Wednesday, August 12, 2009

TERLEPAS DARIPADA TAUFAN MORAKOT DI TAIWAN

Taufan Morakot yang mula melanda Taiwan sejak 7 Ogos lalu adalah taufan yang terbesar dalam tahun ini menyerang negara itu. Kali pertama menghadapi fenomena itu hati menjadi kecut. Berkat doa isteri dan anak-anak, adik-beradik serta sanak saudara di Malaysia, saya dapat pulang sebagaimana dijadualkan.

Sebelum itu lapangan terbang ditutup dan sistem pengangkutan awam lumpuh. Hari saya dijadualkan berlepas ke tanahair, cuaca cerah dan lapanganterbang dibuka semula. Namun dua jam selepas kapalterbang berlepas, taufan Morakot dilaporkan terus menganas dan mengenangi beberapa kawasan, meruntuhkan bangunan dan menyebabkan tanah runtuh.

Kementerian Luar mengesahkan bahawa tidak ada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa Taufan Morakot di kawasan yang dilanda bencana alam itu di Taiwan.

Persahabatan Malaysia dan Pusat Perdagangan Malaysia di Taipei memantau keadaan itu.

Menurut pihak berkuasa Taiwan, sekurang-kurangnya 90 orang terkorban, beratus-ratus orang hilang dan beratus-ratus orang lagi cedera.

Hujan lebat yang dibawa taufan itu menyebabkan kejadian banjir yang paling buruk dalam sejarah Taiwan dan mengakibatkan kemusnahan banyak bangunan dan kawasan pertanian.

Kawasan paling teruk ialah di daerah Pintung, Kaohsiung, Tainan, Taitung dan Nantau dimana saya turut berada ketika taufan melanda.

Taufan Morakot yang turut menghala ke Tenggara China menyebabkan kira-kira sejuta penduduk terpaksa dipindahkan. Krew Berita TV9 merakamkan saat Morakot menyerang dan telah disiarkan pada program berita selasa lalu.



Inilah keadaan sungai beberapa jam sebelum Morakot melanda. Semasa saya berada di kawasan tanah tinggi ini, hujan sudah lebat dan angin kencang menerbangkan beberapa barangan dan peralatan.



Suasana ini dirakamkan empat hari sebelum Taipei dilanda Morakot. Skuter menjadi pengangkutan popular penduduk dengan setiap tiga penduduk mempunyai sebuah skuter.
Namun ketika Morakot mula melanda Jumaat lalu, saya ternampak seorang wanita dilibas angin menyebabkan beliau terjatuh dan skuter diheret oleh angin sejauh beberapa meter.


Taiwan melaksanakan aktiviti pertanian secara agresif. Tanahnya tidaklah lebih subur daripada Malaysia, tetapi berupaya meneroka pelbagai penemuan hasil pertanian.

Kawasan tanaman padinya seakan yang terdapat di Sekinchan Selangor dengan bangunan banglo di tengah-tengah sawah.
Terkini mengenai Morakot hari ini 13 Ogos :
Anggota penyelamat berjaya menemui lebih seribu lagi mangsa yang masih hidup di tiga kawasan perkampungan dalam daerah kaohsiung yang musnah akibat taufan Morakot.
Bagaimanapun, ratusan lagi masih hilang dan dikhuatiri mati.
Seorang penduduk kampung yang terselamat memberitahu, kira-kira 32 orang penduduk kampungnya masih terperangkap dalam banjir lumpur.
Jurucakap operasi bantuan berkata, 500 mangsa yang masih hidup berjaya ditemui di Min Tzu dan 200 lagi di Chin He.
Sementara itu di Cishan, tentera Taiwan menghantar empat ribu lagi anggotanya bagi membantu 10 ribu askar sedia ada dalam mencari dan menyelamat mangsa.
Jumlah kematian rasmi yang dicatatkan setakat ini ialah 101 orang dan 61 masih hilang.
Operasi menyelamat bertambah sukar kerana banjir lumpur turut memusnahkan kesemua jalan utama dan jambatan ke kawasan kejadian.

No comments: