Hari ini pada tahun 1988, saya dan isteri Haslina Hassan dinikahkan di
Pejabat Kadi Petaling. Sepatutnya tanggal 23 November bukan tarikh yang
dirancang untuk bernikah. Tarikh sebenar adalah pada hari perkahwinan
itu sendiri iaitu pada sebelah pagi di rumah pengantin perempuan.
Namun kerana jurunikah ditangkap berkhalwat di rumah janda, saya dan
empat lagi pasangan yang disepatutnya dinikahkan pada minggu itu
terpaksa diminta untuk bernikah di Pejabat Kadi daerah Petaling oleh
Tuan Kadi. Ini kerana tauliah jurunikah kepada individu terbabit ditarik
balik.
Selain keluarga empat pasangan lain yang hadir di pejabat kadi, antara
keluarga kami yang hadir; abang Zahid, abang Hakim di sebelah saya dan Mak Su dan Pak Su,
abang Lan dan kak Zizah, Kak Bita dan allahyarham abang Sani serta allahyarham
abang Mimi selaku wali di sebelah isteri.
Ada hikmahnya di sebalik peristiwa itu. Biasanya pengantin lelaki akan
berdebar dan perasaan tidak tenteram sebelum dinikahkan. Apa tidaknya
ketika nikah di rumah pada hari kenduri semua sanak saudara hadir dan
pembesar suara diletakkan di depan pengantin lelaki. Kalau ada salah dan
nikah tak sah sehingga diulang banyak kali, pengantin jadi gabra.
Tetapi ketika hari perkahwinan itu tahap keyakinan saya amat tinggi
kerana tidak akan mengalami gangguan emosi seperti itu. Penganti telah
dinikahkan. Dan yang perlu hanya majlis adat dan sambutan pengantin
(resepsi). Tiada persandingan. Upacara seterusnya di bilik pengantin
dengan majlis sarung cincin dan bergambar di atas katil.
Seminggu selepas majlis di Puchong, pengantin berkonvoi ke Bagan Datoh.
Majlis perkahwinan di Perak diadakan serentak dengan adik saya Nurul
Hilal yang mendapat jodoh dengan orang Ipoh.
Apa yang saya tidak dapat lupakan sehingga hari ini, ketika di bilik
pengantin semasa hendak menukar persalinan, saya tersarung kain isteri
yang saya sangkakan seluar baju melayu kerana warna yang sama, sedondon!
Semuga kami terus bahagia dan mengharungi bahtera sehingga ke akhir hayat.