Monday, July 27, 2009

BAGAIMANA KPI DAN KRA MENTERI & KEMENTERIAN DIUKUR?

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Hasil Utama (KRA) - dua istilah yang dikaitkan dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Di peringkat swasta ia telah lama dipraktikan. Manakala di kalangan kakitangan kerajaan ia telah dilaksanakan secara dalaman kira-kira tiga tahun lalu.

KPI untuk Menteri dan Timbalan Menteri mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada 9 April 2009. Dan mesyuarat kabinet pertama bagi membincangkan prestasi pengurusan diadakan pada 15 April.

Hari ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Perdana Menteri memberikan amanat mengutamakan pengurusan pencapaian kepada pengurusan tinggi kakitangan awam dari seluruh negara.

Pada peringkat permulaan enam keutamaa KRA digariskan iaitu;
1. mencegah jenayah
2. memerangi rasuah
3. meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
4. meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah
5. memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
6. menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Persoalannya, bagaimana hendak mengukur KPI di kalangan menteri dan kementerian?
Untuk mengukur prestasi Kementerian Luar misalnya adakah ia dinilai melalui jumlah hubungan luar yang dilakukan? Bagaimana pula dengan prestasi menteri yang menjaga perpaduan. Adakah ia diukur dengan jumlah ketegangan kaum yang semakin kurang atau sebaliknya?

Jika menteri gagal mencapai prestasi, adakah mereka akan digugurkan tanpa mengambil kira kedudukan dalam parti dan Barisan Nasional?

Persoalan-persoalan itu kini sedang dan akan ditangani melalui pelbagai perbincangan termasuk mesyuarat bulanan peringkat kementerian dan perbincangan terus diantara Menteri terbabit dengan Perdana Menteri.

Untuk rekod pentadbiran bekas Perdana Menteri Tony Blair mula memperkenalkan KPI terhadap kementeriannya manakala Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri pertama di dunia melaksanakan untuk anggota kabinetnya.

YANG KELIHATAN HANYA BUMBUNG SURAU

Kerana pembangunan, sebuah surau di Puchong tersepit diantara kompleks bangunan perniagaan 'One Puchong' dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Bumbung surau berkenaan kini sama tinggi dengan LDP dan paras tanah di kompleks berkenaan.

Mungkinkah nasib orang Melayu di Puchong akan turut tersepit begitu di tengah-tengah pembangunan Puchong yang begitu pantas.

Foto surau itu akan diusahakan untuk dipaparkan di sini.

Saturday, July 25, 2009

NASI LEMAK DI PUCHONG BELUM TENTU HALAL

Kebanjiran pelbagai etnik dan masyarakat dari seberang untuk bekerja di Malaysia banyak menukar sosio-budaya rakyat tempatan.

Rata-rata masyarakat Melayu di Malaysia beragama Islam dan menjalani kehidupan mengikut resam budaya dan peraturan Islam.

Namun apabila masyarakat Indonesia semakin menambah di bumi 'dering sen' ini, masyarakat tempatan menjadi semakin binggung kerana rupa dan penampilan yang hampir sama seperti mereka tidak lagi melaksanakan amalan yang serupa.

Di Puchong, Selangor terutama di Bandar Puteri dan Pusat Bandar Puchong, untuk membeli nasi lemak di tepi jalan harus berhati-hati. Rupa paras seperti Melayu bukan lesen untuk kita berasa yakin nasi lemak itu disediakan oleh orang Melayu beragama Islam.

Kebanyakan peniaga nasi lemak adalah dikalangan pendatang dari Indonesia yang bekerja dengan taukeh Cina. Saya pernah hampir tertipu dengan persepsi itu sebelum diberitahu oleh seorang rakan.

Untuk memastikan peniaga Indonesia itu bekerja dengan taukeh Cina, saya menunggu dan memerhati dari jauh gelagat mereka sehingga tutup kedai.

Nyata seorang wanita Cina memunggah semua bekas makanan dan membawa peniaga itu pulang.

Saya mengekori kenderaan mereka. Dan sah, wanita Cina itu mengusahakan perniagaan makanan di rumahnya untuk diedarkan di gerai-gerai berkenaan dan restoran Cina.

Pagi tadi isteri saya turut terperanjat kerana nasi lemak yang dibelinya selama ini dari sebuah gerai milik seorang wanita, juga dicurigai status 'halal' nya.

Wanita Indonesia itu rupanya beragama Kristian dan berkahwin dengan rakyat tempatan berketurunan India yang juga beragama Kristian.

Thursday, July 23, 2009

PEMIMPIN PAS SANGGUP GADAI AKIDAH

Pemimpin-pemimpin parti politik beragama Islam diingatkan supaya tidak menggadai kesucian agama serta akidah semata-mata mahu menarik sokongan masyarakat bukan Muslim.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain berkata, tindakan mereka antaranya menyertai perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian, jelas merupakan salah satu upacara dalam agama Kristian.

Beliau berkata, pemimpin terbabit harus sedar bahawa penyertaan mereka dalam urusan agama lain boleh mencacatkan akidah dan jika itu yang berlaku, mereka wajib bertaubat.

"Saya bercakap bukan sebab Pas atau UMNO tetapi saya bercakap atas dasar hukum serta ketetapan dalam Islam. Sama ada mereka orang Pas atau UMNO jika mereka terlibat di dalam perhimpunan lilin, kesannya amat buruk.

"Saya bersetuju perbuatan ini boleh mencacatkan akidah atau dengan kata lain hukumnya syirik. Dalam perkara ini saya ingin membuat satu persoalan, adakah kita terlalu mengharapkan manfaat dunia yang bersifat sementara hingga sanggup menggadai agama sendiri,'' katanya di sini semalam.

Beliau mengulas trend menyalakan lilin oleh pihak tertentu bagi memperingati atau membantah satu-satu isu dan kebiasaannya ia dianjurkan oleh parti-parti politik.

Terbaru, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Dr. Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika mengulas isu tersebut meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung perbuatan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar.

Dalam perkembangan sama Mohammad Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya menziarah kematian yang melibatkan orang bukan Islam tetapi mereka tidak dibenarkan sama sekali terbabit dalam sebarang upacara berbentuk keagamaan.

"Kita perlu tahu membezakan antara urusan agama dan urusan masyarakat. Menziarah kematian orang bukan Islam adalah urusan masyarakat dan ia merupakan sesuatu yang amat digalakkan.

"Manakala perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian adalah urusan agama dan umat Islam dilarang keras daripada terlibat dengan upacara seperti itu,'' katanya lagi.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menegaskan, umat Islam yang menyertai perhimpunan lilin bagi apa tujuan sekalipun telah melakukan syirik.

Beliau berkata, hukumnya jelas memandangkan perbuatan tersebut merupakan salah satu amalan dalam agama Kristian.

"Golongan pemimpin atau rakyat beragama Islam harus sedar bahawa tindakan mereka menyertai upacara seperti itu adalah sia-sia dan boleh mendatangkan mudarat terhadap pegangan iktikad seseorang.

"Saya bercakap dalam konteks hukum kerana akidah merupakan tunjang kepada keimanan dan keislaman seseorang. Apabila akidah rosak, iman dan Islam juga akan menjadi rosak,'' katanya.
Mahmood Zuhdi memberitahu, keadaan tersebut berpunca daripada amalan politik melampau yang sanggup mengetepikan soal agama serta prinsip-prinsip keimanan.

Sambil menyifatkan budaya itu sebagai politik rakus, beliau berkata, ia telah membuatkan syariat Islam yang sepatutnya menjadi panduan telah dilanggar begitu sahaja.

"Malang sekali dalam negara kita sekarang politik telah mempengaruhi semua aktiviti. Kita tumpukan soal politik hingga lupa kepada nilai-nilai keagamaan, lupa kepada batas-batas yang telah ditetapkan dalam agama,'' katanya.-Utusan

Sunday, July 12, 2009

JEMAAH TABLIGH SELESAI 'BERWUKUF' DI NILAI

Jemaah berduyun-duyun pulang setelah berkampung di Iqtimak.

Jemaah dari Thailand sedia untuk pulang.








Salah satu dapur jemaah.






Basikal milik jemaah dari Peranchis.


















Kiri : Krew Berita TV9 mewawancara jemaah dari China bersama rakan penterjemahnya.



Jemaah bersantai selepas waktu zuhur sebelum bersiap untuk pulang.

Ijtimak atau perhimpunan Jemaah Tabligh sedunia baru selesai hari ini. Ia diadakan di sebuah kawasan lapang di daerah Nilai, berhampiran kuaters KLIA, dekat litar lumba F1 Sepang sejak 8 Julai lalu. Dilaporkan lebih 200 ribu jemaah daripada 40 buah negara telah berhimpun di kawasan itu.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyidsein Yassin sempat meluangkan masa hadir. Muhyiddin menyertai jemaah untuk solat zuhur manakala Najib bersama jemaah untuk solat asar.

Hari ini antara pemimpin yang hadir termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diiringi pemimpin Tabligh berangkat pulang dari pentas utama.


Menteri Pertahanan antara tetamu utama yang hadir.

Menurut Tan Sri Muhyiddin iqtimak berupaya menzahirkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan dakwah Islamiah. Beliau berkata anggota tabligh rata-rata menampilkan imej sederhana dalam banyak hal.

Jemaah Tabligh (Bahasa Arab: جماعة التبليغ , juga disebut Tabligh) adalah gerakan mubaligh Islam yang bertujuan untuk mengajak manusia kembali ke ajaran Islam yang kaffah.

Aktiviti mereka tidak terbatas pada satu golongan Islam saja. Kepada yang bukan Islam diajak kepada mengenal Allah dengan menerangkan bahawa Tuhan adalah Satu, Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Tujuan utama gerakan ini adalah untuk menerapkan kalimah iman Lailahailallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) dalam diri dan kehidupan setiap muslim. Jemaah Tabligh merupakan gerakan non-politik terbesar di seluruh dunia.

Jemaah itu ditubuhkan pada akhir dekad 1920-an oleh Maulana Muhammad Ilyas Kandhalawi di Mewat, sebuah wilayah di India.



Ini bukan jemaah Tabligh tapi sekadar mengabadikan kenangan di khemah jemaah Thailand.








Jemaah mengikuti program Iqtimak di luar khemah.
Jemaah Tabligh bukan asing bagi kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia. Rata-rata keluarga Islam di negara ini pasti ada hubung kait dengan saudara mara mereka yang menyertai jemaah tabligh.

Saya sendiri didedahkan kepada jemaah tabligh ketika sedang menunggu keputusan peperiksaan SRP. Namun ajakan seorang bapa saudara untuk menyertai jemaahnya hanya bertahan tiga hari.

Ketika di sekolah dan tempat kerja dulu, ada juga di kalangan kawan-kawan begitu aktif dengan kegiatan jemaah tabligh. Mereka kebanyakannya ‘soft spoken’ dan ‘humble’, walaupun menyandang jawatan tinggi.

Di surau dan masjid kadang-kadang aktiviti membacakan fazilat solat, zikir dan sirah sejurus selepas solat menjadi amalan harian, walaupun tanpa anggota jemaah tabligh hadir. Makan bersama dalam dulang antara amalan yang senonim dengan jemaah itu yang meneruskan sunah Rasullullah.

Namun imej tabligh kadang-kadang dicemari dengan perlakuan sesetengah anggota jemaah. Yang paling menjadi buah mulut, jemaah tabligh didakwa sering meninggalkan anak bini tanpa nafkah untuk berpergian selama berbulan-bulan.

Saya tidak berapa pasti dengan dakwaan itu, namun anggota jemaah tabligh yang terbaca entri ini mungkin dapat mengulasnya.

Wednesday, July 1, 2009

UNTUK REKOD

Pemilikan 30% ekuiti bumiputera dimansuh
KUALA LUMPUR 30 Jun - Garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang diwujudkan sejak 36 tahun lalu dengan mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) dimansuhkan berkuat kuasa hari ini.
Pemansuhan itu membabitkan garis panduan berkaitan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilan alih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemansuhan garis panduan itu tidak akan diganti dengan mana-mana garis panduan baru.

"Mulai hari ini, FIC tidak lagi memproses transaksi saham atau mengenakan sebarang syarat bagi transaksi tersebut," katanya ketika berucap pada persidangan Invest Malaysia 2009 anjuran Bursa Malaysia Bhd. dan Kumpulan CIMB di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pada masa ini syarikat-syarikat yang mahu disenaraikan perlu memenuhi syarat pegangan saham awam sebanyak 25 peratus, mengikut Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia dan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera di bawah garis panduan FIC.

