Apabila Pakatan Harapan memenangi PRU-14 dan Tun Mahathir dipilih untuk kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia, pengundi PH sangat yakin bahawa Tun Mahathir mempunyai 'the magic formula' untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Malaysia.
*Tun Mahathir Gagal*
Malangnya, setelah 9 bulan, ternyata harapan hanya tinggal harapan. Rakyat Malaysia tidak merasai perubahan yang dijanjikan. Harga barang tidak turun. Saraan hidup semakin membebankan. Ekonomi tidak bertumbuh dengan baik. Ringgit tidak semakin kukuh, malah jatuh. Kualiti hidup rakyat tidak lebih sejahtera. Malah, 'the rule of laws' yang dicanang-canangkan pun tidak kelihatan terserlah. Sebaliknya integriti badan berkaitan semakin dikecam dan dipersoal.
Apabila Manifesto PH tidak ditunaikan, pelbagai alasan diberikan. Yang paling kerap dikitar semula adalah hutang negara begitu banyak sehingga tidak memungkinkan Kerajaan melaksanakan janjinya. Tiada naratif lain, hanya hutang. Yang peliknya, pada masa yang sama, mereka tambah lagi hutang negara.
Tun Mahathir turut menggambarkan bahawa sistem pentadbiran awam sebagai gagal dan memerlukan pemulihan radikal. Sedangkan, sepanjang 9 bulan lepas, perkhidmatan awam berjalan sahaja dengan baik dan sikap profesional penjawat awamlah yang telah memudahkan proses peralihan kuasa berjalan dengan teratur dan baik. Sudahnya, tiada pelaksanaan kepada perubahan radikal yang dijanjikan.
*Deja Vu Zaman Dahulu*
Kemudian beliau menggambarkan pula UMNO dan BN telah hancur dan musnah. Tetapi UMNO dan BN terus hidup, sudah boleh menerima kekalahannya dan mula dibangunkan kembali dengan iltizam yang sangat jelas oleh kepimpinan baru. Malah menang pula dalam pilihanraya di Cameron Highlands.
Susulan kemenangan tersebut, Tun Mahathir menghentam PAS kononnya PAS bekerjasama dengan 'parti kafir'. Ternyata Tun Mahathir sangat marah kerana di sebalik kehadirannya di Cameron Highlands bersama pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Harapan, orang Melayu dan orang Asli terus berkeras menolak mereka.
Sewaktu di Oxford, bila berhadapan dengan seorang anak muda pintar Singapura, Tun Mahathir jelas dipintas kebijakannya. Bila diasak dengan soalan yang objektif sifatnya, ternyata Tun Mahathir melenting tanpa usul periksa dan gagal menjawab soalan yang diajukan. Lain ditanya, lain pula dijawabnya.
Jemaah Menteri pula secara umumnya sangat kucar kacir. Dalam kes ECRL dan pelbagai isu nasional yang lain, pelbagai kenyataan yang saling bercanggah dapat kita lihat. Perkara ini menggambarkan kegagalan Tun Mahathir dalam memberikan kepimpinan kepada anggota kabinetnya. Mereka sebaliknya hanya disuruh menutup mulut dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Akhirnya, kita sebagai rakyat juga yang terus terpinga-pinga tentang status sebenar projek mega ini.
Kerajaan Kakistokrasi
Apa yang boleh kita rumuskan? Tun Mahathir tidak lagi mempunya 'formula ajaib' untuk Malaysia. Era beliau telah berakhir. Selama 9 bulan PH memerintah, tiada pemikiran serta kecerdasan baru yang kita boleh dengar untuk Malaysia. Ini bukan 'a new Malaysia but a miserable Malaysia'. Malaysia yang terperangkap dengan keghairahan mendamba pembaharuan tetapi sangat tersepit dengan pemikiran lama, naratif lama dan pendekatan lama. Kereta nasional, dasar pandang ke timur, pelaburan Jepun, persengketaan berterusan dengan Singapura, serangan ke atas ringgit oleh Amerika. Semuanya deja vu yang kembali bertalu-talu. Perkara dan dasar sama diulang-ulang.
Semua perkara ini mengubah secara drastik persepsi dan kepercayaan orang Melayu kepada kerajaan PH. Lihat sahaja dapatan dari Ilham Centre dan keputusan pilihanraya Cameron Highlands baru-baru ini. Bersatu masih terlalu jauh dari menjadi alternatif kepada UMNO.
Penolakan ini kerana orang Melayu sebenarnya sangat rasional. Mereka tahu bahawa Tun Mahathir telah melewati zamannya dan Kerajaan sekarang adalah sebuah jemaah kakistokrasi. Negara ini tidak boleh dibiarkan tanpa hala tuju yang jelas pasca Mahathir. Apatah lagi Tun Mahathir sekarang bukan seperti Tun Mahathir yang dulu. Seorang 'Ultra Melayu' yang semakin pudar pendiriannya terhadap kepentingan Melayu semenjak bersahabat dengan DAP yang tidak pernah berganjak dari 'no religion, no race Malaysian Malaysia". Ditambah pula dengan jentera kerajaan yang tidak berpengalaman, tidak bermuafakat dan saling berdolak dalih antara satu sama lain.
*Kebimbangan Melayu*
Kebimbangan orang Melayu ini berasas. Sebagai peribumi, orang Melayu mahukan Kerajaan yang boleh memelihara kepentingan tanahair mereka kerana inilah satu-satunya yang mereka ada. Orang Melayu tidak keterlaluan dalam permintaan mereka. Mereka bukan punya wang yang banyak, syarikat dan konglomerat besar serta harta di luar negara. Mereka bahagia dengan tanahair yang dikongsi dengan bangsa lain secara aman dan damai.
Tetapi, orang Melayu mahu hak mereka, agama mereka dan bahasa mereka dihormati. Bangsa Melayu, walau moden dan maju bagaimana sekalipun, pasti akan terus berpegang kepada akar identitinya. Tiada kepentingan nasional atau ideologi politik yang dapat mengatasi semua ini.
Orang Melayu mahu isu mereka didengar dan diselesaikan. Isu ekonomi, isu pendidikan, perlindungan kehidupan beragama. Saya ingin tegaskan, inilah kelebihan terkuat UMNO/BN yang sebenar sebagai sebuah parti. Keseriusan BN membangun peluang ekonomi dan solusi kepada kehidupan masyarakat Malaysia adalah penentu dalam banyak perkara. BN sentiasa memastikan wujud tawaran ekonomi dan dasar pembangunan yang jelas, tersusun dan adil untuk semua. Paling penting, BN tidak mengeksploitasi Islam demi kemenangan.
*Jalan Hadapan*
Justeru, rakyat Malaysia, terutamanya bangsa Melayu mesti mencari pedoman baru untuk negara yang telah berubah ini. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Tun Mahathir untuk mengemudi Malaysia. Kita berterima kasih kepada sumbangan beliau.
Tetapi kita harus mengambil pandangan jauh. Harus pandang ke hadapan. Malaysia ini lebih penting dari hanya sengketa Tun Mahathir dan Najib Razak. Lebih penting dari kita membuang masa cuba meneka-neka sama ada persefahaman antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim serta Lim Kit Siang itu tulen atau mereka sekadar bermuka-muka. Semua itu sangat merugikan bangsa Melayu, dan Malaysia.
Ingatlah ramai orang Melayu yang memilih PH bukan kerana mereka terlalu mahukan Tun Mahathir, tetapi kerana mereka tidak suka kepada kepimpinan lama dan masalahnya. Jadi, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika Tun dan kerajaan hanya menyerahkan nasib negara ini untuk dicorakkan oleh sekelompok kakistokrasi yang semakin mencemaskan.
Justeru, UMNO DAN PASmesti tampil mengemukakan dasar alternatif kepada rakyat Malaysia dari semasa ke semasa. Pengalaman panjang UMNO mentadbir negara ini sangat terbukti dalam pelbagai perkara. Pembangunan, ekonomi, dasar luar. UMNO juga berjaya mengurus kemajmukan Malaysia dengan baik sekali. Cuma UMNO sekarang ini melalui apa yang saya panggil 'the national race for Malaysia's progress, competitiveness and prosperity'.
Kita tidak akan membiarkan rakyat Malaysia terus terpesona dengan 'Tun Mahathir dan kenegarawanannya'. Untuk itu, UMNO mengajak rakyat Malaysia, bersungguh-sungguh kembali kepada realiti masa hadapan tanahair kita. Kita mesti ingat, membangunkan Malaysia, khususnya bangsa Melayu, tidak lagi boleh disandarkan kepada individu. Tetapi kepada kebingkasan rakyatnya. Malang bagi Malaysia, jika negara ini akhirnya terperangkap dengan kakistokrasi.
SAMA2 KTA SOKONG PENYATUAN UMNO DAN PAS DEMI ISLAM DN MLAYU
*Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin*
*Naib Presiden UMNO*
*5 Febuari 2019*