Wednesday, November 14, 2018

Tadabur Wahyu Siri 13, 14 & 15

**Tadabur Wahyu Siri 13**

*Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur*

*Maqasid Al-Quran Mengikut Ibnu Asyur*

  Ibnu Asyur berpendapat, mereka yang berkecimpung di dalam bidang tafsir perlu mengetahui maqasid asliyyah dimana Al-Quran diturunkan kerananya.

Beliau telah merumuskan Maqasid tersebut dalam 8 perkara iaitu:

1- Membaiki akidah dan mengajar iktikad yang benar.

2- Membentuk akhlak yang mulia.

3- Menurunkan pensyariatan dalam bentuk hukum-hakam sama ada yang umum ataupun khusus.

4- Memandu urusan pentadbiran ummah.

5- Mengambil pengajaran daripada pengalaman umat terdahulu.

6- Mengajar ilmu-ilmu sesuai dengan zaman wahyu diturunkan seperti pengetahuan dalam membuat penilaian, cara berkomunikasi dan sebagainya.

7- Memberi peringatan sama ada dalam bentuk amaran atau dalam bentuk memberi galakan dan berita baik.

8- Mengandungi 'ijaz Al-Quran yang menjadi bukti kepada kebenaran Rasulullah SAW.

*Tadabur Wahyu Siri 14*

*Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur*

*Ibnu Asyur & Metode Penulisan Tafsir*

Di dalam mukaddimah ke 4 ini, Ibnu Asyur menjelaskan 3 metode penulisan tafsir yang telah diambil oleh para ulama’ tafsir:

1- Pertama mereka yang mentafsir Al-Quran mengikut maknanya yang zahir.

2- Mentafsir  maksud-maksud disebalik dari kata-kata dan lafaz yang zahir menggunakan situasi yang wujud atau ilmu-ilmu semasa.

3- Menghubungkan ayat Al-Quran dengan situasi atau maklumat lain yang bersamaan makna dan keadaannya.

Di dalam muqaddimah ini, Ibnu Asyur menolak pandangan al-Syatibi yang tidak menerima adanya hubungan antara Al-Quran dengan ilmu-ilmu kemanusiaan khususnya yang lahir selepas zaman penurunan wahyu.

*Tadabur Wahyu Siri 15*

*Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur*

*Ibnu Asyur Menolak Pandangan Imam Syatibi*

Di dalam muqaddimah keempat, Ibnu Asyur menolak pandangan al-Syatibi yang tidak menerima adanya hubungan antara Al-Quran dengan ilmu-ilmu kemanusiaan khususnya yang lahir selepas zaman penurunan wahyu.

Ibnu Asyur menolak pandangan tersebut dengan memberikan enam hujah:

1- Pandangan al-Shatibi itu seolah-olah menafikan pertukaran situasi orang-orang Arab dari suasana awal mereka yang tidak memiliki ilmu-ilmu lain kepada keadaan mereka yang bertamadun dan berilmu. Ibnu Asyur menolak pandangan ini dengan membawa hujah dari ayat 49 surah Hud.

2- Maqasid Al-Quran itu sendiri berupa dakwah untuk sepanjang zaman. Oleh itu Al-Quran mestilah mengandungi atau berupaya untuk difahami berdasarkan ilmu-ilmu umat selepasnya.

3- Golongan salaf bahkan al-Syatibi sendiri mengatakan bahawa Al-Quran tidak akan berhenti menunjukkan keajaiban dan mukjizatnya. Keadaan ini tidak akan tercapai jika sekiranya Al-Quran hanya memiliki ilmu umat di zaman ianya diturunkan sahaja.

bersambung...

Disediakan oleh:     
                                                                                                                            Ustaz Rosli                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

No comments: