Tuesday, November 20, 2018

Bukan mudah turunkan Zahid sebagai presiden Umno, kata akar umbi

BUKAN senang untuk mendesak Ahmad Zahid Hamidi bercuti rehat tanpa desakan menyeluruh ahli Umno sendiri, kata beberapa pemimpin akar umbi parti, selepas presiden Umno itu didakwa dengan 45 pertuduhan di mahkamah.

Kata mereka, Zahid yang dipilih melalui perhimpunan agung Umno di peringkat bahagian di seluruh Malaysia perlu melalui proses yang sama, kalau mahu direhatkan daripada tugasnya sebagai presiden parti.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata setakat ini hanya ada cakap-cakap saja mahukan Zahid berundur sementara.

“Tetapi tidak ada gerakan seperti mengadakan undi tidak percaya. Zahid dipilih dalam perhimpunan agung bahagian-bahagian, jadi hanya kuasa perhimpunan agung saja yang boleh mengubah kedudukan Zahid.

“Jadi tidak ada cerita gerakan besar-besaran. Setakat perbezaan pendapat atau rungutan, itu perkara biasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Mohamed Nazri Aziz sebelum ini berkata akar umbi Umno perlu membincangkan kedudukan Zahid dan membuat ketetapan sekiranya mereka mahu beliau bercuti sementara sebagai presiden parti sehingga kes mahkamahnya selesai.

Nazri membuat kenyataan itu mengulas sokongan tiga pemimpin Umno Bahagian di Johor dalam mesyuarat tertutup bersama presiden Umno dan Majlis Tertinggi Umno terhadap gesaan agar Zahid berehat sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman berkata pihaknya hanya akan mengadakan mesyuarat tergempar bahagian sekiranya majoriti cawangan-cawangan membuat desakan.

“Jika ada desakan daripada ahli, ia perlu dibawa ke cawangan dahulu. Kalau macam di Pasir Puteh ini ada 212 cawangan. Kalau lebih separuh cawangan buat desakan barulah kita boleh mesyuarat tergempar di bahagian.

“Kalau setakat satu dua cawangan buat undi tidak percaya, tidak logik kita nak desak di peringkat bahagian. Sekarang ini tidak ada satu cawangan pun yang mendesak Zahid berehat,” katanya.

Jelas beliau, cakap-cakap mengenai kedudukan Zahid itu perkara biasa dan tidak boleh dijadikan alasan untuk presiden Umno membuat keputusan patuh padanya.

“Cakap-cakap orang tidak suka itu, biasalah. Kalau macam itu, Mahathir (Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad) pun kena letak jawatan sebab sekarang ini ramai juga yang sudah tidak suka,” katanya.

Gerakan mendesak presiden Umno letak jawatan melalui cawangan-cawangan pernah dilakukan sebelum ini ketika Najib Razak menerajui parti itu.

Pada 2015, seramai 13 Ketua Cawangan Umno Bahagian Telok Kemang mendesak Najib Razak meletak jawatan. Bagaimanapun desakan itu dipandang sepi kerana hanya sebahagian kecil daripada 54 cawangan yang ada di Bahagian Telok Kemang.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin berkata setakat ini beliau masih belum melihat terdapat gerakan di Bahagian mahupun cawangan Umno bagi mendesak Zahid berehat.

“Cakap-cakap di kedai kopi itu adalah tetapi kalau hendak kata sampai ada gerakan, itu saya tidak nampak,” katanya, yang sedang aktif bergerak ke seluruh negara memberi ceramah isu semasa kepada akar umbi.

“Sebenarnya, jelajah yang sedang dilakukan oleh Zahid ke negeri-negeri banyak melegakan akar umbi. Semangat untuk bangkit untuk sudah mula nampak,” tambahnya.

Pergerakan Pemuda Umno dalam satu mesyuarat pada 25 Oktober lalu sebulat suara mencadangkan Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata cadangan ini bagi membolehkan Zahid memberi tumpuan terhadap kes pertuduhannya di mahkamah dan bukannya disuarakan atas sebarang muslihat jahat untuk menjatuhkan presiden Umno itu. – 20 November, 2018. (https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/112678)

No comments: