masa panjang di rumah dan untuk masyarakat. Lebih-lebih lagi di awal kerjaya, waktu rehat hanya ketika 'off day'. Pada hari-hari bekerja, rumah hanya tempat untuk melelapkan mata sebelum bangun esok paginya bagi meneruskan semula kerja.

Memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Komunikasi Korporat (MSc Corp. Comm.) dari UPM juga masih belum menjanjikan 'kerusi empuk' di bilik berita. Kelemahan saya mungkin kerana tiada 'Sijil Kemahiran' lain untuk melepasi bilik boss.


Saya meninggalkan Berita TV9 selepas lebih tujuh tahun membangunkan bersama entiti itu dengan kumpulan perintis. 

Dengan serba kekurangan dan layanan kelas kedua daripada syarikat, kami merangkak dan bertatih untuk bangun berjalan dan seterusnya berlari. Daripada berniaga di bawah pokok, kami sudah dapat berteduh di ruang kedai.


Dan kini selepas restoran semakin maju ramailah saudagar besar dari luar mendabik dada menuntut 'credit' di atas kejayaan itu. 

Alhamdulillah, saya berhenti ketika Berita TV9 berada di kemuncak 'rating' satu juta penonton, mengekori rapat di belakang Buletin Utama TV3 yang pernah saya bersama.

Ketika saya meninggalkan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV3, Buletin Utama mencatat purata jumlah penonton tiga juta.

Kini angka itu semakin menurun kepada 1.8 juta. Bukan kerana individu tetapi banyak faktor lain termasuk kandungan berita dan saingan daripada media baru.

Berita TV9 semakin menaik juga bukan kerana individu. Tetapi maju kerana kandungannya, komitmen warga kerjanya, semangat kebersamaan karyawannya dan tidak dinafikan kerana menjadi pilihan lain penonton Buletin Utama yang semakin bosan.


Hari ini aku bukan lagi 'orang media'. Tapi aku masih lagi menjadi 'wartawan' dan boleh menulis apa sahaja dalam pelbagai platform media.

Ruang masa saya akan lebih banyak tertumpu di rumah bersama isteri yang selalu saya tinggalkan sejak menikahinya 26 tahun lalu. Dan di samping berazam untuk kerap bersama jemaah di masjid, bukan hanya hadir ketika hujung minggu dan solat subuh. 

Namun sebagai persediaan berhenti media, saya sudah memulakan beberapa langkah awal meneruskan kesinambangan kerjaya dan kelangsungan hidup.

Secara prinsipnya saya menyertai sebuah syarikat berpejabat di Miri bermula hari ini. 

Esok ada urusan lain di luar negara berkaitan tuntutan masa depan.

Beberapa usaha juga sedang dan akan dilaksanakan. Apapun hanya Allah sahaja yang akan menentukan segala perancangan itu.

Sebagai langkah pertama untuk bersama-sama keluarga, insyaAllah saya akan membawa anak-anak dan isteri mengerjakan umrah pada pertengahan Januari ini.

Dan ruang masa selebihnya akan saya tumpukan kepada kerja-kerja politik dan masyarakat.

Sayonara. 

2 comments:

AkaZukii ChaCha said...

Salam Dato' Lok...selalunya catitan "sayonara" Dato' sebelum ini tentang orang lain. Akhirnya, entri kali ini berkisar tentang Dato' sendiri.

Meskipun saya hanya satu cebisan yang tidak signifikan dalam memori hidup Dato' malah bakal luput dalam kotak ingatan Dato' satu hari nanti, saya tetap ingin mendoakan semoga Dato' terus sukses.

Setiap kenangan dari zaman purba dan serba kekurangan di bilik berita TV9 akan disimpan rapi dalam lipatan kenangan manis hidup saya.

Segala jasa baik Dato' daripada hari pertama saya jejakkan kaki di Bilik Berita TV9 itu, saya amat berterima kasih terutamanya you stood by me through my toughest time back then, tetap menyokong saya atas kepercayaan Dato' terhadap kerja saya sebelum
Itu.

Semua itu amat saya hargai, selamanya. InsyaAllah.

Yang pasti, siapa pun yang bakal menjadi "anak-anak buah" Dato' dalam industri baru atau apa jua bidang yang bakal ditempuh sungguh bertuah kerana dapat bekerja dengan Dato' nanti.

Untung mereka.

Saya juga sentiasa berharap akan dipertemukan semula seorang pegawai bertanggungjawab sehebat, mesra dan baik hati seperti Dato'.

Tidak lokek ilmu, amat merendah diri, mudah bergaul dengan orang bawahan, sentiasa terbuka untuk mendengar & bos yang amat bertimbang rasa.

Setakat ini, saya masih belum bertemu tokoh yang berkepimpinan seperti Dato' dalam lapangan yang saya baru ceburi ini.

You're an inspiration. Truly. You & En Sa'ad the best bosses I've ever had the privilege working with. As an ex-employee, I share the same sadness with the rest of TV9 newsroom. I truly hope our paths crossed soon Dato'.

Ikhlas,
Nurul.

LEKLOOK said...

Tq Nurul. Siapalah saya.