Friday, April 30, 2010

PELUANG ADA DI DEPAN

Setelah keputusan kemasukan Pengajian Matrik diumum minggu lalu, hari ini keputusan UPU boleh diakses melalui internet.

Nadia yang menolak tawaran ke matrik, malam ini menyambut kepulangan ayahnya di depan pintu dengan senyum lebar sambil menunjukkan skrin laptopnya. Mass Comm pilihannya.

Dia menjadi pengantara kepada beberapa rakannya untuk mengakses keputusan UPU. Sepupunya di Tanjung Malim juga berjaya untuk mendaftar ke UiTM dalam kursus Diploma Sains.

Beberapa rakannya juga berjaya, namun ada juga yang gagal tetapi melindungi kekecewaan.

Dengan keputusan yang diterimanya malam ini terubat rasa kecewa Nadia yang gagal untuk kali kedua dalam ujian memandu siang tadi.

Esok Nadia akan mengikuti keluarganya ke Kuala Terengganu untuk mengambil abangnya yang tamat pengajian di Universiti Darul Iman, di Gong Badak.

Bagi Nadia peluang sentiasa ada di depan untuk berjaya, namun gangguan kedurjanaan yang menghalang kejayaan itu perlu ditolak. Jangan tersalah langkah!

Sunday, April 25, 2010

MA'AHAD TAHFIZAH DI KAMPUNG SEMAKIN BERKEMBANG

Ma’ahad Tahfizah di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh Perak yang dipelopori Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini sudah menjangkau usia tujuh tahun. Semalam berlangsung majlis Khatam Al-Quran dan Ihtifal kali ke-2.

Seperti lazimnya di institut tahfiz, jumlah penuntutnya tidak seramai institut pengajian yang lain. Buat masa ini 35 peserta dilatih, terdiri daripada penuntut perempuan dari seluruh negara. Merupakan satu-satunya Ma’ahad seumpama itu bagi peserta perempuan di negeri Perak.

Kalangan tenaga pengajarannya ada yang dari Indonesia dan rakyat tempatan yang berkelulusan bidang berkenaan dari Jordan.

Ayah, Uztaz Radin Haji Ahmad Tarmidzi AKA Hamidi selaku Mudirnya amat mengambil berat mengenai perkembangan sekolah itu. Dalam usia yang sudah mencecah 85 tahun dengan pelbagai keuzuranya, beliau masih bersemangat untuk memimpin.

Majlis yang dianjurkan semalam rupanya dibiayai daripada wang sakunya sendiri dengan pelbagai derma sumbangan individu yang prihatin. Ayah menjemput semua anak-anak dan cucu-cucunya untuk hadir.

Selain Datuk Seri Zahid hadir untuk merasmikan majlis, tetamu istimewa yang ayah undang ialah Pengarah Hospital ATM Sultan Mizan Kuala Lumpur, Brig Jen Datuk Dr Yaakob dan kakitangannya yang pernah merawat ayah, emak dan adik beberapa bulan lalu.

Saya berkesempatan hadir di sebelah pagi ketika majlis ujian hafazan. 14 peserta diuji tahap hafalan mereka. Nyata amat membanggakan.

Walaupun mereka lebih tertumpu kepada pembelajaran hafalan kandungan Al-Quran setiap hari, kemampuan mereka teruji apabila ada yang mendapar 5A dalam SPM baru-baru ini, walaupun hanya menghadiri kuliah akademi sekali seminggu.

Hari ini empat daripada pelajar berkenaan mendaftar di Darul Quran Kuala Kubu Bharu sebelum memperoleh diploma.

Beberapa pelajar yang cemerlang pula ada yang dilantik terus menjadi tenaga pengajar di Ma’ad Tahfizah itu. Salah seorang pelajar cemerlang itu pula pernah menambat impian ayah untuk dijodohkan dengan cucu-cucunya. Malang tiada seorangpun cucunya yang dapat memenuhi impian datuknya itu.

Akhirnya pelajar berkenaan bertunang dengan salah seorang tenaga pengajar kelulusan universiti Jordan ketika ayah dan emak dirawat di hospital selama sebulan.
Namun harapan ayah supaya ada diantara cucu-cucu dan kalangan anak-anak kerabat menjadi peserta di Ma’ahad Tahfizah yang diterajuinya itu, masih belum terkubur.

Friday, April 23, 2010

INPUT BARU BERITA TV9

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN

EMPAT tenaga penyampaian berita TV9. Dari kiri Zuhairah Mustafa Al-Husin, Amin Hayat Abd. Rahim, Norazura Abu Samah dan Syed Mohammad Khair Syed Hussien.

