Friday, August 12, 2011

KENA IKUT APA ORANG PAKAI


Foto hiasan.
Apabila menerima kad jemputan rasmi majlis iftar (berbuka puasa) daripada Menteri Pertahanan minggu lalu saya kurang senang terhadap satu nota pada sudut kanan bawah kad berkenaan.

Pakaian : Baju Kebangsaan, Lounge Suit, batik dan Bebas.

Pada nota itu semua nama jenis pakaian dipotong kecuali Baju Kebangsaan.
Ini menandakan bahawa tetamu yang menerima kad jemputan itu harus berpakaian Baju Kebangsaan pada majlis itu.

Namun seperti lazimnya golongan wartawan sama ada berjawatan Ketua Pengarang Kumpulan atau pemberita biasa lebih selesa mengenakan pakaian kerja atau ‘smart casual’ untuk menghadiri majlis seperti itu.

Ketika menghadiri majlis iftar di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri rabu lalu saya ada bertanyakan perkara itu kepada sekumpulan staf Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan mengenai nota itu.

“Takan mesti berbaju Melayu untuk ke majlis berbuka puasa Mindef, tiada pilihan lain ke berpakaian?”, tanya saya. Tetapi semua macam tidak mahu memberikan jawapan.

Sedangkan pada majlis di kediaman Timbalan Perdana Menteri ketika itu, saya hanya berpakaian kerja dengan kemeja lengan panjang walaupun sebahagian tetamu berbaju Melayu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengurusan kanan organisasi media.
Hanya mantan Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk A.Kadir Jassin dan Pengarah Eksekutif Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Ahmad A. Talib sahaja yang berkain pelekat dan berbaju Melayu.

Semalam ketika menghadiri majlis iftar di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, saya dengan berat hati terpaksa memakai Baju Kebangsaan ke majlis anjuran Menter Pertahanan itu.

Namun sesampainya di lobi hotel, saya dapati ramai yang berpakaian kerja dengan berkemeja. Hanya beberapa orang kakitangan penganjur yang berpakaian Kebangsaan.Rupa-rupanya Menteri Pertahanan sudah memberi arahan terbaru untuk berpakaian ‘bebas’ pada jam 5 petang.

Di kalangan pengamal media sebagaimana yang disebut dalam ucapan menteri, hanya saya sahaja yang berpakaian kebangsaan, manakala di kalangan pegawai kanan kementerian, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Hadi Awang Kecik antara segelintir yang berpakaian kebangsaan.

Alasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berpakaian santai supaya majlis itu tiada terlalu berprotokol dan tidak mahu ada jurang pemisah di antara tuan rumah iaitu pegawai kanan tentera dan kementerian dengan pengamal media.

Malah meja utama yang menempatkan beliau serta Ketua Setiausaha Kementerian dan Panglima Angkatan Tentera tidak dibenarkan disajikan hidangan. Dua tetamu lain di meja itu iaitu saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak turut bersama-sama berbaris mengambil juadah secara buffet - yang saya rasakan cara begini amat selesa dan mesra untuk bergaul dan berbual dengan tetamu lain.

Untuk itu jugalah, Pangliman Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Aziz Jaafar, Ketua Staf Angkatan Tentera, Lt Jen Datuk Raja Affandi dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Hadi Hussin duduk di meja-meja lain. – yang saya rasa mereka agak tidak begitu selesa.

Saya amat berhati-hati cara berpakaian menghadiri satu-satu majlis kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

Pernah ketika menghadiri majlis anjuran Kelab Wartawan Malaysia (MPC), hanya saya dan beberapa orang sahaja berpakaian kemeja tanpa bertali leher, sedangkan tetamu lain berpakaian lounge suit lengkap bertali leher dan bow tie.

Ini gara-gara sikap ambil mudah (beranggapan wartawan sentiasa berpakaian simple) manakala pembantu di pejabat pula terlupa mengingatkan saya.

Pernah seorang menteri bercerita, kerana salah menerima nasihat daripada pegawainya, beliau seorang sahaja berpakaian batik ketika mempengerusikan mesyuarat peringkat kebangsaan manakala semua exco yang mewakili negeri masing-masing berpakaian lounge suit.

No comments: