Sunday, August 28, 2011

JUMPA SALLEHUDDIN SAIDI


Susulan entri saya mengenai rumah sudah menjadi gelari sebelum ini. Minggu lepas dengan inzin Allah saya bertemu rakan serumah Dato' Sallehuddin Saidi, peguam kes berprofil tinggi di majlis iftar di Istana Alam Shah, Klang.

Beliau kini dilantik sebagai penasihat undang-undang Sultan Selangor dan sekaligus menjadi ahli Majlis Diraja Selangor serta turut menjadi Penasihat Undang-undang PERKASA.

Banyak cerita menarik selepas lebih 20 tahun tak bersua. Banyak isu-isu istana yang dicetuskan kerajaan PKR sekarang turut mendapat nasihat undang-undang daripada beliau. Ada banyak lagi cerita di sebalik isu orang Melayu dan Islam di Selangor membabitkan pendirian Tuanku Sultan.

Beliau kini tinggal di rumah bungalow di seksyen 7 Shah Alam.

Sunday, August 21, 2011

ARCA KEHIDUPAN


Kehidupan bagaikan arca.

Arca yang di depan mata harus digilap dan dijaga agar tidak pecah berderai dan tanpa nilai.

Tuesday, August 16, 2011

TOLAK SANA TOLAK SINI


Tolak sana tolak sini. Pernah 'air-cond' di bilik anak saya berbau hangit dan mengeluarkan asap walaupun tidak di ‘on’ kan.

Saya dan isteri ketika itu dalam perjalanan menghantar anak yang lain balik asrama di Setapak. Mujur malam itu seorang anak lelaki saya tidak jadi keluar. Rumah menjadi gelap dan bekalan elektrik terpitus.

Saya dan isteri memberi arahan supaya memanggil bomba. Pemeriksaan bomba kemudian mendapati ada lintar pintas. Dinding di sebalik air-cond mengalami retakan dan pecah kerana kabel di dalam simen dinding itu terbakar.

Bomba tidak boleh berbuat apa-apa dan mencadangkan kami memanggil kontraktor yang memasang pendawaian itu.

Dua hari kemudian kontraktor datang dan menampal semula dinding yang pecah berlubang setelah mendakwa pendawaian tiada masalah. Mereka mencadangkan saya memanggil pihak yang memasang 'air-cond'. Saya kemudian memangggil syarikat pembekal 'air-cond' itu.

Semalam juruelektrik dari syarikat pembuat 'air-cond' datang membuat pemeriksaan. Mereka berkata sepatutnya ini bukan tanggungjawab mereka untuk membuat pemeriksaan. Ini tanggung jawab syarikat pembekal dan mereka yang memasang (installer).

Setelah membuat pemeriksaan, juruelektrik syarikat pembuat 'air-cond' menghubungi syarikat pembekal dan memberi laporan dan cadangan.

Hari ini saya membuat susulan dan menghubungi syarikat pembekal 'air-cond'. Setelah membuat pemeriksaan ‘installer’ berkata ini bukan tanggungjawab mereka tetapi syarikat pembekal.

Tolak sana. Tolak sini. Masih menunggu siapa yang patut memperbaiki 'air-cond' itu serta memastikan ia tidak terbakar lagi.

Friday, August 12, 2011

KENA IKUT APA ORANG PAKAI


Foto hiasan.
Apabila menerima kad jemputan rasmi majlis iftar (berbuka puasa) daripada Menteri Pertahanan minggu lalu saya kurang senang terhadap satu nota pada sudut kanan bawah kad berkenaan.

Pakaian : Baju Kebangsaan, Lounge Suit, batik dan Bebas.

Pada nota itu semua nama jenis pakaian dipotong kecuali Baju Kebangsaan.
Ini menandakan bahawa tetamu yang menerima kad jemputan itu harus berpakaian Baju Kebangsaan pada majlis itu.

Namun seperti lazimnya golongan wartawan sama ada berjawatan Ketua Pengarang Kumpulan atau pemberita biasa lebih selesa mengenakan pakaian kerja atau ‘smart casual’ untuk menghadiri majlis seperti itu.

Ketika menghadiri majlis iftar di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri rabu lalu saya ada bertanyakan perkara itu kepada sekumpulan staf Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan mengenai nota itu.

“Takan mesti berbaju Melayu untuk ke majlis berbuka puasa Mindef, tiada pilihan lain ke berpakaian?”, tanya saya. Tetapi semua macam tidak mahu memberikan jawapan.

