Monday, July 27, 2009

BAGAIMANA KPI DAN KRA MENTERI & KEMENTERIAN DIUKUR?

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Hasil Utama (KRA) - dua istilah yang dikaitkan dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Di peringkat swasta ia telah lama dipraktikan. Manakala di kalangan kakitangan kerajaan ia telah dilaksanakan secara dalaman kira-kira tiga tahun lalu.

KPI untuk Menteri dan Timbalan Menteri mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada 9 April 2009. Dan mesyuarat kabinet pertama bagi membincangkan prestasi pengurusan diadakan pada 15 April.

Hari ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Perdana Menteri memberikan amanat mengutamakan pengurusan pencapaian kepada pengurusan tinggi kakitangan awam dari seluruh negara.

Pada peringkat permulaan enam keutamaa KRA digariskan iaitu;
1. mencegah jenayah
2. memerangi rasuah
3. meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
4. meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah
5. memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
6. menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Persoalannya, bagaimana hendak mengukur KPI di kalangan menteri dan kementerian?
Untuk mengukur prestasi Kementerian Luar misalnya adakah ia dinilai melalui jumlah hubungan luar yang dilakukan? Bagaimana pula dengan prestasi menteri yang menjaga perpaduan. Adakah ia diukur dengan jumlah ketegangan kaum yang semakin kurang atau sebaliknya?

Jika menteri gagal mencapai prestasi, adakah mereka akan digugurkan tanpa mengambil kira kedudukan dalam parti dan Barisan Nasional?

Persoalan-persoalan itu kini sedang dan akan ditangani melalui pelbagai perbincangan termasuk mesyuarat bulanan peringkat kementerian dan perbincangan terus diantara Menteri terbabit dengan Perdana Menteri.

Untuk rekod pentadbiran bekas Perdana Menteri Tony Blair mula memperkenalkan KPI terhadap kementeriannya manakala Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri pertama di dunia melaksanakan untuk anggota kabinetnya.

No comments: