Sunday, December 11, 2011

6 PENGAMAL MEDIA TERIMA ANUGERAH SULTAN SELANGOR

KLANG: Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Fikry@Fickry Yaacob adalah antara enam pengamal media yang menerima darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-66 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Beliau menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk iaitu Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS).

Manakala Ketua Pengarang Ch-9 Media Sdn Bhd (TV9), Mohd Lokman Hamidi menerima anugerah darjah Ahli Mahkota Selangor (AMS).

Ketua Biro Selangor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Muammar Kamarudin adalah antara empat pengamal media yang menerima Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS).

Turut menerima anugerah itu ialah Ketua Biro Selangor Berita Harian, Wan Ahmad Jailani Wan Abdul Razak; Editor Sinar Harian Edisi Selangor/Kuala Lumpur, Khairul Amri Yasin dan Penolong Pengarang Pemprosesan Utusan Malaysia, Nor Sedek Ismail.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Muammar berkata anugerah itu adalah satu penghargaan kepadanya dan pengamal media lain.

Pada majlis di Istana Alam Shah itu, Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 110 daripada sejumlah 113 penerima.

Nenda baginda, Tengku Arif Temenggong Selangor Tengku Muhamad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah mengetuai senarai penerima dengan dianugerahi Darjah Kerabat II (DK II).

Tahun ini, genap 10 tahun Sultan Sharafuddin Idris Shah memerintah Selangor. - BERNAMA



Saturday, December 10, 2011

JANGAN DENDANGKAN LAGU LAMA

Semalam ketika makan tengah hari di Restoran Sambal Hijau Sungai Penchala, seorang kenalan 'orang UMNO' menyapa saya.

Dia adalah salah seorang AJK cawangan UMNO yang pada satu masa dulu aktif di peringkat bahagian. Selepas bersara majikannya menyambung lagi kontrak selama dua tahun.

Bila ditanya tak aktif UMNO ke, dia menjawab "gitu-gitu aja". "Bahagian macam mana?", bila saya tanya lagi. Dia sekadar menyatakan bahagian tidak banyak memberi makluman dan menjemput aktiviti yang diadakan.

Sebenarnya ramai orang UMNO yang seperti itu. Terpinggir dan tidak digunakan. Orang UMNO yang profesional ramai tetapi pemimpin Little Napoleon di peringkat bahagian takut kedudukan mereka tergugat jika orang seperti itu dijemput atau diaktifkan.

Mereka dengan kelompok mereka. Aktiviti yang dijalankan hanya orang mereka yang hadir, tidak membawa orang baru. Program Juara Rakyat dan ceramah hanya orang yang sama diusung. Ini namanya syok sendiri.

Bila beri laporan katanya sambutan mengalakkan. Tapi selepas pilihan raya keputusannya - melopong.

Wednesday, November 23, 2011

HARI INI PADA 1988

Hari ini pada tahun 1988, saya dan isteri Haslina Hassan dinikahkan di Pejabat Kadi Petaling. Sepatutnya tanggal 23 November bukan tarikh yang dirancang untuk bernikah. Tarikh sebenar adalah pada hari perkahwinan itu sendiri iaitu pada sebelah pagi di rumah pengantin perempuan.

Namun kerana jurunikah ditangkap berkhalwat di rumah janda, saya dan empat lagi pasangan yang disepatutnya dinikahkan pada minggu itu terpaksa diminta untuk bernikah di Pejabat Kadi daerah Petaling oleh Tuan Kadi. Ini kerana tauliah jurunikah kepada individu terbabit ditarik balik.

Selain keluarga empat pasangan lain yang hadir di pejabat kadi, antara keluarga kami yang hadir; abang Zahid, abang Hakim di sebelah saya dan Mak Su dan Pak Su, abang Lan dan kak Zizah, Kak Bita dan allahyarham abang Sani serta allahyarham abang Mimi selaku wali di sebelah isteri.

Ada hikmahnya di sebalik peristiwa itu. Biasanya pengantin lelaki akan berdebar dan perasaan tidak tenteram sebelum dinikahkan. Apa tidaknya ketika nikah di rumah pada hari kenduri semua sanak saudara hadir dan pembesar suara diletakkan di depan pengantin lelaki. Kalau ada salah dan nikah tak sah sehingga diulang banyak kali, pengantin jadi gabra.

Tetapi ketika hari perkahwinan itu tahap keyakinan saya amat tinggi kerana tidak akan mengalami gangguan emosi seperti itu. Penganti telah dinikahkan. Dan yang perlu hanya majlis adat dan sambutan pengantin (resepsi). Tiada persandingan. Upacara seterusnya di bilik pengantin dengan majlis sarung cincin dan bergambar di atas katil.

Seminggu selepas majlis di Puchong, pengantin berkonvoi ke Bagan Datoh. Majlis perkahwinan di Perak diadakan serentak dengan adik saya Nurul Hilal yang mendapat jodoh dengan orang Ipoh.

Apa yang saya tidak dapat lupakan sehingga hari ini, ketika di bilik pengantin semasa hendak menukar persalinan, saya tersarung kain isteri yang saya sangkakan seluar baju melayu kerana warna yang sama, sedondon!

Semuga kami terus bahagia dan mengharungi bahtera sehingga ke akhir hayat.

Friday, October 21, 2011

PUTERI BONGSU SULTAN NIKAH

YOGYAKARTA 18 Okt. - Majlis pernikahan puteri bongsu Raja Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat, Sri Sultan Hamengku Buwono X iaitu Gusti Kanjeng Ratu (GKR) Bendara dengan Kanjeng Pangeran Haryo (KPH) Yudanegara di sini hari ini berlangsung dalam tradisi Jawa-Islam.

GKR atau nama sebenarnya, Puteri Nurastuti Wijareni, 25, bertemu jodoh dengan KPH atau Achmad Ubaidillah, 29, yang bukan berdarah diraja dan bertugas di pejabat Naib Presiden Indonesia, Boediono.

Pernikahan diraja itu mendapat perhatian seluruh masyarakat di Daerah Istimewa Yogyakarta yang terletak 400 kilometer dari Jakarta dan merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang masih memiliki keluarga diraja.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh ayahanda pengantin perempuan, Sultan Hamengku Buwono yang juga wali nikah GKR di Masjid Panepen Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat pagi ini.

"KPH Yudanegara, saya nikahkan kamu dengan putri saya GKR Bendara," kata Sultan dalam bahasa Jawa.

"Saya terima nikahnya GKR Bendara dengan mas kahwin al-Quran, sepersalinan kelengkapan solat dan perhiasan," ucap KPH ketika melafazkan akad nikah juga dalam bahasa Jawa.

Pengantin lelaki, KPH biarpun berasal dari Lampung dan tidak biasa dengan bahasa Jawa, namun lancar ketika melafazkan ijab kabul.

Ketika majlis akad nikah berlangsung, puteri diraja berkenaan tidak turut serta.
Sebaliknya, sejurus selepas majlis pernikahan, pasangan berkenaan ditemukan dalam acara ritual panggih' pengantin (temu pengantin) di Bangsal Kencana.

Majlis pernikahan yang berlangsung gilang-gemilang itu dihadiri oleh lebih 2,000 tetamu termasuk Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Beribu-ribu masyarakat Yogyakarta pula berdiri di jalan-jalan utama di sekitar bandar diraja itu untuk menatap wajah pengantin yang diraikan di istana diraja yang berusia 200 tahun itu.