Sedangkan pada majlis di kediaman Timbalan Perdana Menteri ketika itu, saya hanya berpakaian kerja dengan kemeja lengan panjang walaupun sebahagian tetamu berbaju Melayu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengurusan kanan organisasi media.
Hanya mantan Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk A.Kadir Jassin dan Pengarah Eksekutif Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Ahmad A. Talib sahaja yang berkain pelekat dan berbaju Melayu.

Semalam ketika menghadiri majlis iftar di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, saya dengan berat hati terpaksa memakai Baju Kebangsaan ke majlis anjuran Menter Pertahanan itu.

Namun sesampainya di lobi hotel, saya dapati ramai yang berpakaian kerja dengan berkemeja. Hanya beberapa orang kakitangan penganjur yang berpakaian Kebangsaan.Rupa-rupanya Menteri Pertahanan sudah memberi arahan terbaru untuk berpakaian ‘bebas’ pada jam 5 petang.

Di kalangan pengamal media sebagaimana yang disebut dalam ucapan menteri, hanya saya sahaja yang berpakaian kebangsaan, manakala di kalangan pegawai kanan kementerian, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Hadi Awang Kecik antara segelintir yang berpakaian kebangsaan.

Alasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berpakaian santai supaya majlis itu tiada terlalu berprotokol dan tidak mahu ada jurang pemisah di antara tuan rumah iaitu pegawai kanan tentera dan kementerian dengan pengamal media.

Malah meja utama yang menempatkan beliau serta Ketua Setiausaha Kementerian dan Panglima Angkatan Tentera tidak dibenarkan disajikan hidangan. Dua tetamu lain di meja itu iaitu saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak turut bersama-sama berbaris mengambil juadah secara buffet - yang saya rasakan cara begini amat selesa dan mesra untuk bergaul dan berbual dengan tetamu lain.

Untuk itu jugalah, Pangliman Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Aziz Jaafar, Ketua Staf Angkatan Tentera, Lt Jen Datuk Raja Affandi dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Hadi Hussin duduk di meja-meja lain. – yang saya rasa mereka agak tidak begitu selesa.

Saya amat berhati-hati cara berpakaian menghadiri satu-satu majlis kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

Pernah ketika menghadiri majlis anjuran Kelab Wartawan Malaysia (MPC), hanya saya dan beberapa orang sahaja berpakaian kemeja tanpa bertali leher, sedangkan tetamu lain berpakaian lounge suit lengkap bertali leher dan bow tie.

Ini gara-gara sikap ambil mudah (beranggapan wartawan sentiasa berpakaian simple) manakala pembantu di pejabat pula terlupa mengingatkan saya.

Pernah seorang menteri bercerita, kerana salah menerima nasihat daripada pegawainya, beliau seorang sahaja berpakaian batik ketika mempengerusikan mesyuarat peringkat kebangsaan manakala semua exco yang mewakili negeri masing-masing berpakaian lounge suit.

Monday, August 8, 2011

LAGI TANAH RUNTUH

KUALA LUMPUR 7 Ogos — Tiga buah rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, 5.45 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brinchang ketika dihubungi Bernama malam ini berkata dua buah rumah lagi yang terletak berhampiran turut mengalami kerosakan, tetapi hanya kerosakan kecil.

Ditanya sama ada tanah runtuh itu disebabkan oleh hujan, beliau berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian berkenaan.

"Mangsa yang cedera telah dikenal pasti sebagai penduduk Orang Asli. Namun, mangsa yang dipercayai terkorban masih belum dikenal pasti identitinya,” kata beliau.

Setakat ini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian itu.

Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Saturday, August 6, 2011

KITA MASIH BERLEMBUT, MEREKA DAH NAIK TOCANG

Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau ‘bawah tanah’.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan ‘bawah tanah’ ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.

Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.

Friday, August 5, 2011

RUMAH DAH MENJADI GALERI


Foto : Prof Dr. Sidin
Galeri ini di SS2 Petaling Jaya asalnya adalah rumah teres dua tingkat. Di hadapannya Public Bank dan betul-betul menghadap persimpangan jalan.

Rumah ini banyak mengukir kenangan kepada saya ketika ‘duduk bujang’ bersama-sama rakan-rakan lain. Rumah lima bilik ( 4 di atas, satu di bawah) adalah milik seorang taukeh emas berasal dari Kelantan yang membuka perniagaan di Kampung Baru.

