Monday, September 16, 2013

GOLD COAST MORIB SEDIA PERKHIDMATAN SAJIAN TERBURUK

Pagi ini, ramai di kalangan penghuni dan pelanggan di resort  peranginan Gold Coast Morib merasa tidak puas hati. Namun masing- masing mereka merungut sesama sendiri.

Keadaan itu berpunca daripada penyediaan sarapan pagi yang disifatkan mereka seperti hotel bajet tuala ' good morning'. Malah ia sebenarnya lebih teruk daripada itu.

Rata-rata penghuni yang turun sarapan sekitar jam 8:30 hingga 9:00 pagi tersentak apabila mendapati  kebanyakan makanan yang dihidangkan sudah habis. Manakala semua meja-meja dipenuhi pinggan mangkuk kotor yang tidak dikutip.

(Pengunjung terpaksa mengemas kotoran sisa supaya meja boleh digunakan semula)


(Pinggan mangkuk kotor bersepah di setiap meja)

Waktu sarapan yang diperuntukan antara jam 7:30 pagi dan 10 pagi. 

Sebelum itu, penghuni yang datang bersarapan diarah ke dewan sementara (khemah) di luar bangunan. Restoran yang menyediakan sarapan sudah penuh dan makanan tidak cukup untuk menampung keperluan pengunjung.

Setelah berjalan kaki pada jarak kira-kira 50 meter, penghuni mula bersungut apabila mendapati apa yang dihidangkan di dewan sementara itu hanya nasi lemak dengan sambal berlauk kentang goreng. 

Rugutan semakin kuat dan merebak di kalangan yang hadir. Ia bermula apabila seorang penghuni berbangsa Cina memanggil pelayan dan mengadu mengenai keadaan itu. 

Seorang lagi penghuni mahu pelayan itu memanggil penyelia yang bertugas. Namun penyelia yang terpaksa diringi pengadu untuk datang ke dewan itu tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka semakin panas dan mahu berdepan dengan pengurus residen.
(Dua pramusaji dimarahi seorang pengunjung kerana perkhidmatan sajian yang buruk)

(Penyelia baju biru yang datang tak boleh buat apa-apa)

Rungutan dan aduan mereka ada asasnya. Rata-rata mereka membayar lebih RM500 untuk seunit bilik. Malah penghuni yang mengadu itu ada yang menyewa sehingga empat buah bilik. 

Mereka bukan kisah sangat dengan jumlah bayaran tetapi kecewa dengan layanan yang sambil lewa dan aduan yang memakan masa lama untuk diberi perhatian. Malah sikap penyelia dan pengurus residen seolah-olah mahu mengelak daripada berdepan dengan pelanggan yang mengadu amat dikesali.

Keadaan semakin kecoh di lobi hotel kerana keengganan pengurus untuk menemui penghuni. Kakitangan pengurusan pula cuba 'mengurung' mereka dengan membawa masuk penghuni-penghuni yang mengadu ke bilik mesyuarat, namun pelawaan itu tidak diendahkan.

Dan selepas didesak akhirnya pengurus residen muncul di lobi.

Tawaran Pengurus Residen, Subramaniam Padiah untuk menutup kelemahan pengurusan dengan memanjangkan tempoh daftar keluar dan menjemput makan tengah hari untuk sebahagian pengadu bukan jalan penyelesaian. 


Apa yang mereka mahu supaya pihak pengurusan Gold Coast Morib International Resort tidak mengulangi kelemahan itu dan memberi lebih perhatian dari segi jumlah penghuni dan sajian yang perlu disediakan, di samping tidak kedekut untuk mengaji pekerja yang lebih untuk menampung keperluan pengunjung yang ramai pada hujung minggu dan cuti kelepasan.