Tuesday, April 6, 2010

TIADA BILIK HOTEL DI KKB DAN TANJUNG MALIM

Menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini. Masing-masing sudah mula melakukan persiapan. Bagi jentera parti, semua telah digerakkan. Manakala pihak media, perancangan dibuat untuk memberikan laporan terbaik pilihan raya kecil itu, dari hari penamaan calon 17 April ini, sehingga ke hari pengundian.

Parlimen Hulu Selangor yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali perlu dijelajahi dan diterokai oleh jentera kempen parti yang bertanding dan petugas media. Parlimen Hulu Selangor yang luasnya tiga kali ganda negeri Perlis sudah tentu akan menguji ketabahan mereka yang bertugas.

Sempadan dari Tanjung Malim dan Slim di utara, Sabak Bernam di bahagian timur serta Selayang di selatan akan membuatkan petugas media dan jentera kempen termegah-megah dan tercunggap-cunggap.

Tinjauan di bandar Kuala Kubu Bharu mendapati hotel-hotel bajet dan rumah tumpangan sudah ditempah lebih awal lagi. Malah ada yang mula menginap seawal esok (7 April). Rumah Rehat kerajaan pula sudah tentu disekat untuk kegunaan pihak lain selain mereka yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat.

Rumah-rumah persendirian (homestay) juga hampir sudah tidak ada lagi. Harga sewaan sudah tidak menjadi soal lagi asalkan ada bilik.

Sewaan hotel dan rumah tumpangan meningkat secara mendadak. Rumah persendirian yang tak pernah dikunjungi pelawat atau tetamu kini sudah layak menerima sewaan sehingga RM5,000 untuk sepuluh hari. Malah sebuah banglow disewa sehingga belasan ribu ringgit untuk sepanjang tempuh berkempen.

Hotel di Bandar Tanjung Malim juga sudah habis ditempah dari 16 April sehingga 26 April. Sebuah hotel bajet berhampiran kolej kediaman Universiti Perguruan Sultan Idris di Hulu Bernam yang mempunyai lebih 50 bilik juga habis ditempah.

Sebuah organisasi media cetak pula sudah menempah 19 buah bilik untuk petugasnya beserta bilik operasi di hotel itu.

No comments: