Mengapa akhbar New Sunday Times di bawah NST Group tidak menyiarkan walau sepatah perkataanpun kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands pada muka depan akhbar itu hari ini?
Ia agak menghairankan. Berita yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia, seperti tiada nilainya bagi NST.
Ketika media lain menyajikan sama ada sekadar cebisan, kecil mahupun besar berita keputusan PRK itu, NST kelihatan mahu menyorokkan berita tersebut.
Tetapi sekiranya Pakatan Harapan menang walaupun tipis, pasti ia akan menjadi laporan penuh muka depan melimpah ke muka belakang (wrap around).
Segala janji pengurusan baru editor NST Group diketuai Mustapha Kamil untuk lebih terbuka dan adil, hanyalah retorik kosong.
Sebelum dilantik menjadi Ketua Editor (semasa berada di luar NST), beliau ghairah menuduh media arus perdana termasuk NST sudah tiada kredibiliti dan menjadi alat kerajaan.
Malah Mustapha seperti juga Datuk Kadir Jasin kerap menuduh pengamal media arus perdana sebagai pemakan dedak. Kini tanpa rasa malu, mereka menjilat ludah sendiri.
Siapa yang menjadi alat kerajaan, siapa yang sudah hilang wibawa, siapa yang tabur janji palsu dan siapa sebenarnya pemakan dedak?
Ini bukan kali pertama NST sejak di bawah teraju Mustapha (yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan) tidak objektif, tidak adil dan tidak seimbang dalam laporannya.
Hampir saban hari itu yang berlaku, penuh ampu dan bodek sehingga muntah untuk membaca NST dan juga Berita Harian (di bawah Kumpulan NST).
Elemen kritis apatah lagi keberanian untuk mempersoalkan serta membantah banyak kepincangan kerajaan, langsung tiada. Mustapha hanya ikut telunjuk Kadir dan Tun Mahathir.
Inilah kebebasan dan keterbukaan media di bawah era Malaysia Baharu, yang sebenarnya berundur ke belakang.
Amatilah betapa hodohnya kebebasan media mengikut Pakatan Harapan. Ketika berkuasa, mereka lebih buruk daripada kerajaan BN.
Tidak kurang memalukan adalah laporan Bernama yang tidak lagi profesional dan bebas sebagaimana sebelum ini. Terdapat beberapa laporan Bernama seperti laporan Roket iaitu organ media DAP.
Bernama sebagai agensi berita tidak sepatutnya memihak secara ketara. Contohilah agensi berita negara-negara lain.
Inilah masalah apabila Pengerusinya, Datuk Seri Azman Ujang terlampau bermain politik, oportunis dan menjadi lalang yang mudah ditiup angin.
Dahulu ketika era BN, beliau licik membodek dan kini pada era Pakatan Harapan, lagi galak membodek malah menjadi suara DAP. Ramai wartawan dan staf Bernama, kecewa melihat hilangnya kredibiliti Bernama sekarang.
Satu lagi media yang mengecewakan adalah Astro Awani. Sentiasa ada sahaja usaha untuk menafikan BN dan Pas sebaliknya menjadi alat Pakatan Harapan secara terang-terangan.
Kemenangan BN di Cameron Highlands semalam misalnya dilaporkan secara sinikal dan angle yang menampakkan seolah-olah ia bukan kemenangan sebenar.
Mereka lupa dalam demokrasi menang apatah lagi majoriti besar adalah kemenangan kepada rakyat dan demokrasi. Hormatilah keputusan rakyat.
Nampaknya Kumpulan NST, Bernama dan Astro Awani kini bukan lagi berorientasikan rakyat tetapi menjadi alat kerajaan semata-mata. Memalukan dan tiada kelas.
Dengan NST, Bernama dan Astro Awani semakin tidak relevan, rakyat akan lebih banyak beralih kepada media sosial sebagai sumber rujukan.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh media arus perdana yang menyokong kerajaan secara taksub akan makan diri.
Sejarah telah membuktikan dan belajarlah daripada sejarah.
Oleh Fakhrul Mohd. Salihin
21 Januari 2019