DIAM tak diam sudah empat tahun saluran berbahasa Melayu yang bernaung di bawah payung Media Prima Berhad, TV9 ke udara di kaca televisyen tempatan secara tidak langsung menambahkan lagi 'warna' dalam industri penyiaran negara.

Sepanjang tempoh tersebut pelbagai usaha yang dilakukan oleh saluran yang pada awalnya cukup sinonim dengan tagline Dekat Di Hati itu dalam memenangi hati penonton terutamanya menambah pelbagai variasi dalam intipati program-programnya. Bukan hanya sekadar program hiburan dan santai semata-mata, informasi terkini seperti berita tidak dinafikan sebagai salah satu elemen yang cukup kuat bagi sesebuah rangkaian televisyen.

Mengorak langkah pembaharuan, selari dengan pertambahan usia rangkaian itu sendiri, memperkenalkan berita tengahari yang bersiaran setiap hari pada pukul 12 tengahari adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh TV9.

Dipadatkan dalam durasi selama 30 minit, konsep santai yang diperkenalkan ternyata membawa pembaharuan ketara bagi saluran itu terutama dalam memastikan penonton setianya memperoleh informasi terkini tentang hal-hal yang berlaku dari dalam dan luar negara.

Apa yang pasti, pembaharuan tersebut ternyata menarik minat ramai penonton. Lebih ketara, hanya dalam tempoh lebih sebulan bersiaran, rating semasa yang diperoleh mereka hampir mencecah 300,000 tontonan.

Ini satu jumlah yang cukup membanggakan malah, memberi inspirasi kepada empat penyampai berita saluran itu iaitu Norazura Abu Samah, Amin Hayat Abd. Rahim, Zuhairah Mustafa Al-Husin dan Syed Mohammad Khair Syed Hussien untuk terus bekerja dengan penuh dedikasi.

Ketua Editor TV9, Lokman Hamidi yang ditemui baru-baru ini di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara baru-baru ini memberitahu, pembaharuan yang dilakukan oleh pasukan beritanya di TV9 yang terdiri daripada 23 orang, menterjemah semangat kerja berpasukan yang kuat di kalangan mereka.

Apatah lagi, dalam membentuk pelbagai pembaharuan yang direncanakan, tenaga kerja muda yang kebanyakannya berusia antara 23 hingga 30 tahun yang terlatih hanya dalam masa tiga bulan, menterjemah betapa TV9 komited dalam memberi persembahan yang terbaik kepada penonton khususnya kandungan dalam penyampaian berita.

"Merencanakan berita di waktu tengahari seperti yang telah dilaksanakan sekarang tidak lama. Ia dirancang pada Disember tahun lalu.

"Sebelum ini, berita di TV9 tertumpu pada waktu perdana sahaja pada sebelah malam. Menyedari informasi terkini tentang hal-hal yang berlaku di dalam dan luar negara begitu penting maka kami rasa perlu untuk menambah satu lagi siaran berita pada waktu tengah hari pula," kata Lokman.

Memulakan siaran berita tengah hari pada tanggal 1 Mac lalu, apa yang menarik kemudahan teknologi terkini diaplikasikan sebaik mungkin oleh wartawan siaran saluran itu dalam memastikan bahan yang lebih kemas dan padat sampai kepada penonton. Ini termasuklah lintas langsung, bualan telefon, audio serta visual bergambar.

Membentuk pasukan kecil yang mampu melakukan pelbagai kerja bukanlah semudah yang disangka.

Dengan hanya memberi kepercayaan penuh kepada empat orang penyampai berita, sasaran yang ditetapkan oleh saluran itu ialah menarik lebih ramai penonton dalam lingkungan usia antara 18 hingga 35 tahun.

Kerana itu, kata Lokman lagi, kandungan berita yang mengambil kira aktiviti yang dilakukan oleh remaja serta hiburan turut dipadatkan dalam dua buletin yang dipertaruhkan itu.

"Saya sering bercakap dengan pekerja di bawah saya, daripada dahulu kita hanya berniaga gerai makan di bawah pokok, kini hasilnya gerai kita sudah mula ada dinding untuk ke arah restoran," kata Lokman mengandaikan perkembangan kandungan berita di saluran tersebut.