Bagaimanapun, mulai hari ini, Keperluan Tebaran Awam akan dikekalkan dan sebagai tambahan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bakal memperkenalkan garis panduan baru.

Di bawah garis panduan baru itu, syarikat yang mahu membuat penyenaraian perlu menawarkan 50 peratus daripada 25 peratus tebaran pegangan saham awal kepada pelabur bumiputera.

Tambah beliau, ini bermakna syarat ekuiti pelabur bumiputera telah dimasukkan bersama di dalam tebaran awam.

Najib menambah, mulai sekarang tiada lagi keperluan ekuiti dalam pasca IPO kecuali dalam pengambilan berbalik (RTO) dan penyenaraian 'pintu belakang'.

"Garis panduan baru ini diperkenalkan kerana kita dapati model lama FIC ada kekurangan, apabila ada segelintir pihak mendakwa tidak mendapat insentif dalam negara sendiri.

"Peraturan FIC itu juga sering mendapat rungutan di kalangan para pelabur asing dan dengan pemansuhan FIC, kita berharap Malaysia dapat menjadi destinasi mesra pelabur," katanya.

Beliau menaruh harapan, peraturan baru itu akan menjadikan negara lebih berdaya saing dalam pasaran modal dan meletakkan kedudukan Malaysia dalam 'radar' lebih tinggi di kalangan pelabur asing, tidak hanya dalam pelaburan asing tetapi juga dalam pelaburan ekuiti.

Menurut beliau, perubahan dalam garis panduan itu telah meletakkan semula Malaysia dalam situasi yang betul untuk mendapat manfaat ketika pemulihan ekonomi dunia.

Langkah yang diperkenalkan itu juga dapat mengurangkan amalan 'ali baba' kerana peraturan baru itu akan hanya membantu mereka yang menolong diri sendiri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sebelum ini, kebanyakan pelabur bumiputera yang mendapat saham, akan menjual saham mereka.

"Saham yang dijual bukan sedikit kerana berdasarkan kajian, daripada sejumlah RM54 bilion saham milik bumiputera, yang tinggal kini hanya RM2 bilion. Sebab itu saya katakan model lama FIC tidak lagi boleh digunakan," jelasnya.

Malah, sehingga hari ini, jumlah penguasaan ekuiti bumiputera hanya sekitar 19.4 peratus, masih jauh ketinggalan berbanding sasaran awal sebanyak 30 peratus.

Najib menyifatkan pemansuhan garis panduan itu adalah polisi yang adil bagi semua termasuk pelabur asing.

"Garis panduan polisi baru ini memberi situasi menang-menang kepada para pelabur global dan pada masa sama ia memenuhi keperluan bagi instrumen baru yang lebih efektif untuk bumiputera," jelas beliau.

Ditanya sama ada garis panduan baru itu akan menyebabkan berlaku penentangan politik, Najib berkata: "Tidak ada kerana tidak ada sesiapa akan rasa terpinggir"'.

"Tidak ada mana-mana kumpulan etnik akan terpinggir dan tidak ada penarikan semula insentif yang sedang dinikmati oleh kumpulan etnik. Ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan," tegas beliau.

Najib berkata, tugas FIC sekarang hanya memproses transaksi yang melibatkan pelupusan kepentingan bumiputera termasuk penjualan hartanah milik bumiputera kepada bukan bumiputera dan kepentingan kerajaan dalam hartanah.

Bagaimanapun, kelulusan FIC hanya diperlukan bagi hartanah melebihi RM20 juta sama ada dibeli secara langsung atau tidak langsung.

"Lain-lain transaksi tidak memerlukan kelulusan FIC," katanya.

Najib yakin dengan kelonggaran peraturan itu akan meningkatkan nilai kedudukan Malaysia sebagai destinasi untuk membuat perniagaan dan pelaburan.

Perubahan itu juga membolehkan Unit Perancang Ekonomi memfokus semula peranannya untuk koordinasi dan memantau polisi pengagihan pada tahap makro, kata beliau.

"Dengan ini, kerajaan akan kekal komited meningkatkan pembabitan ekonomi oleh bumiputera.
"Pendekatan baru ini akan memberi fokus untuk menumpukan kestabilan dan pembabitan efektif melalui kerjasama tulen dan meritokrasi," tambahnya.