Kami menyewa rumah ini di sekitar pertengahan tahun 80an. Saya diamanahkan oleh rakan-rakan untuk jadi mengutip sewa.

Antara rakan-rakan yang menyewa ketika itu, Prof Dr Mohd Sidin Ahmad Ishak (Profesor Pengajian Media di Universiti Malaya), Mustapha Kamil Ayub (bekas Naib Presiden PKR), Datuk Sallehuddin Saidin (peguam berprofail tinggi), adik saya Dato Mohd Nasaee (ahli perniagaan dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Perak) serta rakan-rakan lain seperti Zaidan dan Paisol pemimpin ABIM bekas graduan Universiti Kebangsaan.

Nanti cerita lagi…….

Monday, August 1, 2011

BLOGGER DIJADIKAN KAWAN



Adakah pengaruh blogger begitu berkesan sehingga boleh merubah fikiran rakyat untuk menentukan corak kerajaan yang akan mentadbir negara. 

Atau mereka sekadar 'anjing menyalak bukit' tanpa perlu diambil peduli oleh sesiapa.

Di Amerika Syarikat, kelantangan suara blogger rupanya tidak mempengaruhi undian terhadap Presiden Obama. Di Malaysia juga tidak ada indikasi bahawa mereka begitu berpengaruh untuk menentukan hala tuju pengundi.

Namun jika pendapat dan gesaan mereka tidak dilayan, ia akan mengganggu pihak tertentu untuk meneruskan agenda. Sama ada kerajaan dan parti pemerintah atau parti pembangkang, mereka merasakan pandangan blogger perlu dilayan.

Walaupun sesetengah blogger main hentam keromo mengkritik tanpa fakta kukuh, ada juga pandangan blogger yang perlu diambil perhatian.

Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam menghadapi blogger lebih bersifat kompromi dan berbaik-baik. Mereka dijadikan 'sahabat' dalam banyak program kerajaan. 

Ketika lawatan Menteri Pertahanan ke barisan hadapan pertahanan negara, sepuluh blogger turut serta dalam rombongan yang disertai editor kanan dan wartawan. Malah lawatan seumpama itu bukan pertama kali melibatkan blogger.

Dan yang terbaru, Kementerian menawarkan kepada blogger menyertai pentadbiranya. Blogger dijadikan sebagai  pemikir dan pelaksana dasar kerajaan. Ada diantara blogger kini sudah menjadi ketua unit di kementerian.

Razman Hakimi Abdullah dikatakan menjadi blogger pertama dilantik sebagai Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) di sebuah kementerian. 

Beliau baru sebulan menjalankan tanggungjawab di UKK Kementerian Pertahanan (Mindef) yang ditinggalkan Rozitah Hj Idris, bekas pengamal media di syarikat telekomunikasi. Namun perwatakan  Razman seolah-olah beliau sudah berada lama di unit berkenaan.

Orang muda yang baru menjangkau usia kira-kira 36 tahun ini dilihat seakan-akan mempunyai wawasan yang besar. Melalui perbualannya seolah-olah beliau sudah tahu segala seluk beluk Mindef. Namun orang yang pandai bercakap tidak semestinya tahu melakukan kerja. 

Apakah Razman dapat menafikan tanggapan itu. Daripada komitmen yang ditunjukkan beliau ketika beberapa jam bersamanya, saya yakin beliau mampu melakukannya.

"Saya memilih untuk terus bersikap 'low profile'. Saya rasa itu antara faktor mengapa menteri memilih saya untuk menerajui UKK di Mindef"' kata Razman.

Saya sendiri tidak mengenali Razman mahupun tulisannya sebelum ini. Bila saya bertanyakan menteri apa yang Razman tuliskan dalam blognya, beliau sendiri tidak dapat memberikan jawapan.

Seorang pegawai kanan tentera berpangkat Kolonel yang juga rakan sepembelajaran saya di RMC kira-kira 30 tahun dulu, turut bertanya saya mengenai Razman ketika namanya mula disebut-sebut akan menerajui UKK Mindef.

Pegawai yang sudah senonim dengan cawangan perhubungan awam di Mindef itu turut bertanya sama ada Razman kawan menteri. 

Dan saya menafikannya berdasarkan namanya yang tidak pernah didaftarkan di minda saya, serta kelibatnya tidak pernah saya nampak dalam majlis tidak formal melibatkan menteri berkenaan.