Bercerita tentang kandungan berita yang dimuatkan pada waktu tengah hari, biarpun konsepnya lebih kepada santai namun, kandungan berita yang dipersembahkan tetap mantap dan serius serta lebih banyak mendengar tentang pelbagai masalah masyarakat.
- MEGA, Utusan Malaysia

Monday, April 19, 2010

HARGAILAH MASA

Kadang-kadang wang bukan segalanya. Masa yang terluang amat berharga. Hari ini selepas saban hari dan waktu penuh dengan komitmen. Saya cuba mematikan diri dengan pelbagai urusan, sama ada peribadi atau urusan kerja.

Nikmat sungguh saat bermalas-malas seperti siang tadi, walaupun masih ada urusan yang belum beres. Sudah lama tidak bersama isteri dan anak-anak tanpa gangguan di rumah, walaupun hanya dua anak yang masih ada di rumah. Empat yang lain masih berada di asrama. Hari ini saya hanya perlu menghantar dan mengambil anak yang bongsu ke sekolah.

Esok belum pasti akan begitu lagi, walaupun dalam percutian kerana menghabiskan cuti tahunan yang tak mungkin dapat dihabiskan.

Bila lagi mahu meninjau Hulu Selangor. Bila pula untuk menjenguk DSA di PWTC. Sempatkah untuk menghadiri Malam Aprisiasi Jakel di Hotel bersebelahan PWTC.

Jam berapa pula juruteknik akan datang esok untuk membikin aircond yang tidak sejuk di bilik tidur utama. Bila pula Pak Ajis itu mahu datang jenguk-jenguk rumah yang perlu diusik.

Jumaat lepas banyak perkara terpaksa dilepaskan kerana memilih keutamaan. Malam Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri terpaksa dilepaskan. Majlis resepsi perkahwinan staf di Tropicana juga terpaksa dilupakan (maaf Arab) walaupun saya telah membatalkan satu seminar motivasi oleh tokoh Indonesia.

Selepas mengambil anak dari sekolah jam 6:30 petang saya harus bergegas balik kampung sebagai tanggungjawab kepada kedua orang tua yang sakit dan uzur. Namun tanpa disangka kami sekeluarga harus singgah di Bukit Jelutong untuk menemui temanFB isteri yang dari siang menunggu kedatangan kami di rumah seorang lagi rakan FBnya.

Sempat solat maghrib di rumah teman itu pada penghujung waktu kerana kami tersangkut di dalam kesesakan. Isyanya pula sempat disempurnakan di stesen Petronas Ulu Bernam. Akhirnya sampai di kampung jam 1:00 pagi.

Esoknya sepatutnya harus mendampingi ibu, tetapi diperlukan hadir di suatu Majlis Ihtifal di sekolah bersebelahan rumah dan diminta jadi Bidan Terjun untuk mewakili perasmi berucap dan menyampaikan hadiah.

Malam selepas Isya harus pulang ke Kuala Lumpur. Jam 12 malam kami sempat ‘minum malam’ di sebuah gerai di Bukit Beruntung sambil meninjau suasana berkempen. Dan pagi esoknya saya dan isteri harus mengikuti kursus di sebuah masjid yang dibina di dalam tasik.

Selepas kursus tamat, selepas zuhur harus pula menghantar anak kembar balik ke asrama. dan selepas asar menghantar seorang lagi anak ke Shah Alam.
Begitulah rutin kehidupan orang kerdil macam saya walaupun bercuti daripada tugasan hakiki.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana pula rutin Orang Besar yang padat dengan program dan acara harian, walaupun mungkin ada pemandu dan pegawai khasnya.

Hakikatnya hargailah masa dan uruslah masa dengan sebijaknya kerana masa lebih mahal daripada wang ringgit.

Tuesday, April 6, 2010

TIADA BILIK HOTEL DI KKB DAN TANJUNG MALIM

Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini. Masing-masing sudah mula melakukan persiapan. Bagi jentera parti, semua telah digerakkan. Manakala pihak media, perancangan dibuat untuk memberikan laporan terbaik pilihan raya kecil itu, dari hari penamaan calon 17 April ini, sehingga ke hari pengundian.

Parlimen Hulu Selangor yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali perlu dijelajahi dan diterokai oleh jentera kempen parti yang bertanding dan petugas media. Parlimen Hulu Selangor yang luasnya tiga kali ganda negeri Perlis sudah tentu akan menguji ketabahan mereka yang bertugas.

Sempadan dari Tanjung Malim dan Slim di utara, Sabak Bernam di bahagian timur serta Selayang di selatan akan membuatkan petugas media dan jentera kempen termegah-megah dan tercunggap-cunggap.

Tinjauan di bandar Kuala Kubu Bharu mendapati hotel-hotel bajet dan rumah tumpangan sudah ditempah lebih awal lagi. Malah ada yang mula menginap seawal esok (7 April). Rumah Rehat kerajaan pula sudah tentu disekat untuk kegunaan pihak lain selain mereka yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat.

Rumah-rumah persendirian (homestay) juga hampir sudah tidak ada lagi. Harga sewaan sudah tidak menjadi soal lagi asalkan ada bilik.

Sewaan hotel dan rumah tumpangan meningkat secara mendadak. Rumah persendirian yang tak pernah dikunjungi pelawat atau tetamu kini sudah layak menerima sewaan sehingga RM5,000 untuk sepuluh hari. Malah sebuah banglow disewa sehingga belasan ribu ringgit untuk sepanjang tempuh berkempen.

Hotel di Bandar Tanjung Malim juga sudah habis ditempah dari 16 April sehingga 26 April. Sebuah hotel bajet berhampiran kolej kediaman Universiti Perguruan Sultan Idris di Hulu Bernam yang mempunyai lebih 50 bilik juga habis ditempah.

Sebuah organisasi media cetak pula sudah menempah 19 buah bilik untuk petugasnya beserta bilik operasi di hotel itu.

Sunday, April 4, 2010

SEMANGAT JUANG LEBIH UTAMA

Setelah polis diberikan penyelarasan gaji dan elaun kini tiba pula masanya warga Angkatan Tentera diberikan imbuhan itu.

Inisiatif itu sebenarnya telah lama dilakukan oleh pihak kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan. Sejak Perdana Menteri memegang potfolio di Kementah, usaha itu sudahpun dimajukan kepada kerajaan. Kini inisiatif itu dilanjutkan lagi oleh kepimpinan baru Kementah.

Namun berdasarkan situasi ekonomi sekarang, kerajaan belum bersedia untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun di sebalik gaji dan elaun baru yang belum tertunai dan kos sara hidup yang meningkat, kita perlu memberikan tabik hormat dan menyanjung tinggi perjuangan dan pengorbanan warga ATM. Kesetiaan dan bakti mereka kepada negara tidak dapat diukur dengan nilaian wang ringgit.

Sebagai perbandingan kasar jika diambilkira gaji pokok pegawai ATM dengan kakitangan swasta ia jauh lebih rendah. Namun dengan pelbagai imbuhan dan kemudahan yang diberikan kepada mereka, kehidupan pegawai ATM lebih selesa berbanding mereka yang berkhidmat di sektor swasta.

Gaji pokok Pegawai :

Leftenan Muda : RM1175.00 - RM1781.21 + (Imbuhan Tetap Khidmat Tentera - RM115.00) + (Imbuhan Tetap Perumahan - RM420)
Leftenan : RM1361.34 - RM3235.63 + (RM115.00) + (RM420.00)
Kapten : RM1808.80 - RM4174.35 + (RM300.00) + (RM450.00)
Mejar : RM2587.16 - RM4414.26 + (RM300.00) + (RM500.00)
Leftenan Kolonel : RM3756.50 - RM5190.35 + (RM450.00) + (RM575.00)

Kolonel : RM4460.46 - RM5816.87 + (Imbuhan Tetap Perumahan RM700.00) + (Imbuhan Tetap Keraian RM550.00)
Brigedier Jeneral : RM4975.00 - RM6699.25 + (RM900.00) + (RM800.00)
Mejar Jeneral : RM6135.80 - RM7672.50 + (RM1300.00) + (RM2500.00)
Leftenan Jeneral : RM6571.40 - RM8229.10 + (RM1600.00) + (RM3050.00)
Jeneral : RM7224.80 - RM9039.80 + (RM2000.00) + (RM4000.00)
Panglima Angkatan Tentera : RM8822.00 - RM12706.10 + (RM2500.00) + (RM5100.00)

Swasta :
Pengurus/Pengurus Kanan - RM7000.00 - RM10000)
Pengurus Besar - RM12000 - RM25000)

Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi - RM30,000 -RM50,000 dan lebih (bergantung kepada syarikat).

GAJI PERMULAAN PEGAWAI GRADUAN(LEFTENAN ATAU SETARAF)
Diploma - RM 1030.00
Ijazah Am - RM 1140.00
Ijazah Kepujian - RM 1215.00

Swasta :
Diploma - RM1800.00
Ijazah - RM2300.00

Imbuhan-imbuhan lain adalah sama seperti tangga gaji Pegawai Tugas Am dan Pegawai Tugas Khas.

PEGAWAI TUGAS IKHTISAS
Kategori Pegawai Tugas Ikhtisas
Gaji(RM)

Perubatan/Pergigian :
Ijazah Doktor Perubatan(Kapten dan Mejar) - RM1779.00 - RM3647.00
Ijazah Doktor Pergigian(Kapten dan Mejar) - RM1581.00 - RM3647.00
Ijazah Pembantu Veterinar(Kapten dan Mejar) - RM1164.00 - RM3584.00
Ijazah Farmasi(Kapten dan Mejar) - RM1164.00 - RM3584.00

Kejuruteraan :
Ijazah Kejuruteraan(Kapten dan Mejar) - RM 1447.00 - RM 3639.00

Pelajaran :
Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan (Kepujian) atau Ijazah Sarjana Muda(Kepujian) serta Diploma Pendidikan - (Kapten dan Mejar) - RM1360 - RM3585.00
Ijazah Sarjana Muda(Kepujian) - (Kapten dan Mejar) - RM1295.00 - RM3585.00
Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan(Am) atau Ijazah Sarjana Muda serta Diploma Pendidikan - (Leftenan) - RM1230.00 - RM3585.00
Ijazah Sarjana Muda(Am) - (Leftenan) - RM1165.00 - RM3585.00

Kor Agama Angkatan Tentera(KAGAT) :
Ijazah Sarjana Muda(Kepujian) - (Kapten dan Mejar) - RM1290.00 - RM3580.00
Ijazah Sarjana Muda(Am) - (Kapten dan Mejar) - RM1160.00 - RM3580.00

*Imbuhan-imbuhan lain adalah sama seperti tangga gaji Pegawai Tugas Am dan Pegawai Tugas Khas.

BAYARAN INSENTIF(MENGIKUT KELAYAKAN)

Bayaran Insentif Penerbangan Tentera(Sebulan)

Brig Jen ke atas - RM 2500 - 4000.00
Kapten ke Kolonel - RM 1600.00 - 4000.00
Leftenan - RM 1300.00 - 3500.00
Leftenan Muda - RM 1000.00 - 2000.00
Pelatih - - RM 600.00
Sarjan ke Pegawai Waran I - RM 1000.00

Elaun Pakaian Seragam Pegawai :
Semasa ditauliahkan - RM 400.00

Elaun Pakaian - RM 500.00 setahun
Elaun Pakaian Istiadat - RM 1000.00 setiap 3 tahun

Elaun Perjalanan Ke Tempat Bertugas(Sebulan)
Maksimum - RM 200.00 (pegawai)
Maksimum - RM 200.00 (askar laskar)

Bayaran Insentif Sabah/Sarawak(Sehari)
Minimum - RM 4.80
Maksimum - RM 12.00

Bayaran Insentif Tugas Ikhtisas(Sebulan)
Minimum - RM 100.00)
Maksimum - RM 120.00

Bayaran Insentif Teknikal Tentera(Sebulan)
Kadar A - RM 300.00
Kadar B - RM 200.00

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal(Sebulan)
Kapten ke atas - 5% daripada gaji pokok
Leftenan ke bawah - 10% daripada gaji pokok

Elaun-elaun pakar bagi Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian adalah mengikut gred gaji dan kelayakan. Elaun-elaun lain mengikut kelayakan.

Apapun bak kata seorang pegawai iktisas perubatan berpangkat Brig Jen, mereka berkhidmat kerana fardhu kifayah.

KAKI KELENTONG AKAN BERKAMPUNG

Bermula 17 April ini kaki kelentong akan mula mengumpul kuncu-kuncunya untuk berkampung di Hulu Selangor. Selama lapan hari nanti penduduk Hulu Selangor akan disogokan pelbagai tipu muslihat dan cerita metos daripadanya.

Hikayat lapuk cuba didendangkan dengan lagu moden melalui pelbagai retorik politik yang tidak berkesudahan.

Mendengar ceramahnya kini semakin meloyarkan. Hujahnya di parlimen membuatkan aku semakin menyampah. Memek muka, tutur kata mengambarkan apa yang diucapkan seperti sengaja diada-adakan.

Seperti kata seorang Timbalan Menteri yang pernah menjadi rakannya dulu - keyakinan palsu!

Orang kepercayaannya satu demi satu meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah mereka yang cauvanis dan cuba memperkudakannya untuk kepentingan etnik masing-masing.

Dulu setiap malam aku naik ke Bukit Damansara mendengar dendangan lagu palsunya. Kini gua tak percaya sama lu!