Tuesday, February 12, 2013

MANADO KOTA PALING AMAN DI INDONESIA

Pencetus hubungan lebih akrab rakyat Malaysia-Indonesia.


Rais Yatim menyerahkan buku kepada Gabenor Sulawesi Utara untuk Sudut Malaysia

Manado, ibu kota Sulawesi Utara atau Sulut senonim dengan artis veteran Maria Manado.

Jarang sekali rakyat Malaysia berkunjung atau memperkatakan mengenai Manado melainkan menyebut nama artis sezaman dengan P.Ramlee itu.

Minggu lalu pada 5 Februari, 2012 saya dan beberapa editor kanan dijemput untuk ke Manado bagi menghadiri majlis sempena Hari Pers (Wartawan) Nasional ke-66.

Hanya lapan orang mewakili organisasi media perdana mengikuti rombongan selama empat hari itu. Jumlah itu tidak termasuk lebih enam kakitangan urusetia yang pergi dalam dua peringkat.

Kami pergi atas tiket Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISMAWI) dari Malaysia. Ia sebagai memenuhi tuntutan usaha untuk menjalin dan mewujudkan 'networking' di kalangan wartawan di Indonesia.

Penerbangan dari Kuala Lumpur melalui transit di Jakarta memakan masa kira-kira 10 jam.

Dulu pernah ada penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur melalui Sabah ke Manado, tetapi kini dihentikan selepas kekurangan penumpang.

Antara wartawan dan pegawai kanan kementerian yang menyambut Rais di lobi hotel

Selain nama Maria Manado, tiada yang lebih istemewa di Sulawesi Utara. Kalaupun mahu dijadikan kenangan mungkin kunjungan ke pulau batu karang Bunaken bagi mereka yang mengemari aktiviti 'scuba diving' dan 'snorkelling'.

Saya diberi kesempatan ke pulau berkenaan tetapi membatalkan peluang itu pada saat akhir disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Makanan khas Sulawesi Utara yang paling popular adalah Tinutuan atau Midal (bubur Manado). Saya sempat menikmatinya ketika disajikan waktu minum pagi di restoran hotel penginapan.

Rasanya seperti bubur berempah campuran dedaun herba, yang sering disajikan kepada emak yang berpantang bersalin ketika di kampung dahulu.

Selain itu di daerah Minahasa terdapat makanan khas yang jarang ditemui di daerah lainnya di Indonesia, seperti rintek wuuk (biasa disebut RW) atau daging anjing, daging ular dan paniki (daging kelelawar).

Namun kesemua yang saya sebutkan itu tidak saya temui ketika kunjungan saya.

LH diapit oleh orang kuat ISMAWI - Pak Saiful (CEO ANTARA) dan Datuk Jalil Ali (Kumpulan Karangkraf)

Jumlah penduduk di Kota Manado dikatakan menurun dari 52 ribu orang sebelum ini kepada 43,500 pada bancian terakhir tahun lalu, iaitu menurun kira-kira sembilan ribu orang. Ini antara lain disebabkan penduduknya merantau ke luar daerah mencari rezeki.

Agama yang dianut penduduk Manado adalah Kristian Protestan, Islam, Katolik, Hindu, Buddha dan agama Konghucu.

Berdasarkan perangkaan tahun 2002 (www.manadokota.bps.go.id), jumlah penduduk yang beragama Kristian/ Katolik di Manado mencapai 68 peratus, manakala Muslim 30 peratus dan dua peratus lagi agama lain.

Bagaimanapun masyarakat Manado sangat menghargai sikap hidup bertoleransi, rukun, terbuka dan dinamis.

Ketika Indonesia menghadapi rusuhan kaum dan etnik kerana konflik politik sekitar tahun 1999, Manado terus aman.

Ini kerana penduduknya menterjemahkan slogan masyarakat Manado iaitu Torang samua basudara yang bererti "Kita semua bersaudara".

Peserta rombongan ISMAWI Malaysia

Slogan ini juga yang disebut oleh Gabernornya Sinyo Harry Sarundajang ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah sempena Hari Pers Nasional 2013 yang dihoskan Malaysia melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada malam terakhir lawatan kami.

Semuga dengan semangat yang dicetuskan di Manado oleh ISMAWI itu, usaha bersama Datuk Seri Rais Yatim untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama Malaysia-Indonesia dapat segera direalisasikan.

Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) yang sedang diusahakan itu akan menjadi jambatan kerjasama meningkatkan silaturahim antara masyarakat kedua-dua negara.