*Ringkasan dan Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur*
*Maqasid Al-Quran Mengikut Ibnu Asyur*
Di dalam mukaddimah keempat, Ibnu Asyur membincangkan isu berkaitan maqasid Al-Quran. Ketika membincangkan topik ini, Ibnu Asyur menyatakan bahawa salah satu kewajipan ahli tafsir ialah mentafsir Al-Quran berdasarkan kepada maqasid yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Mengikut Ibnu Asyur, kitab Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT untuk membawa kebaikan dan rahmat dalam urusan manusia keseluruhannya. Perkara ini berlaku apabila mereka melaksanakan ajaran dan mematuhi apa yang dituntut oleh Allah SWT. Dengan itu Allah SWT menerangkan setiap perkara yang perlu diketahui sebagai petunjuk dan rahmat kepada manusia.
Kebaikan yang dibawa itu bersifat individu, berbentuk didikan terhadap jiwa dan penyucian jiwa. Perkara itu berlaku dengan penekanan terhadap etika kerana etika adalah asas kepada terbentuknya adab dan pemikiran seterusnya dari situ terpancarnya kebaikan individu biarpun ketika bersendirian.
Pendidikan jiwa dilakukan dengan pensyariatan ibadah yang zahir seperti solat serta ibadat batin seperti berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menjauhi sifat-sifat keji seperti hasad dengki dan sombong.
Adapun islah terhadap masyarakat ianya berlaku dengan adanya islah secara individu, kerana individu adalah komponen bagi masyarakat. Tidak akan terbentuk masyarakat yang mulia kecuali apabila terbentuknya individu-individu yang mulia terlebih dahulu. Dengan itu Islam telah membawa ajaran yang mengatur kehidupan bermasyarakat berupa tatacara-tatacara bermuamalat atau dinamakan dengan as-siasah al-madaniyah.
Adapun Maqasid Al-Quran dari sudut penjagaan terhadap ketamadunan manusia, maka ia adalah lebih luas dari apa yang telah dibincangkan di atas. Ia adalah penjagaan terhadap sistem dalam dunia Islam, pengawasan terhadap tindak-tanduk kelompok masyarakat serta hubungan mereka dengan kelompok yang lain. Kesemua itu demi menjaga kepentingan semua pihak. Ia dikenali sebagai ilmu umran atau ilmu ijtima'
Bersambung......
(sumbangan Ustaz Rosli)
No comments:
Post a Comment