Sunday, July 8, 2012

DIJEMPUT MENGADAP SULTAN DEMAK



Rabu lalu (4 Julai 2012) saya berangkat ke Semarang untuk ke Demak bagi menghadiri sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Demak, SRI SULTAN SURYA ALAM JOYOKUSUMO serta perhimpunan sultan-sultan Nusantara.

Undangan di atas inisiatif Kanjeng Sri Sultan Notobroto Nusantara Al-Haj.

Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia tertangguh kira- kira satu jam kerana masalah pada sistem pendaftaran masuk syarikat penerbangan tambang murah itu.

Ketika rombongan kira-kira 30 orang dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmad Yani, Semarang waktu sudah hampir Isyak.

Selain Datuk Seri Mohamad Yakub (bekas Setiausaha Kerja BN) dan Datuk Kamaruzaman Che Mat (bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat) rombongan turut disertai Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (Tan Sri Jojo) yang tiba dengan jet peribadinya keesokan hari. 

Tan Sri Jojo yang juga ahli Dewan Diraja Selangor adalah keturunan daripada kerabat Diraja Siak dan pernah menerima pingat darjah kebesaran Kesultanan Siak yang membawa gelaran Pangeran Seri Lela Wangsa. 



MELAWAT KOTA WALI
Esoknya tengahari,  saya bersama beberapa teman termasuk krew berita yang mengikuti saya berkereta ke Demak. 

Setibanya kami di Kota Wali Songo itu, kami meninjau persiapan majlis ulang tahun dan himpunan Raja-raja dan sultan Nusantara di istana (Karaton Glagahwangi Dhimak).

Istana yang dimaksudkan tidaklah seperti gambaran kebanyakan istana yang ada di Malaysia. Ia hanyalah rumah kampung yang berada di atas tapak asal istana Kesultanan Islam Demak dahulu.

Balairong istana sultan adalah sebuah pentas besar yang disambung dengan bahagian depan "istana". Pada siangnya ia memang tidak kelihatan seperi istana, namun setelah malam ketika istiadat bermula ia benar-benar seperti istana.

Pada majlis malam itu iaitu malam Jumaat Legi (Jumaat Manis) dan Nisfu Syaaban, antara sultan yang hadir ialah Sultan Palembang, Jambi, Siak, Indragiri, Pagaruyung, Cerebon dan Permaisuri Ternate (Maluku Utara) serta wakil-wakil sultan.

Mereka adalah sultan yang tiada tahta, kehadiran mereka di atas semangat kebersamaan mendokong semangat untuk menegakkan waris budaya dalam majlis Gelar Budaya. 

Gelaran sultan adalah sah mengikut catatan sejarah dan undang-undang Indoneia. Mereka bernaung di bawah kesatuan sultan-sultan dan raja-raja Nusantara melalui Yayasan Raja dan Sultan Nusantara (YARASULTRA) dan mendorong terbentuknya Asosiasi atau Perkumpulan Kerajaan dan Kesultanan Seluruh Indonesia dengan  jumlah keseluruhnnya kira-kira 133 sultan  dan 137 di seluruh Nusantara.


(Lokman Hamidi menerima gelaran Kanjeng Raden Mas Haryo Tumenggung daripada Sultan Demak)

BERTEMU KERABAT
Pada malam itu saya turut diberikan anugerahkan oleh Sultan Demak di atas kapasiti sebagai leluhur (kerabat) dengan gelaran Kanjeng Raden Mas Haryo Tumenggung.

Namun apa yang membuat saya teruja apabila saya diketemukan dengan wakil Sri Sultan Hamengku Buwono XIII, satu-satunya Sultan yang masih bertahta dan mempunyai kuasa politik di Indonesia, di daerah istimewa Yogjakarta (DIY).

Pertemuan secara kebetulan itu terjadi apabila saya keluar dari dewan istiadat untuk berehat apabila saya menyapa dua orang anak muda berpakaian biasa yang sedang duduk di dalam gelap.

Seorang daripada mereka kemudian mengejutkan saya dengan persoalan ini. "Radin Tarmidzi ngak datang?", tanya dia. Saya jawap ayah baru keluar hospital siang tadi di Kuala Lumpur. 

Dalam fikiran saya tertanya-tanya bagaimana dia boleh tahu nama ayah saya sedangkan di Malaysia ayah lebih dikenali dengan nama Hamidi bukan Radin Tarmidzi (Radin Haji Ahmad Tarmidzi Radin Haji Abdul Fattah).

Mungkin beliau mengenali saya melalui nama yang disebut oleh pengacara majlis ketika dipanggil mengadap Sultan Demak sebelum itu. Dan persoalan lain masih menjadi tanda tanya.

Setelah berbual panjang, seorang lagi anak muda itu, Raden Armaya Mangkunegara membawa saya ke dalam dewan untuk memperkenalkan saya dengan ayahandanya yang mewakili Keraton DIY.

Ayah pernah bercerita bahawa keturunannya daripada kerabat kesultanan Mataram yang kini dikenali sebagai Yogjakarta. Dan beberapa tahun lalu, abang Zahid yang beberapa kali ke keraton Yogjakarta telah dibekalkan dengan carta susulgalur leluhur berkenaan.

Saya menceritakan itu semua kepada mereka termasuk cop mohor serta orang yang menjaga salahsilah itu. Seorang lelaki yang duduk bersebelahan ayahanda kepada Raden Armaya yang turut berpakaian Keraton Yogjakarta berkata dialah orangnya yang menjaga salahsilah itu. Lalu saya kemudian dipeluk oleh kedua-dua lelaki berkenaan.





MAKAM RADEN FATTAH
Sebelum acara majlis malam itu, siangnya saya dan rombongan dibawa ke Masjid Agung Demak selepas meninjau persiapan di Karaton Glagahwangi Dhimak.

Saya sempat menunaikan solat Asar berjemaah di masjid yang dibina hanya semalaman oleh wali songo itu. Empat tiang seri di dalam masjid didirikan oleh empat wali songo termasuk Sunan Kalijaga yang dikatakan mendirikan tiang terakhir menggunakan lebihan kayu terbuang yang dikumpul.

Di kawasan makam Kesultanan Demak, saya turut terpegun dengan tertera nama Raden Fattah di salah satu makam. Nama itu sama dengan nama ayahanda bapa saya. 


Raden Fattah adalah sultan Kerajaan Islam Demak yang pertama. Daripada susulgalur itulah wujudnya kerajaaan-kerajaan Islam di Nusantara yang waris sultan-sultannya hadir pada majlis malam tadi.

Dan deklarasi oleh sultan-sultan malam itu seakan mengulangi deklarasi yang sama di tapak yang sama kira-kira 500 tahun lalu.


1 comment:

Anonymous said...

Maafkan saya, saya rasa yg tuan jumpa bukanlah Sultan Demak, rumah asal Raden Fatah adalah kraton asal, berdekatan makam Sunan Kalijaga