Friday, December 17, 2010

HIKMAH HAJI

Musim haji tahun 2010 berakhir dengan penerbangan terakhir jemaah Malaysia dijadual tiba Sabtu ini, manakala kumpulan akhir menggunakan pesawat komersil pada 20 haribulan Disember ini.

Walapun saban tahun ibadah rukun Islam kelima ini dilakukan, ada cerita dan iktibar baru yang perlu dikongsi.

Di masjid selepas solat subuh tadi, seorang jemaah memberitahu seorang rakan masih belum mendapat bagasi walaupun sudah dua minggu lebih awal daripada saya pulang ke Malaysia.

Itu adalah sebahagian ujian kecil yang Allah berikan.

Seorang wanita yang bersama rombongan saya kehilangan suami selama tiga hari sejak bermabit di Mudzalifah.

Berkat doa, solat hajat rakan jemaah lain serta kesabaran wanita itu akhirnya suaminya ditemui setelah sesat mengikuti kumpulan jemaah dari China.

Manakala cerita yang paling popular di kalangan jemaah Malaysia adalah kisah sedih jemaah wanita Malaysia yang dikatakan dilarikan pemandu teksi Arab.

Wanita itu dilaporkan dirogol dan mayatnya ditinggalkan di atas bukit.

Walaupun suami jemaah wanita berkenaan mengikut nasihat memastikan isterinya masuk teksi selepas suami. Tetapi Tok Arab ini menggunakan helah lain untuk melarikan isteri orang.

Dia menghelah kononnya teksinya rosak dan meminta suami wanita itu keluar kereta untuk membantu menolak teksi berkenaan sebelum isterinya dilarikan.

Cerita lain pula mengenai ketidak puasan hati jemaah pakej swasta dengan perkhidmatan yang diberikan.

Sebuah pakej swasta yang diberi peluang meningkatkan jumlah jemaah sehingga kira-kira 1500 orang sudah tersasar daripada keupayaan anugerah ISO yang pernah mereka terima.

Peningkatan jumlah jemaah yang dibawa tidak disertai dengan peningkatan jumlah kakitangan yang bertugas.

Akhirnya masalah penyelarasan dan penyampaian maklumat timbul.

Namun syarikat itu masih mampu memberikan perkhidmatan dari segi pengisian rohani dan ilmu ibadah haji kerana adanya seorang pengerusi syarikat uztaz bergelar Datuk yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan haji.

Namun jemaah sering dinasihatkan supaya tidak merunggut dan menganggap apa yang berlaku adalah sebahagian daripada ujian Allah untuk mendapat Haji Mabrur.

Walaupun sebahagian besar jemaah mengetepikan masalah perkhidmatan tidak cekap dan lebih mengutamakan kualiti ibadah masing-masing, namun masih terdapat sebahagian daripada mereka yang membawa bersama pangkat dan gelaran ke Tanah Suci.


Apapun cerita seorang jemaah Pakistan kepada saya perlu juga dijadikan iktibar.

Tiadanya kemudahan air dan bekalan elektrik semasa di Mina tidak melunturkan mereka untuk beribadah dan melaksanakan wajib haji melontar tiga jamrah.

Abrar Ahmad dari Gilgit, Pakistan antara 25 ribu jemaah Pakistan yang berhadapan masalah itu di Mina.

Namun kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Wakaf dan Haji dijangka menyalurkan pampasan kira-kira SR6.6 juta kepada kerajaan Pakistan untuk dipulangkan semula kepada jemaahnya.

Dianggarkan setiap jemaah akan mendapat pampasan kira-kira SR250 jika kerajaan melaksanakan amanah itu.

Namun menurut Abrar beliau tidak yakin pampasan itu dapat disalurkan semula oleh kerajaan Pakistan kepada jemaah terlibat.

Abrar sebaliknya mencadangkan supaya wang pampasan itu digunakan untuk menambah baik perkhidmatan jemaah pada sesi musim haji akan datang,


Cerita saya bersama isteri pula mungkin boleh juga dijadikan iktibar kepada rakan-rakan yang akan menunaikan haji selepas ini.

Di Madinah selain diberi sebuah bilik untuk dua orang di Hotel Al-Ansar Golden yang berada hanya kira-kira 20 meter oleh pakej dipilih, kami ditawarkan sebuah suite di hotel Holiday Villa oleh pengurusan hotel berkenaan.

Untuk tidak mengecilkan hati pengurusan hotel yang baru dirasmikan Ramadan lalu itu, kami terima tawaran itu.

Namun suite mewah itu hanya tempat kami tidur malam dan barang-barang kami tinggalkan di hotel Al-Ansar.

Namun kemewahan tidak menjanjikan segala-galanya. Kami hampir terlepas solat subuh jemaah di masjid Nabawi kerana suara azan pertama tidak kedengaran di suite mewah itu.

Akhirnya kami bercadang menginap di hotel Al-Ansar yang pemandangan dalam persekitaran masjid boleh dijenguk melalui tingkap manakala suara azan sangat jelas didengar dari dalam bilik.

Itulah hikmah haji yang ditunjukan melalui pelbagai ujian dari Allah, sama ada berbentuk kemewahan atau kesusahaan.

Apa yang penting dicari bagi semua jemaah adalah haji yang mabrur.

Dan kemabruran haji hanya terletak pada ketakwaan individu, sama ada mahu mengekalkan "kejuaraan" itu atau tewas dengan cabaran yang sentiasa berada di sekeling mereka.

Hakikatnya mengekalkan "kejuaraan" itu adalah lebih sukar daripada untuk menjadi "juara".

(Dipetik daripada entri Facebook Lokman Hamidi)