Monday, April 19, 2010

HARGAILAH MASA

Kadang-kadang wang bukan segalanya. Masa yang terluang amat berharga. Hari ini selepas saban hari dan waktu penuh dengan komitmen. Saya cuba mematikan diri dengan pelbagai urusan, sama ada peribadi atau urusan kerja.

Nikmat sungguh saat bermalas-malas seperti siang tadi, walaupun masih ada urusan yang belum beres. Sudah lama tidak bersama isteri dan anak-anak tanpa gangguan di rumah, walaupun hanya dua anak yang masih ada di rumah. Empat yang lain masih berada di asrama. Hari ini saya hanya perlu menghantar dan mengambil anak yang bongsu ke sekolah.

Esok belum pasti akan begitu lagi, walaupun dalam percutian kerana menghabiskan cuti tahunan yang tak mungkin dapat dihabiskan.

Bila lagi mahu meninjau Hulu Selangor. Bila pula untuk menjenguk DSA di PWTC. Sempatkah untuk menghadiri Malam Aprisiasi Jakel di Hotel bersebelahan PWTC.

Jam berapa pula juruteknik akan datang esok untuk membikin aircond yang tidak sejuk di bilik tidur utama. Bila pula Pak Ajis itu mahu datang jenguk-jenguk rumah yang perlu diusik.

Jumaat lepas banyak perkara terpaksa dilepaskan kerana memilih keutamaan. Malam Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri terpaksa dilepaskan. Majlis resepsi perkahwinan staf di Tropicana juga terpaksa dilupakan (maaf Arab) walaupun saya telah membatalkan satu seminar motivasi oleh tokoh Indonesia.

Selepas mengambil anak dari sekolah jam 6:30 petang saya harus bergegas balik kampung sebagai tanggungjawab kepada kedua orang tua yang sakit dan uzur. Namun tanpa disangka kami sekeluarga harus singgah di Bukit Jelutong untuk menemui temanFB isteri yang dari siang menunggu kedatangan kami di rumah seorang lagi rakan FBnya.

Sempat solat maghrib di rumah teman itu pada penghujung waktu kerana kami tersangkut di dalam kesesakan. Isyanya pula sempat disempurnakan di stesen Petronas Ulu Bernam. Akhirnya sampai di kampung jam 1:00 pagi.

Esoknya sepatutnya harus mendampingi ibu, tetapi diperlukan hadir di suatu Majlis Ihtifal di sekolah bersebelahan rumah dan diminta jadi Bidan Terjun untuk mewakili perasmi berucap dan menyampaikan hadiah.

Malam selepas Isya harus pulang ke Kuala Lumpur. Jam 12 malam kami sempat ‘minum malam’ di sebuah gerai di Bukit Beruntung sambil meninjau suasana berkempen. Dan pagi esoknya saya dan isteri harus mengikuti kursus di sebuah masjid yang dibina di dalam tasik.

Selepas kursus tamat, selepas zuhur harus pula menghantar anak kembar balik ke asrama. dan selepas asar menghantar seorang lagi anak ke Shah Alam.
Begitulah rutin kehidupan orang kerdil macam saya walaupun bercuti daripada tugasan hakiki.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimana pula rutin Orang Besar yang padat dengan program dan acara harian, walaupun mungkin ada pemandu dan pegawai khasnya.

Hakikatnya hargailah masa dan uruslah masa dengan sebijaknya kerana masa lebih mahal daripada wang ringgit.

No comments: