Sunday, April 25, 2010

MA'AHAD TAHFIZAH DI KAMPUNG SEMAKIN BERKEMBANG

Ma’ahad Tahfizah di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh Perak yang dipelopori Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini sudah menjangkau usia tujuh tahun. Semalam berlangsung majlis Khatam Al-Quran dan Ihtifal kali ke-2.

Seperti lazimnya di institut tahfiz, jumlah penuntutnya tidak seramai institut pengajian yang lain. Buat masa ini 35 peserta dilatih, terdiri daripada penuntut perempuan dari seluruh negara. Merupakan satu-satunya Ma’ahad seumpama itu bagi peserta perempuan di negeri Perak.

Kalangan tenaga pengajarannya ada yang dari Indonesia dan rakyat tempatan yang berkelulusan bidang berkenaan dari Jordan.

Ayah, Uztaz Radin Haji Ahmad Tarmidzi AKA Hamidi selaku Mudirnya amat mengambil berat mengenai perkembangan sekolah itu. Dalam usia yang sudah mencecah 85 tahun dengan pelbagai keuzuranya, beliau masih bersemangat untuk memimpin.

Majlis yang dianjurkan semalam rupanya dibiayai daripada wang sakunya sendiri dengan pelbagai derma sumbangan individu yang prihatin. Ayah menjemput semua anak-anak dan cucu-cucunya untuk hadir.

Selain Datuk Seri Zahid hadir untuk merasmikan majlis, tetamu istimewa yang ayah undang ialah Pengarah Hospital ATM Sultan Mizan Kuala Lumpur, Brig Jen Datuk Dr Yaakob dan kakitangannya yang pernah merawat ayah, emak dan adik beberapa bulan lalu.

Saya berkesempatan hadir di sebelah pagi ketika majlis ujian hafazan. 14 peserta diuji tahap hafalan mereka. Nyata amat membanggakan.

Walaupun mereka lebih tertumpu kepada pembelajaran hafalan kandungan Al-Quran setiap hari, kemampuan mereka teruji apabila ada yang mendapar 5A dalam SPM baru-baru ini, walaupun hanya menghadiri kuliah akademi sekali seminggu.

Hari ini empat daripada pelajar berkenaan mendaftar di Darul Quran Kuala Kubu Bharu sebelum memperoleh diploma.

Beberapa pelajar yang cemerlang pula ada yang dilantik terus menjadi tenaga pengajar di Ma’ad Tahfizah itu. Salah seorang pelajar cemerlang itu pula pernah menambat impian ayah untuk dijodohkan dengan cucu-cucunya. Malang tiada seorangpun cucunya yang dapat memenuhi impian datuknya itu.

Akhirnya pelajar berkenaan bertunang dengan salah seorang tenaga pengajar kelulusan universiti Jordan ketika ayah dan emak dirawat di hospital selama sebulan.
Namun harapan ayah supaya ada diantara cucu-cucu dan kalangan anak-anak kerabat menjadi peserta di Ma’ahad Tahfizah yang diterajuinya itu, masih belum terkubur.

1 comment:

leklina said...

tiada jodoh kot...pilihan datuk mmm bagus banget...